Sunday, 22 December 2013

Aku secara seriusnya tiada tajuk yang sesuai!!!

Lompatan aku daripada keimanan kepada ketidakimanan berlaku dalam masa yang agak pendek. Aku akan ceritakan sedikit bagaimana ia berlaku.

Pada akhir tahun 2012, aku mengikuti sebuah lawatan yang dianjurkan oleh universiti aku. Dalam lawatan tersebut, aku berkongsi bilik dengan kawan aku daripada universiti. Dia bukan kawan daripada kursus pengajian yang sama dengan aku. Aku pelajar kursus kejuruteraan. Dia pula pelajar kursus ekonomi dan undang-undang. Kami berkenalan kerana telah memilih kursus elektif bahasa yang sama. Melalui perkenalan ini, kami banyak bertukar pendapat berkaitan banyak perkara. Politik antarabangsa, ekonomi, bahasa, falsafah dan moraliti, dan tidak lupa juga, agama. Atas sebab perbualan, perbincangan dan pertukaran idea yang telah kami lakukan, kepercayaan aku kepadanya menjadi kukuh. Aku tahu yang dia merupakan seorang yang munasabah. Maka pada lawatan tersebut, aku telah menyatakan kepadanya keraguan aku tentang Islam dalam beberapa isu. Antara yang paling teruk ialah bagaimana Islam, menilai teks-teksnya dan dilihat daripada sejarahnya, ialah satu agama yang begitu hostile kepada homoseksualiti. Aku tidak dapat lihat bagaimana kebencian yang tak bertempat ini boleh dijustifikasikan. Dan aku bukanlah seorang yang homoseksual. Cuma dalam cubaan untuk mengalamiyahkan (atau menjadikan universal) prinsip „salam“ dan „peace“ yang aku pegangi selama itu, aku tak nampak kenapa para homoseksual perlu dikeluarkan daripada prinsip ini. Adakah mereka orang-orang yang jahat? Tidak. Mereka normal. Hanya seperkara sahaja yang membezakan mereka daripada „orang biasa“, iaitu mereka mempunyai preferens yang agak „tidak konvensional“ apabila datang kepada kemahuan seksual mereka. Itu sahaja (http://www.youtube.com/watch?v=CstD6O95L-o).

Lebih teruk lagi, apabila aku pelajari yang homoseksualiti ini bukanlah sentiasa satu pilihan. Ia mempunyai dasar di dalam genetik manusia itu sendiri. Dalam erti kata lain, seseorang itu dilahirkan dengan seksualitinya. Bukankah itu fitrah? Dan bukankah Islam ialah sepatutnya agama yang sesuai dengan fitrah manusia? Kenapakah, jika para sahabat merupakan mereka yang paling memahami Islam dan konsep kedamaian yang ia bawa, yang mereka boleh gagal dengan begitu teruk sekali dalam mengimplimentasikan prinsip kedamaian ini kepada para homoseksual, yang sebenarnya merupakan mereka-mereka yang tidak bersalah? Bagaimana Allah sendiri boleh mengabaikan pemberitahuannya kepada Muhammad tentang hakikat sebenar homoseksualiti, sehingga umat Islam mempunyai sejarah yang begitu ganas terhadap homoseksualiti? Banyak sangat soalan yang tak dapat dijawab. Semuanya tak masuk akal bagi aku.

Perbualan itu menjadi titik peralihan di dalam keimanan aku. Perlu disebut juga, yang aku sebelum itu telah banyak kali merasakan yang akidah aku sudah tidak lagi sahih dan keimanan aku telah terbatal, menyebabkan aku begitu kerap perlu mengulang dua kalimah syahadah. Tapi sejak perbualan itu, aku bertekad yang aku mungkin terpaksa hidup di dalam keadaan akidah aku terumbang-ambing, dan aku akan bertawakkal dan berserah diri kepada Allah dan rahmatnya dalam menentukan sama ada aku akan mati dalam iman atau kekufuran. Jujurnya, pada ketika itu aku telah terlalu penat dan lelah dalam sentiasa menjaga fikiran aku daripada terjerumus ke dalam keraguan.

Tidak lama setelah perbualan tersebut, aku mula meletakkan perhatian yang serius kepada pelbagai masalah ketidakselarian Qur’an dan hadis dengan realiti. Banyak sangat ayat-ayat yang tak betul dari segi faktanya. Akan tetapi, semua ini tidak diakui oleh saudara-saudara seIslam aku; begitu banyak sekali justifikasi yang diberikan. Akhirnya, aku mengambil langkah yang terbaik (pada pendapat aku) yang pernah aku lakukan dalam sejarah perkembangan pemikiran aku, iaitu aku cuba memeriksa sama ada fenomena ketidakselarian dan pemberian justifikasi ini boleh dilihat juga dalam agama-agama yang lain. Jika fikir secara logiknya, boleh dikatakan common sense juga yang ianya pasti didapati di dalam agama-agama lain. Tapi waktu itu, aku memerlukan kepastian. Maka aku cuba menggoogle „Big Bang in (nama kitab suci daripada pelbagai agama)”, dan aku dapati yang kesemuanya mengatakan yang teori Big Bang ini terkandung di dalam agama mereka. Aku bertanya kepada diri aku “Kalau setiap agama pun mengaku mereka betul, dan mendakwa yang kebenaran itu hanya pada mereka sendiri sahaja, maka siapa sekarang ini yang betul?”. Aku boleh cuba menyemak setiap aspek daripada setiap agama yang ada di bumi ini untuk menentukan buat untuk penghabisan kalinya yang mana satu yang betul, tapi ia tak akan dapat dilakukan dalam seumur hidup manusia. Seorang itu mungkin boleh menghabiskan seluruh hidupnya mengkaji sebuah agama, itu pun dia mungkin masih belum boleh mengkaji keseluruhan agama tersebut. Untuk bermula dengan Islam merupakan satu cadangan yang rambang. Kenapa Islam? Kenapa tidak Judaism? Atau Kristianiti? Atau Hinduism?

Di sini aku lihat lemahnya hujah mereka yang mengatakan: “Kau tinggalkan Islam sebab kau masih belum faham Islam lagi. Kalau kau fahaminya dengan benar, pasti kau takkan meninggalkannya.” Benar, aku mungkin tak faham Islam dengan begitu mendalam. Tapi aku rasa yang aku fahaminya dengan cukup untuk melihat yang ianya tidak lain daripada agama-agama yang lain. Islam, seperti kebanyakan agama-agama lain, mempunyai kitab yang di dalamnya terkandung ayat-ayat yang jika dinilai sekali pandang dan secara objektif adalah salah. Bagi aku, kalau tuhan itu maha bijaksana, dia akan menutup SEGALA jalan kepada ketidakfahaman dan kekeliruan yang mungkin timbul dalam usaha manusia untuk mempelajari tentang dirinya. Itu syarat yang aku letakkan bagi mana-mana agama. Sehingga syarat itu dipenuhi, aku akan hanya menyibukkan diri aku dengan pencarian kefahaman tentang alam ini menggunakan metodologi yang lebih konsisten, iaitu sains.

\\\

Di dalam kesempatan ini juga, aku ingin mengucapkan Merry Christmas kepada semua! And a Happy New Year.

Saturday, 21 December 2013

Prejudis

ولن ترضى عنك اليهود والنصارى حتى تتبع ملتهم

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu sehingga engkau menurut ugama mereka. (Al-Baqarah: 120)

Sunday, 8 December 2013

Aku boleh membaca minda?

Aku ada pengakuan yang mahu dibuat. Sebenarnya, aku mempunyai kuasa telepati yang berfungsi secara spesifik, iaitu aku berkebolehan untuk membaca fikiran mereka yang sedang membaca blog aku. Termasuk engkau. Kalau engkau fikir yang engkau boleh lari dengan berhenti membaca, aku mahu memberitahu yang sudah terlambat untuk berbuat demikian. Pengumpulan maklumat yang aku lakukan dapat dilakukan kurang daripada satu saat. Secara spesifiknya, aku hanya perlukan 1/72 saat je. Sekarang, segala maklumat peribadi engkau dah ada dalam ingatan aku. Aku tahu apa yang engkau makan tadi. Siapa dia yang mempunyai tempat istimewa kat dalam hati kau. Apa fantasi nakal engkau. Laman web apa yang kau biasa layari seorang-seorang sewaktu orang lain tiada di rumah atau pejabat. Di mana engkau kerja dan tinggal. Nombor dan PIN kepada akaun bank kau. Tapi jangan risau. Engkau boleh memadam segala memori berkenaan dengan diri engkau yang telah aku kumpul tadi dengan pergi ke mana-mana air terjun pada pukul 3 pagi dan mandi di bawahnya selama satu jam sambil menyanyi lagu Negaraku. Tapi engkau perlu cepat, sebelum aku tetiba ada selera untuk memusnahkan kehidupan seseorang.

Aku pasti yang engkau tak risau walau sesaat pun bila aku menceritakan kisah aku tadi (kalau ya, aku risau tentang kau). Kenapa? Sebab kewujudan kuasa telepati itu sendiri tidak pernah dibuktikan kebenarannya. Maka, segala implikasi yang bersangkut paut dengannya masih belum layak untuk diambil kira.

Semuanya berbalik kepada persoalan asas berkenaan dengan kewujudan kuasa telepati. Aku suka panggil persoalan ini "hipotesis pertama". Engkau boleh membentuk formulasi yang pelbagai bagi hipotesis ini, tapi mari kita setuju dengan formulasi berikut, iaitu: Kuasa telepati itu wujud. Kenyataan ini boleh jadi benar atau boleh jadi salah. Kemudian, di atas hipotesis pertama ini, terdapat hipotesis-hipotesis lain yang boleh dibina. Seperti, kuasa telepati ini hanya berfungsi apabila seorang itu sedang membaca blog Mulhid Melayu. Benar atau salah. Pembacaan fikiran ini berlangsung dalam masa 1/72 saat. Benar atau salah. Kesan pembacaan fikiran ini boleh dihilangkan dengan mandi air terjun di pagi hari sambil menyanyikan lagu Negaraku. Benar atau salah. Dan sebagainya. Kita boleh kategorikan hipotesis-hipotesis ini sebagai hipotesis sekunder. Ia sekunder kerana kebenarannya memerlukan prasyarat yang hipotesis pertama itu benar. Jika prasyarat itu dipenuhi, yakni, jika hipotesis pertama itu benar, maka barulah wujud kebarangkalian yang hipotesis-hipotesis sekunder itu benar. Jika hipotesis pertama itu salah, maka hipotesis-hipotesis sekunder itu secara automatiknya menjadi tidak lagi relevan.

Dalam alam ini, terdapat seinfiniti hipotesis yang masih belum terbukti tidak betul, dan oleh sebab itu boleh jadi betul. Contohnya, kita sekarang sedang hidup di dalam program simulasi yang dipanggil the Matrix (rujuk movie Matrix: http://www.youtube.com/watch?v=tgBViHeiSKM). Ataupun kita semua sekarang ini sedang bermimpi dalam sebuah mimpi yang jelas dan panjang (rujuk Inception, takde link bagi babak yang spesifik). Ataupun, alam semesta kita ini terkandung di dalam sebiji guli yang menjadi permainan alien (rujuk ending Men in Black: http://www.youtube.com/watch?v=EF6aEFFMxjU). Untuk melahirkan tindakan terhadap hipotesis-hipotesis sekunder kepada mana-mana hipotesis pertama di atas dasar "boleh jadi ia betul" ialah untuk bertindak dengan ketidakkonsistensi logikal. Sebagai contoh, mengapa seseorang itu memilih untuk berusaha untuk keluar daripada the Matrix untuk membebaskan kaum manusia, tapi dalam masa yang sama dia tidak berusaha untuk bangun dari tidur dengan membunuh diri (kena tengok Inception untuk faham ni)? Sebab dari segi pembuktian, kedua-dua hipotesis, Matrix dan Inception, juga tidak mempunyai apa-apa bukti untuk menyokong kebenarannya. Maka selayaknya mereka sama ada diabaikan pada tahap yang sama, atau mereka dilayan dan diambil kira pada tahap yang sama.

Bagi aku, agama juga merupakan hipotesis sekunder. Agama mengandungi banyak detail-detail spesifik seperti konsep syurga-neraka, konsep dosa-pahala, perkara-perkara ghaib dll. yang relevansnya bergantung kepada kebenaran hipotesis pertama, iaitu tuhan itu wujud. Selagi kewujudan tuhan itu masih belum dibuktikan, maka untuk mengamalkan mana-mana agama itu merupakan sesuatu tindakan yang tidak bijak. Tambahan pula, terdapat begitu banyak agama di atas muka bumi ini. Untuk mendahulukan satu agama ke atas agama-agama lain ialah untuk berjudi di atas perjudian. Perjudian yang pertama ialah sama ada tuhan itu wujud. Dalam perjudian ini, ada 50:50 peluang untuk betul. Kemudian, terbina di atas perjudian pertama tadi, perjudian kedua, iaitu agama x ialah agama yang benar. Di atas muka bumi ini terdapat sejumlah n agama. Jika setiap agama itu seperti Islam, iaitu mengakui yang hanya diri sendiri sahaja yang benar, maka kebarangkalian untuk seseorang itu untuk memilih agama yang benar ialah 1/n. Kalau engkau dulunya optimistik dengan tahuran ala-ala Pascal yang peluang untuk menangnya ialah 1/n, sekarang bayangkan kebarangkalian yang engkau betul itu dikurangkan dengan setengah, iaitu 1/(2n). Aku pasti tahap optimisme engkau tidak lagi setinggi sebelum ini. Melainkan engkau jenis yang tak munasabah dan betul-betul yakin diri.


Atas sebab itulah, aku telah berhenti solat, puasa, berdoa, mengambil berat tentang aurat, memakan daging halal, dan sebagainya. Sehingga kewujudan tuhan itu dapat dibuktikan dengan bukti-bukti yang mencukupi, ianya menjadi satu jenayah intelek untuk melakukan lompatan kepercayaan dan memilih untuk beramal dengan mana-mana agama, termasuk agama Islam. Tambahan pula, agama banyak memakan masa dan tenaga dengan ritual-ritual yang aneh dan leceh, disamping mengakibatkan bebanan psikologi dan emosi yang datang dari perasaan serba salah atas kelakuan-kelakuan yang tidak memudharatkan orang lain, seperti (dalam kes Islam) tidak menutup aurat, onani, seks luar nikah dengan kerelaan kedua-dua pihak, minum alkohol dengan bertanggungjawab, dan sebagainya. Ini belum lagi mengambil kira perkara-perkara yang jelas-jelas melanggar hak asasi manusia dan memudharatkan orang lain seperti campur tangannya di dalam menetapkan seksualiti manusia dan hukuman akibat melanggar penetapan tersebut. Lagipun, jika pendirian yang tuhan itu tidak wujud (a.k.a. atheism) boleh dikategorikan sebagai sebuah agama, maka ketidakpercayaan kepada tuhan hanya satu daripada n agama yang wujud di bumi, dan peluang mereka yang tidak percaya kewujudan tuhan untuk masuk ke neraka di dalam dunia yang mempunyai tuhan adalah sebaik orang lain, iaitu n-1/n.

Orait, aku nak pi makan bayi dan minum darah kambing hitam jap.

Sedikit kartun untuk menghilangkan bosan:




Wednesday, 4 December 2013

Bebelan berkenaan dengan sekolah dan khilafah

Lawak sial bila teringat balik nasyid-nasyid yang dimainkan kepada aku di radio waktu bersekolah dulu. Salah satunya, lagu Arab ini: http://www.youtube.com/watch?v=SJ5kdTWnaLI. Terjemahan sebahagian daripada liriknya berbunyi begini: „China milik kami, Arab milik kami, India milik kami, semua milik kami.“ Tak ke kau terasa: “Gila bapak ah!”? Bayangkan kalau orang Kristian atau Buddha atau Hindu menyanyikan lagu dengan lirik yang sama. Rasa orang Islam akan suka tak dengan lagu ini? Pastinya tidak, sebab atas dasar apa yang mereka mahu mengisytiharkan mana-mana negara sebagai milik mereka? Tapi Muslim boleh rasakan yang apa yang dinyanyikan di dalam nasyid ini adalah dijustifikasikan, hanya kerana mereka berpendapat yang tuhan dan agama mereka ialah agama yang benar. Heh, agama-agama lain juga mempunyai pendapat yang sama tentang tuhan dan agama mereka sendiri.

Aku tak pasti sama ada pemikiran imperialisme sebegini mendapat tempat dalam minda-minda majoriti Muslim di Malaysia atau pun tidak, tapi yang pastinya, di rangkaian sekolah-sekolah Islam di Malaysia, yang salah satu daripadanya merupakan sekolah yang aku hadiri sewaktu sekolah menengah dahulu, ia merupakan sesuatu yang ditanam di dalam pemikiran kami, sama ada di dalam kelas, sewaktu aktiviti ko-kurikulum, mahupun di dalam usrah.

Muslim sibuk dengan teori konspirasi berkenaan dengan cubaan pihak ini dan itu untuk meng-anti-islah dan menakluk dunia, tapi mereka tidak sedar diri sendiri. Bagi aku, kalau adalah sekelompok manusia yang benar-benar bercita-cita untuk menakluk dunia, dengan taktik perluasan kuasa dan peperangan yang diluluskan oleh perlembagaan mereka sendiri, ia merupakan Muslim. Aku bukan bercakap sebagai seorang Islamophobe dan paranoid, akan tetapi, ini pendidikan yang aku alami sendiri apabila aku pergi ke sekolah. Aku disuapkan kisah-kisah agung zaman lampau berkenaan dengan khilafah, bagaimana ianya adalah satu-satunya sistem yang diredhai oleh Allah dan ia merupakan penyelesaian kepada penderitaan umat. Aku diajar yang membangkitkan semula khilafah ialah tanggungjawab Muslim seluruhnya.

Pembukaan?

Satu benda yang aku tak boleh faham, malah sewaktu aku masih Muslim lagi ialah kenapa Islam menjustifikasikan perluasan kuasa menggunakan peperangan dan penaklukan. Muslim tak suka menggunakan istilah penaklukan, oleh sebab itu mereka menggunakan kata alas „pembukaan“. Aku diajar yang sesebuah wilayah yang tidak duduk di bawah sistem Islam, penduduknya sentiasa ditindas oleh kezaliman sistem non-Muslim ini. Oleh sebab itu, apabila datangnya pertembungan antara wilayah non-Muslim ini dengan wilayah Muslim yang sedang meluaskan kuasanya, maka wilayah non-Muslim ini diberikan pilihan untuk menganut Islam, atau membayar jizyah, atau perang. Wilayah Islam ini boleh dikatakan sebagai wira yang bertugas untuk membebaskan manusia daripada kezaliman. Apa yang aku tak boleh faham ialah, apa jadi kalau wilayah non-Muslim ini sudah sedia aman dan makmur dalam kekufuran mereka. Cikgu-cikgu aku mungkin akan mengatakan ia sesuatu kemustahilan, dan aku pada umur tersebut mungkin akan mempercayai mereka.


Tapi perhatikan apa yang sedang berlaku di dunia. Negara-negara non-Muslimlah yang merupakan negara-negara termaju di dunia, yang paling aman dan kurang keganasan, yang menjaga kebajikan rakyat, yang menghormati hak asasi manusia, yang membuka ruang untuk kebebasan agama termasuk kepada agama kurang toleransi bernama Islam, dan lain-lain nilai positif. Maka nyatalah bahawa di sana wujudnya kemungkinan untuk kehidupan yang harmoni tanpa perlu mengikuti sistem Islam. Aku rasa sangat bertuah kerana berpeluang untuk melepaskan diri daripada delusi dan cucian otak yang terdapat di dalam masyarakat Muslim. Kerana dapat tahu yang apa yang telah disuapkan kepada aku suatu masa dahulu hanya merupakan ideologi yang terpisah sama sekali daripada realiti.

Sunday, 27 October 2013

Ada apa dengan pengharaman muzik?

Muzik, inilah titik kelemahan di dalam keimanan aku sewaktu aku masih Muslim. Jika ada satu larangan Allah yang paling selalu aku langgar sambil menikmatinya, ianya adalah muzik. Aku perlu akui yang aku sangat-sangat menyukai muzik. Bahkan, aku mencintai muzik. Ia adalah passion aku. Bagi aku, muzik antara perkara yang menjadikan hidup ini berbaloi. Tapi dulu, sebagai seorang Muslim, aku juga mencintai Allah. Oleh sebab itu, dua cinta bertembung: Satunya cinta kepada Allah, satu lagi ialah cinta kepada muzik. Kalau engkau tengok episod muhasabah dan taubat aku berkaitan dengan muzik ini, memang lucu.

Seperti yang pernah aku ceritakan di dalam satu post sebelum ini, keluarga aku mengalami peralihan dalam mengikuti agama Islam. Mak ayah aku dulunya tidak membenarkan langsung untuk mendengar lagu di radio. Maka aku membesar dengan mendengar nasyid dan muzik latar di dalam filem. Sewaktu kecil, aku tak pernah mempersoalkan keanehan polisi ini. Sekarang bila memikirkannya, apa bezanya jika aku mendengar lagu "The Circle of Life" dan "Can You Feel the Love Tonight" di dalam filem Lion King berbanding dengan mendengarnya di radio?

Kemudian apabila aku mencecah umur lebih kurang 13 tahun, aku mula mendengar lagu di radio. Lebih tepat lagi di Walkman yang dibeli oleh kakak aku. Aku sering berpendapat yang kakak aku ialah seorang yang paling rendah sekali tahap keimanannya dalam kalangan adik-beradik kami, kerana antara lainnya, dialah yang paling tidak segan silu untuk mendengar lagu. Sorry Kakak, kalau Kakak baca ni. Pada waktu itu, polisi “tiada muzik kafir” tidak lagi seketat ketika aku masih kecil. Tapi aku masih lagi berhati-hati supaya tidak nampak begitu asyik apabila mendengar lagu. Bagi remaja yang lahir pada awal 90-an, pada umur ini, lagu-lagu hit pada waktu itu ialah seperti Perfect – Simple Plan, Unwell – Matchbox Twenty, Here Without You – 3 Doors Down dan tidak boleh dilupakan, album yang (pada pendapat aku) terbaik oleh Linkin Park iaitu Meteora. Pada masa yang sama, lebih tepat lagi antara akhir 2002 dan 2003, aku menonton dua filem terakhir bagi trilogi the Lord of the Rings. Muzik di dalam filem-filem tersebut betul-betul membuatkan penghargaan muzik aku meningkat ke tahap yang baru. Selain daripada itu, aku juga pernah membeli alat muzik, dan menghabiskan berjam-jam setiap hari untuk berlatih.

Tapi suatu ketika, apabila aku mula mengambil isu keimanan dengan sangat serius, aku mula mendedahkan diri aku kepada bacaan dan kajian sendiri berkenaan dengan Islam dan cara hidup Nabi. Apabila aku melihat nas-nas serta perbahasan yang di lakukan oleh ulama’, aku akhirnya datang kepada konklusi yang muzik itu adalah haram. Aku dengan sedikit teragak-agak membuang alat muzik yang aku beli, serta mendelete segala fail muzik di dalam komputer sehingga apa yang tinggal ialah bacaan Qur'an lengkap oleh beberapa imam yang terkenal; Abdul Rahman al-Sudais, Sa'ad Said Al-Ghamidi, Mishari Rashid Al-Afasy. Tapi setelah beberapa hari, aku mula perlahan-lahan mendengar semula muzik (tapi alat muzik yang telah dibuang itu tidak dapat diselamatkan lah). Kitaran mendengar, berhenti mendengar dan bertaubat, kemudian kembali mendengar ini berlaku beberapa kali dalam hidup aku sebagai seorang Muslim.

Sebagai seorang yang munasabah, apa sangatlah untuk tidak mendengar muzik selama 72 tahun (jangka hayat purata seorang lelaki Malaysia) di atas muka bumi ini berbanding dengan keredhaan Allah yang selama-lamanya? Tambahan pula, di syurga, segala yang kita hajatkan boleh ditunaikan dengan begitu mudah, termasuklah kemahuan untuk menikmati muzik. Jika mahu dinilai dengan logik, memang langkah yang paling waras ialah untuk mengorbankan sedikit kenikmatan dunia ini untuk nikmat akhirat yang berpanjangan. Tapi tak dapat dinafikan, muzik ialah sesuatu yang tanpanya aku akan sangat sukar untuk hidup, sehingga aku bertekad pada satu hari yang apabila aku akhirnya bertemu dengan Allah di akhirat kelak, aku akan terpaksa meminta maaf di atas perbuatan aku yang agak mementingkan diri sendiri ini.

Kalau engkau Muslim, dan engkau kisah tentang mentaati Allah dan Rasulnya, serta engkau beriman kepada Qur'an dan Hadis, engkau akan ambil isu muzik dengan serius. Cuba engkau lihat sendiri dan nilai segala dalil-dalil yang berkaitan dengan muzik. Engkau akan dapati yang memang secara jelasnya, atitud para Salafussoleh terhadap muzik ialah ianya merupakan sesuatu yang secara mutlaknya haram, melainkan dalam situasi-situasi yang spesifik, seperti pada masa pernikahan dan hari perayaan. Dan dalam kes-kes yang ia diharuskan pun, ianya hanya boleh dilakukan oleh kanak-kanak perempuan. Persetankanlah khilaf. Tanya diri engkau secara jujur, adakah engkau rela untuk meninggalkan kenikmatan yang sedikit ini untuk keredhaan Allah yang lebih tinggi? Atau engkau akan memberi alasan dengan mengatakan yang: "Mustahil yang Islam mengharamkan muzik. Lihat, ulama‘ sendiri tidak bersepakat dalam hal ini. Maka, aku akan mengambil pendapat yang lebih longgar."  Adakah keimanan dan kecintaan kepada Allah ataupun nafsu yang mendorong engkau untuk mengambil satu pendapat di atas pendapat yang lain? Tepuk dada, tanya iman.

Aku lihat pengharaman muzik di dalam Islam ini sebagai cara untuk melepaskan diri daripada kecintaan dunia dan memfokuskan diri kepada perkara-perkara yang lebih penting untuk mendekatkan diri kepada Allah. Akhirnya, ia adalah cubaan Muhammad dalam memberikan identiti kepada spiritualiti Islam. Di sana, ada satu kenyataan yang mahu disampaikan: "Inilah kami. Kami adalah Muslim. Dan kami tidak memerlukan sesuatu yang begitu remeh seperti muzik untuk membenarkan kami hidup dalam ketenangan. Qur’an dan zikir dan kata-kata baik sudah indah dan bermakna bagi telinga kami, sedang muzik hanyalah bunyi-bunyian kosong yang tidak bermakna dan hanya melalaikan kami daripada mengingati tuhan kami".

Banyak daripada pendapat Muhammad berkenaan dengan perkara-perkara yang terdapat di dunia ini adalah salah dan berpunca daripada kejahilan ataupun prejudis. Sebab itu kita boleh lihat yang dia mengeluarkan kata-kata yang jahil seperti anjing hitam itu ialah syaitan[1], yang pendebungaan antara pohon-pohon tamar yang berlainan itu tidak membawa manfaat[2], dan berkaitan dengan perbincangan kita ini, yang muzik itu ialah sesuatu yang negatif (secara tidak langsung melalui pengharamannya). Tapi sudah tentulah dia salah. Muzik dan spiritualiti ialah sesuatu yang sangat dekat, kerana muzik mempunyai kebolehan untuk mempengaruhi psikologi manusia dengan cara yang memberikan inspirasi kepada seseorang seperti yang dapat dialami melalui ritual agama, meditasi dan pemerhatian alam. Dalam banyak budaya, daripada Kristianiti kepada Sufism, muzik ialah sesuatu yang berkait dengan apa yang mereka definisikan sebagai spiritualiti.


Sebagai penutup, aku mahu berkongsi dengan engkau lagu yang menceritakan tentang keberkaitan alam semesta dengan kita. Apabila aku duduk berseorangan di waktu malam, ketika badan-badan langit menampakkan diri mereka, dan aku dengar lagu ini, ia memberikan aku perasaan takjub dan kagum yang tak pernah aku rasai jika aku membaca Qur’an. Heh, surah Ar-Rahman bagaikan pantun dua kerat jika mahu dibandingkan dengan karya agung ini:



"The beauty of the living thing is not the atoms that go into it, but the way those atoms are put together... The cosmos is also within us, we're made of star stuff. We are a way for the cosmos to know itself."
-Carl Sagan-


Saturday, 26 October 2013

Parasit yang memanipulasi kebebasan suara

Ayyuha-l-muslimun!!! Tengok video ni. Pastu ingat part yang ada sorang brother ni cakap yang dia hanya melaksanakan kebebasan suara untuk menyampaikan mesej kebencian dia.


Dah tengok? Sekarang, aku menyatakan pendapat aku, yang orang seperti ini hanyalah parasit yang memanipulasi nikmat kebebasan suara untuk kepentingan diri sendiri. Mereka mahu memperjuangkan sistem yang mempunyai kebebasan suara yang terhad (engkau boleh panggilnya "syariah" kalau kau mahu) menggunakan kebebasan suara yang digunakan oleh negara bukan Islam. Mungkin ini tidak melanggar mana-mana undang-undang, kerana kebebasan suara memastikan yang sesiapa pun boleh mengatakan apa yang mereka mahukan, walaupun ianya penuh dengan kebencian dan tidak disukai oleh majoriti. Tapi adakah ini satu tindakan yang baik? Lebih-lebih lagi, adakah ini satu tindakan yang bermaruah? Kalau situasinya diterbalikkan, dan orang Kristian (contohnya) memprotes di negara Islam menggunakan ruangan yang disediakan oleh negara Islam tersebut, adakah korang akan mempunyai pendapat yang sama terhadap mereka, seperti pendapat yang korang punyai terhadap para Muslimin yang memprotes di dalam video ini? Sila datang dan nyatakan pendapat korang berkenaan dengan kenyataan aku ini. Moga ada perbincangan yang menarik. Mari, mari!

Saturday, 12 October 2013

Gambar, hijab, riba, spiritualiti dan penghakisan agama

Sebelum bermula, aku memohon sejuta kemaafan jika mengecewakan mereka yang mengikuti blog ini, yang mengharapkan kekerapan post yang konsisten. Sebab kelewatan ini ialah kemalasan dan kekurangan disiplin diri, kesibukan dan juga bahan yang tidak mencapai kualiti yang sewajarnya; sesuatu yang aku anggap sangat penting bagi para pembaca. Tapi aku harap para pembaca sedar, penangguhan ini tidak dilakukan dengan hati yang senang. Perasaan yang aku alami ini boleh disamakan dengan perasaan tak senang hati yang kau alami bila kau meninggalkan sesuatu yang wajib, atau melakukan sesuatu yang haram. Harapnya dengan meluahkan perasaan serba salah ini, serta dengan memohon kemaafan dengan ikhlas, kalian dapat memaafkan aku.

***

Satu hari, setelah agak lama tidak pulang ke rumah disebabkan tinggal di tempat belajar, aku agak pelik apabila mendapati yang seseorang daripada ahli keluarga aku telah membingkaikan gambar kami sekeluarga dan meletakkannya di atas meja ruang tamu. Pelik kerana dulunya benda macam ini tak diterima oleh keluarga kami. Menurut hadis [1], malaikat rahmat tidak masuk ke rumah yang di dalamnya ada gambar haiwan (termasuk manusia). Walaupun aku tidak menegur perbuatan tersebut kerana cenderung untuk mengelak konflik dan merasakan yang harmoni itu lebih berharga daripada ketegasan dalam amalan, tapi bukankah jelas yang ini ialah satu perbuatan yang tidak Islamik, jika mereka benar-benar menghayati apa yang terkandung di dalam hadis? Tapi mungkin “Islamik” itu sendiri ialah sesuatu yang subjektif. Di mana aku mungkin akan merasakan yang keimanan aku tidak sempurna jika aku tidak mengikuti hadis pengharaman gambar itu, ahli keluarga aku merasakan yang ianya sudah tidak lagi mempengaruhi keimanan mereka.

Di sini kita boleh lihat yang Muslim tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada teks dan wahyu untuk mendefinisikan apa itu baik atau buruk bagi diri mereka sendiri. Hakikatnya, banyak ajaran yang terdapat di dalam Islam sama ada sudah tidak lagi relevan atau tidak praktikal di dalam kehidupan Muslim yang moden. Dalam kes gambar, mereka tidak lagi kisah sama ada malaikat rahmat memasuki rumah mereka ataupun tidak. Kerana walaupun mereka wajib untuk percaya kepada benda-benda yang ghaib, termasuk malaikat; dan jikalau ada pun pengaruh terhadap kehidupan mereka melalui perletakan gambar di dalam atau penyingkiran gambar daripada rumah mereka, pengaruh tersebut tak dapat dikesan dan atas sebab itu kewujudan dan pengaruh malaikat rahmat diabaikan dan dilakukan seolah-olah tidak wujud, dan Muslim menjalani kehidupan mereka tanpa memikirkan langsung tentangnya.

Kita boleh lihat fenomena pengabaian ajaran agama dalam banyak kes yang lain. Hijab contohnya. Sesetengah keluarga Muslim tidak langsung menitikberatkan hijab, tapi jika ada orang yang menghina Nabi, merekalah antara orang yang pertama yang akan pergi membuat demonstrasi untuk membantah perbuatan tersebut. Mereka mempunyai perasaan tergolong (sense of belonging) kepada istilah "Muslim" dan agama Islam, walaupun mereka sendiri tidak mengamalkan Islam dengan seperti mana yang diajarkan dan ditunjukkan oleh Muhammad. Mereka secara sengaja dan sedar memilih apa yang mereka rasakan baik dan praktikal di dalam Islam, dan berpegang hanya kepada itu. Bagi mereka, kod pakaian yang tidak konvensyenal tidak menghalang seseorang itu daripada menjadi individu Muslim yang sivil dan baik.

Contoh lain boleh dilihat dalam riba. Riba ialah jenayah yang sangat besar sehingga diancam dengan ancaman peperangan oleh Allah dan rasulnya [2]. Tapi sedikit sangat Muslim pada hari ini yang pernah membeli rumah atau kereta tanpa menggunakan pinjaman yang tidak melibatkan riba. Alasan yang selalu digunakan ialah demi kemaslahatan yang lebih besar. Agak pelik di mana Allah meletakkan umatnya yang tercinta di dalam satu keadaan di mana untuk mencapai "kebaikan yang lebih tinggi", mereka terpaksa melakukan jenayah yang begitu besar sekali. Apa-apa pun justifikasi mereka, kenapa Muslim tidak meletakkan ketaatan di atas kemaslahatan? Kenapa tidak pilih untuk hidup dalam kesukaran sebentar di dunia yang fana ini, tapi memenuhi kehendak tuhan dan akhirnya mendapat ganjaran yang lebih besar dan berkekalan di akhirat kelak, berbanding dengan kemudahan yang sementara sambil melanggar batasan tuhan? Jawapannya mudah, sebab ianya tidak realistik.

Aku pernah berdebat dengan seorang kawan (yang kegoyahan imannya boleh disandarkan kepada “hasutan” yang dilakukan oleh aku) sama ada penyampaian mesej atheism itu perlu atau pun tidak. Aku berpendapat, ya, kerana aku rasakan yang agama membawa banyak mudharat kepada manusia. Dia berpendapat yang atheism ialah hasil daripada masyarakat yang sudah “cukup”. Jika engkau mampu “mencukupkan” masyarakat, maka mereka akan meninggalkan dan mengabaikan agama dengan suka rela. Maka, apa yang perlu diusahakan ialah proses “pencukupan”, bukannya penyebaran ketidakpercayaan kepada tuhan. Kerana penyebaran antithesis kepada kepercayaan kepada tuhan ialah satu langkah yang terlalu drastik, yang hanya akan mengundang retaliation (tindak balas yang ganas) yang akan merugikan kedua-dua pihak. Lebih baik membiarkan perubahan datang secara beransur-ansur dan semulajadi. Aku pada hari ini cenderung untuk bersetuju dengan pendapatnya.

Apa yang aku maksudkan dengan “cukup”? Cukup dalam erti kata, kebanyakan daripada fungsi yang dimainkan oleh tuhan dan agama telah diambil alih oleh ejen-ejen fizikal, sehingga manusia tidak lagi mempunyai keperluan dan kemahuan terhadap agama. Agama, termasuk Islam, ialah peninggalan daripada zaman kejahilan manusia. Dulunya masyarakat Arab tidak memahami kenapa boleh berlakunya gerhana matahari, maka Muhammad telah mengeluarkan agakannya [3] bagi memberikan “penjelasan” kepada fenomena yang mencemaskan ini. Tapi sains telah berjaya menerangkan gerhana matahari tanpa perlu membuat andaian yang sama seperti yang telah Muhammad telah lakukan. Zakat pernah memainkan peranan dalam pengagihan kekayaan; sistem cukai yang 100% sekular dapat memainkan peranan yang sama. Api neraka pernah dipersalahkan apabila manusia mengalami demam dan Islam cara pengubatannya ialah menggunakan air [4], tapi pada hari ini punca demam telah difahami dengan cukup baik dan cara untuk mengubatnya tidak langsung bergantung kepada andaian yang ianya disebabkan oleh neraka.

Aku yakin yang kepandaian ialah salah satu sebab kenapa spesis kita begitu berjaya. Bak kata pepatah, “knowledge is power”, dan keupayaan manusia untuk memahami persekitarannya telah banyak membantu spesis kita dalam survivalnya di bumi. Tapi, dengan kepandaian yang kita dapati daripada evolusi kita, kita akan tidak dapat tidak bertembung dengan persoalan-persoalan yang sukar, seperti “apakah erti dan tujuan kehidupan”, “bagaimana mahu mencapai ketenangan jiwa” atau “apakah itu kebahagiaan”. Soalan-soalan seperti ini digolongkan dalam spiritualiti dan setakat ini perlu diakui yang kita masih tidak mempunyai ijmak atau persetujuan umum berkenaan dengan jawapan kepadanya. Aku rasa, selagi mana manusia tidak memahami spiritualiti secara total dan objektif serta berjaya untuk mengasingkan amalan-amalan yang benar-benar berkesan dalam mendidik “jiwa” daripada amalan-amalan rambang dan khurafat; agama, yakni sebuah pakej yang terkandung di dalamnya campuran antara keduanya, akan terus wujud. Tapi pengalaman menunjukkan yang banyak perkara-perkara yang dahulunya hanya mampu “diterangkan” oleh agama, sekarang ini sudah mampu dijawab oleh ilmu-ilmu ladiniyyah (tidak berkaitan dengan agama). Aku positif yang agama akan lambat laun hilang kuasa penjelasannya dan akan pupus sama sekali.

[2] Al-Baqarah, ayat 278-279
[3] Di dalam hadis (http://www.usc.edu/org/cmje/religious-texts/hadith/bukhari/018-sbt.php#002.018.158 ), diriwayatkan yang Muhammad menyebut yang Allah mahu menakutkan hambanya menggunakan gerhana. Agak pelik kerana fenomena gerhana ini pastinya sesuatu yang sangat lazim di dalam alam ini. Ambil Marikh sebagai contoh. Marikh mempunyai bulannya yang tersendiri. Bahkan dua bulan, Phobos dan Deimos. Kita tertanya-tanya, siapalah agaknya penduduk malang Marikh yang mahu ditakutkan oleh Allah apabila dia menjadikan Phobos beredar seketika di antara matahari dan Marikh? Mungkin jin.

Sunday, 25 August 2013

Islam yang sangat Bumi

Mars One merupakan sebuah projek untuk menghantar manusia ke planet Marikh dan menubuhkan sebuah koloni manusia di sana menjelang tahun 2023. Jika projek ini berjaya, maka Bumi bukanlah lagi satu-satunya planet yang diduduki oleh manusia. Hal ini akan mendatangkan sedikit kesukaran kepada golongan ulama’ Islam terutamanya dalam menjawab isu-isu berkenaan dengan ibadah khusus seperti solat dan haji.

Menurut ajaran Islam, selain daripada keadaan darurat, yakni mendesak atau memaksa, solat hendaklah dilakukan dengan menghadap Ka’bah, sebuah bangunan berbentuk kubus yang terletak di Makkah, Arab Saudi. Kesukaran yang dihadapi oleh ulama’ ialah apabila keadaan “darurat” ini menjadi sesuatu norma apabila jumlah Muslim bertambah ramai, menjadikan populasi Muslim yang tinggal di planet-planet lain melebihi populasi Muslim yang menduduki Bumi. Permasalahan yang sama dapat dilihat dalam kes ibadah haji, di mana umat Islam perlu menziarahi Makkah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi menjalani ibadah tersebut. Jika di atas Bumi pun terdapat ramai manusia yang dikecualikan daripada ibadah haji yang menjadi rukun Islam, maka apatah lagi bagi mereka yang tinggal di planet-planet yang lain? Ini menjadikan kita tertanya-tanya, apakah sebabnya disyariatkan sesuatu yang begitu penting jika ia tidak mampu untuk dilakukan oleh ramai manusia? Apakah maqasid al-syari’ah (tujuan atau matlamat) yang cuba dicapai oleh pensyariatan ibadah haji? Mungkinkah ini bukti kepada keterikatan syari’ah Islam kepada faktor-faktor geografi dan dalam masa yang sama menafikan konsep alamiyyahnya (universaliti)?

Dalam perkembangan lain, berselari dengan konsep alamiyyah, gerakan Islamisasi Ikhwanul Muslimin (IM), dalam misi mereka untuk mengislahkan alam dan menyebarkan mesej suci Islam, telah mengadakan sebuah majlis syura. Antara hasil daripada mesyuarat tersebut, maratib amal atau tingkatan kerja yang diusulkan oleh penubuh IM Hassan Al-Banna tersebut telah dinilai sebagai lapuk dan memerlukan pengemaskinian. Berikut ialah gambar rajah maratib amal dalam versi yang telah dikemaskinikan:




Menurut wakil syura yang ditemuduga, maratib amal ini tertakluk kepada perkembangan dalam pengetahuan manusia yang selanjutnya dan pengemaskinian mungkin perlu dilakukan sekali lagi jika hipotesis multiverse itu terbukti benar.

Thursday, 22 August 2013

Talian hayat yang dibazirkan



Dinilai secara jujur, Qur’an sebenarnya mengandungi banyak perkara yang tidak membawa manfaat. Aku sebut lima jenis ayat-ayat yang tak membawa manfaat. Pertama, huruf-huruf pada awal sesetengah surah yang ulama’ sendiri tidak mengetahui apa maksudnya seperti alif lam mim, alif lam ra, dll. Kalau dibaca di dalam Qur’an terjemahan, kau akan jumpa komentar sebegini: Hanya Allah yang tahu maksudnya. Kedua, ayat-ayat penyaksian. Demi matahari, demi bintang, demi buah tin dan zaitun, dll. Ketiga, ayat-ayat yang jika diambil maknanya secara literal bertentangan terus dengan fakta, seperti penciptaan bumi dalam 6 hari, meteor digunakan untuk merejam syaitan, Allah beristiwa (bersemayam, duduk) di atas Arash, dll. Keempat, pujian Allah terhadap diri sendiri. Sebagai pencipta alam, bukankah Allah sendiri yang patut paling tahu yang “action speaks louder than words”? Kelima, ayat-ayat yang diulang-ulang seperti dalam Ar-Rahman dan Al-Mursalat. Aku pasti banyak lagi contoh yang boleh diberi.


Kalau kau merupakan seorang pencipta yang mempunyai talian terakhir untuk memberikan arahan yang paling lengkap yang boleh engkau sampaikan kepada ciptaan engkau sebelum talian itu terputus, apa yang akan engkau sampaikan? Engkau tahu yang ciptaan engkau akan menghadapi banyak dan sesetengah daripada mereka akan berpaling kepada wahyu kau untuk petunjuk. Patutkah engkau muatkan satu-satunya manual, yang sah dan wajib dipegang oleh setiap individu dan yang akan menjadi panduan hidup manusia sehingga ke pengakhiran dunia, dengan perkara-perkara yang tidak berguna?

Gambar: http://kgi.org/sites/default/files/checklist.jpg

Tuesday, 20 August 2013

Kenapa aku dulunya membenci teori evolusi



Setiap individu yang pernah hidup di atas muka bumi ini; kau, aku, dan setiap orang yang kita kenali; berasal dari seorang manusia, iaitu Adam, yang diciptakan dari tanah dan yang ke dalamnya ditiupkan roh. Manusia kedua; yang merupakan seorang wanita, isteri kepada Adam yang dinamakan Hawa; diciptakan oleh Allah daripada rusuk Adam. Mereka berdua tinggal di dalam syurga, sehingga pada suatu hari, sebab Allah inginkan yang di atas muka bumi terdapatnya khalifah (wakil dalam pemerintahan), dia telah mendatangkan sebab untuk Adam dan Hawa diturunkan ke bumi dengan membenarkan mereka memakan buah dari sebuah pokok yang dilarang. Apabila di bumi, Adam dan Hawa telah melahirkan anak-anak, dan hasil daripada sumbang mahram antara anak-anak Adam (yang dibenarkan syariat pada masa tersebut), lahirlah generasi yang seterusnya. Daripada itu bercabanglah pelbagai bangsa manusia yang wujud pada hari ini.

Ini ialah sebuah kenyataan yang wajib diimani oleh setiap Muslim. Seorang Muslim dikehendaki untuk mempercayai setiap perkara, bahkan setiap huruf (termasuk huruf-huruf misteri seperti alif lam mim dan kaf ha ya ‘ain shad), yang terkandung di dalam Qur’an. Aku dahulunya, seperti berbilion Muslim-Muslim yang lain, mempercayai kenyataan ini sebagai sebuah fakta. Untuk berbuat sebaliknya ialah untuk mengingkari kebenaran kitab Qur’an, justeru menumbangkan salah satu daripada rukun-rukun iman dan menjatuhkan seseorang itu daripada keimanan kepada kekafiran. Kekafiran merupakan sesuatu yang tidak dipandang ringan oleh Allah dan jenayah ini dihukum dengan seksaan neraka yang berpanjangan selama-lamanya.

Terdapat masalah dengan kenyataan ini. “Manusia berasal dari Adam” ialah satu kenyataan yang berkaitan dengan realiti alam. Ia cuba untuk memberikan penjelasan kepada bagaimana manusia boleh datang kepada kewujudan di atas muka bumi ini. Kenyataan ini boleh jadi salah atau betul. Jika kenyataan ini betul, maka ia merupakan satu fakta, yang kita semua berasal dari Adam. Manakala jika kenyataan ini salah, maka faktanya ialah kita tidak berasal dari Adam. Apabila sesuatu dakwaan dibuat berkenaan dengan realiti alam fizikal, ia tidak dapat tidak akan bertembung dengan pemeriksaan dan semakan. Masalah dengan kenyataan ini ialah, ia tidak benar dan telah terbukti salah. Spesis manusia bukan keturunan satu individu yang dicipta dari tanah, akan tetapi kita dan spesis beruk-beruk yang lain telah mengalami evolusi daripada satu leluhur yang sama. Rasanya tak perlu aku sebutkan satu persatu daripada bukti yang berlambak yang menyokong teori evolusi; internet ialah sahabat karib anda.

Kenapa aku dulunya membenci teori evolusi? Kerana ia merupakan pesaing* kepada teori Adam dan Hawa bagi memberikan penjelasan kepada bagaimana manusia boleh datang kepada kewujudan. Dan ini berbahaya kepada keimanan aku yang mempercayai kebenaran literal kisah Adam dan Hawa. Kalau teori evolusi dibuktikan betul, maka natijahnya ialah teori Adam dan Hawa ialah salah. Jika kita semua tidak berasal daripada Adam, maka apa yang dikatakan oleh Qur’an ialah salah. Implikasi yang datang daripada ini adalah sangat besar. Bagaimana Qur’an, sebuah kitab yang datang daripada tuhan yang maha mengetahui dan didakwa sempurna dan bebas daripada kesalahan, boleh mengandungi kesalahan? Di sini sahaja, dua kenyataan telah dibuktikan salah. Iaitu; satu, kita datang daripada Adam, dan dua, Qur’an bebas daripada kesalahan. Dan jika ia salah di dalam hal ini, entah-entah dalam hal-hal lain pun ia salah?

Hakikatnya, teori evolusi tidak menghalang seseorang itu untuk percaya kepada tuhan. Ini kesalahfahaman yang dipunyai oleh ramai orang: Untuk mempercayai teori evolusi ialah untuk tidak mempercayai tuhan. Salah. Mempercayai teori evolusi tidak bermaksud tidak mempercayai tuhan. Bahkan, banyak saintis yang masih beragama tapi percaya kepada kebenaran teori evolusi. Kerana tiada apa yang menghalang seseorang itu untuk mempercayai yang evolusi itu hanyalah satu mekanisme yang tuhan gunakan untuk mencipta pelbagai jenis hidupan di bumi. Kalau Allah itu maha berkuasa dan boleh melakukan apa sahaja, kenapa mustahil baginya untuk menggunakan evolusi untuk melaksanakan kehendaknya? Tak, evolusi tak menghalang keimanan kepada tuhan. Tapi apa yang dilakukan oleh teori evolusi ialah, ia memusnahkan kebolehharapan kaedah interpretasi literal kisah Adam dan Hawa yang terkandung dalam agama-agama samawi (Yahudi, Kristian dan Islam).

Apa penyelesaian kerumitan situasi ini kepada umat Islam? Aku mempunyai ramai kawan yang bijak, bakal jurutera dan doktor, tapi masih terpaksa bertarung dengan masalah ketidakselarian antara teks agama dengan realiti. Agak sedih untuk melihat mereka yang mempunyai minda-minda yang berbakat, tapi terpaksa menggantung logik mereka apabila datang kepada penilaian kritikal teks agama. Tapi masalah ini tak sepatutnya wujud. Umat Islam boleh secara jujurnya mengakui yang dalam majoriti masa dalam sejarah kewujudan agama Islam, mereka telah membuat kesilapan dengan melihat ayat-ayat seperti kisah Adam sebagai sesuatu yang literal. Sesudah itu mereka boleh mengambil pendekatan alegorikal dalam menginterpretasi ayat-ayat sebegini, dan dalam masa yang sama masih lagi mengekalkan keimanan mereka terhadap Islam dan Qur’an. Rasanya sudah sampai masanya yang umat Islam membuka ruang baru dalam perbincangan ilmiah berkenaan dengan agama mereka dan mengiktiraf satu cabang baru dalam mazhab-mazhab yang diterima sebagai sah, iaitu aliran yang membenarkan interpretasi Qur’an secara alegorikal dan bukan literal. Kalau agama lain mampu menunjukkan fleksibiliti ini, kenapa Islam yang alami (universal )ini tidak?

*Kisah dongeng tidak selayaknya diletakkan setaraf dengan satu teori saintifik. Tapi, sebab aku tiada perkataan yang lebih baik, aku terpaksa menggunakan perkataan ini.

Tuesday, 6 August 2013

Penting sangatkah tauhid?

Tauhid (keesaan) ialah antara hujah kenapa Muslim memilih Islam berbanding dengan agama-agama lain. Mereka berpendapat yang tauhid ialah satu-satunya konsep ketuhanan yang boleh wujud, apa-apa alternatif kepada tauhid akan menjadikan kewujudan alam ini sesuatu yang mustahil. Dalam Al-Qur’an ada disebut:

Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya… (Qur’an 21:22)

Aku tak bersetuju. Kenapa perlu sebegitu? Kenapa tuhan tak mampu bekerjasama dalam mentadbir alam? Bukankah tuhan ialah entiti yang mulia dan suci dari segala keburukan dan kelemahan? Tiada sebab kenapa dua (atau tiga, atau empat, atau sejuta) tuhan yang sempurna tidak mampu wujud di dalam sebuah sistem yang harmoni. Bahkan ia seolah-olah menghina keagungan konsep tuhan untuk membayangkan yang mereka merupakan entiti yang berkecenderungan untuk bergaduh dan bertelingkah seperti mana kita manusia.

Jangan ambil contoh kelompok tuhan-tuhan yang wujud di dalam mitos-mitos yang lain untuk membuktikan yang kalau tuhan itu ramai, maka keharmonian adalah mustahil, sebab mereka memang dimodelkan dari manusia. Fikir tentang Allah sendiri, yang Muslim fikir bebas daripada segala kelemahan. Dan cuba bayangkan Allah yang kedua, serupa, tapi asing daripada yang pertama. Sekarang beritahu aku kenapa dua kesempurnaan ini tak berkebolehan untuk hidup dalam harmoni.

Maka jika engkau gagal (untuk mendatangkan sebab), maka ketahuilah, bahawasanya tuhan berkemampuan untuk wujud (dengan harmoni) walau apapun bilangannya. (Al-Mulhidun 6:66)

Ayat terakhir tu bukan tu dari mana-mana kitab.

Kau tak takut neraka ke?

Aku pernah ditanyakan soalan ini oleh seorang kawan. Kau tak takut neraka ke? Secara jujurnya, aku masih kadangkala mempunyai kerisauan tentang neraka. Pernah satu malam, ketakutan tu datang secara tiba-tiba, dan aku menghadapi kesukaran untuk tidur.

Neraka ialah sesuatu yang menakutkan. Al-Qur’an telah berjaya dengan cemerlangnya untuk memastikan yang aku fahami, ingati dan hayati kenyataan itu. Cuba tengok kulit tangan kau. Kulit ialah organ deria yang sangat menarik, yang mampu menerima banyak deria, termasuk deria kepanasan. Sekarang bayangkan engkau ada kat dalam neraka, dan kulit engkau dibakar sehingga hangus. Dalam klasifikasi kecederaan kulit, bila kau sampai ke tahap third-degree burn, deria kulit kau dah tak berfungsi. Tapi oleh sebab Al-Alim tahu macam mana kulit berfungsi, dia, yang juga merupakan Ar-Rahman, akan mengembalikan kulit kau kepada keadaan asalnya supaya engkau dapat menikmati azab neraka selama-lamanya (Qur’an, 4:56). Ini salah satu contoh daripada banyak contoh kengerian neraka yang disebut di dalam Al-Qur’an. Dan banyak lagi ayat-ayat pelengkap lain yang boleh didapati di dalam himpunan hadith untuk membantu menghantui minda-minda kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Aku telah jalani sebahagian besar daripada hidup dengan aku mempercayai neraka sebagai satu hakikat. Hakikat yang telah disuap ke dalam pemikiran aku dan diulang-ulang sejak kecil lagi. Bila fikir balik, aku tak ingat bila aku pernah tak tahu tentang neraka. Benda-benda yang kau selalu ulang dari kecil, susah untuk dilupakan. Dia sebati dengan kau, membentuk sebahagian daripada diri kau. Macam juzu’ ‘Amma lah. Kalau kau tebuk (kata kerja yang digunakan dalam kalangan penghafal Qur’an, lebih kurang sinonim dengan uji secara rawak) aku mana-mana surah dalam juzu’ ‘Amma, kebarangkalian yang aku masih ingat lagi ayat-ayat kat dalam juzu’ tersebut adalah tinggi, walaupun dah lama dah aku tak ulangkaji.

Ya, aku masih lagi cuak dengan neraka. Jadi? Neraka ialah satu fenomena yang benar-benar wujud? Kalau kau senaraikan kriteria yang perlu dipenuhi bagi melayakkan sesuatu itu untuk dipanggil sebagai sebuah fakta, ketakutan kepada sesuatu itu bukan salah satu daripadanya. Untuk menunjukkan betapa tak masuk akalnya logik ini, kita lihat satu kisah tahyul orang barat: Bogeyman. Bogeyman ialah rekaan orang dewasa untuk menakutkan kanak-kanak supaya mereka berkelakuan baik. Sesetengah kanak-kanak benar-benar takut dan percaya kepada kewujudan bogeyman, seperti mana orang Islam takut dan percaya kepada kewujudan neraka. Tapi kita tahu yang bogeyman ini hanyalah rekaan. Dan setakut mana pun kanak-kanak di dunia ini terhadap bogeyman, ini takkan sedikit pun mengubah kenyataan yang bogeyman itu tidak wujud.

Kesimpulannya, walaupun aku masih kadangkala risau tentang neraka akibat kesan pendidikan yang aku terima sejak kecil, ketakutan itu bukanlah penentu kepada kewujudan neraka.

Friday, 19 July 2013

Syaitan dan Ramadhan

Masalah dengan tinggal di negara kuffar laknatullahi alaihim ialah ketiadaan pihak berkuasa pusat (central authority) apabila datang kepada isu-isu agama. Jadi pada awal Ramadhan hari tu, berlakulah ketidakpastian antara rakan senegara Malaysia berkenaan dengan tarikh bermulanya Ramadhan. Kebetulan aku ada dua kawan yang tidak sepakat bila mulanya Ramadhan. Seorang telah bermula berpuasa pada 9 Julai mengikut masjid tempatan, sementara seorang lagi berpuasa pada 10 Julai. Itu semua tiada masalah, kerana Islam meraikan perbezaan pendapat. Tapi persoalannya, bagaimanakah pemenjaraan syaitan dilakukan? Seperti mana yang telah disentuh dalam post lepas, Ramadhan bermula pada tarikh yang berlainan bergantung kepada mazhab dan kaedah. Adakah ini bermaksud yang syaitan juga dipenjarakan pada masa yang berlainan? Sedang syaitan-syaitan bagi kawan aku yang seorang telah dipenjarakan, syaitan-syaitan kawan yang lagi satu masih bebas berkeliaran. Adakah percaturan Arash dikawal oleh perbezaan mazhab di bumi?

Monday, 8 July 2013

Selamat datang, Ramadhan!


Selamat datang, Ramadhan! Dan selamat datang, pada malam esok, bagi zon yang berbeza pendapat atau kaedah atau mazhab.

Friday, 28 June 2013

Alasan untuk menyiksa?



Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini". (Al-A'raf, 172)

Aku tak ingat pun tentang peristiwa ini. Apa gunanya memori yang tak dapat diingati?

Wednesday, 12 June 2013

Tuhan Ruang Kosong


Edited 21/8/2013:

Gambar ini telah diedit dari versi asal bahasa Inggeris. Kredit pergi kepada pencipta.

Monday, 3 June 2013

Di manakah tanda daripada tuhan apabila kita memerlukannya?

Dengan keramaian manusia dan kebanyakan maksiat dan kerosakan yang terdapat pada zaman ini, kau mungkin fikir: “Inilah masa yang terbaik untuk tuhan turunkan wahyu yang terkini.” Jika seluruh penduduk bumi mati pada hari ini, majoriti daripada kita akan masuk ke neraka. Dan melihat kepada jumlah manusia pada hari ini, kita akan membuat rekod umat paling celaka dengan bilangan penduduk neraka teramai. Jadi, masuk akallah bagi seorang tuhan yang penyayang dan pengasih untuk melakukan apa yang paling munasabah, iaitu menyelamatkan sebanyak jiwa yang mungkin. Sekurang-kurangnya kalau kau bersetuju dengan konsep utilitarianisme. Tapi nampaknya tuhan tak bersependapat dengan sesetengah daripada kita. Bahkan, tuhan nampaknya hanya boleh mendatangkan petanda dan mukjizat pada masa yang manusia itu masih lagi bergelumang di dalam khurafat, kejahilan dan kebutaan teknologi dan saintifik. Bayangkan kalau petanda diturunkan pada hari ini, di mana wujudnya internet dan satelit dan sistem dokumentasi yang baik. Mudah sahaja tuhan mahu menjadikan kewujudannya dan kehendaknya diketahui ramai. Tapi tak, tuhan terus bersembunyi.

Aku ada satu cadangan. Kenapa tidak, kita cuba lihat sama ada sesetengah dakwaan yang terdapat di dalam Hadith itu benar atau tidak? Sebagai contoh: Dikatakan dalam Hadith yang mayat para syuhada itu tidak reput. Jadi, baik sahaja kalau saintis dibenarkan untuk menguji sama ada ini benar ataupun tidak. Dunia Muslim tidak perlu takut, kerana kebenaran itu pasti di pihak mereka, dalam kata lain, kita mampu katakan dengan 100% keyakinan yang mayat para syuhada itu pastinya tidak reput. Dan spesimen manakah yang lebih baik jika para syuhada bukan di medan Uhud yang kesyahidan mereka ialah sesuatu yang pasti dan dipersetujui ramai*. Kau mungkin katakan: “Jangan kurang ajar terhadap para sahabat.” Fikir lagi sekali. Kalau sahabat merasakan yang menunjukkan tubuh suci mereka akan menyebabkan jutaan, bahkan, berbilion manusia masuk Islam, mereka pasti akan tanpa teragak-agak bersetuju dengan cadangan ini. Tambahan pula, darjat mereka di dalam syurga, yang sudah pun tinggi, mungkin akan ditinggikan lagi. Amacam, umat Islam, ada berani? Inilah peluang dakwah yang terbaik bagi anda semua!


*Salah satu komplikasi isu syahid ini ialah, ianya sesuatu yang sukar untuk ditentukan, sama ada seseorang itu betul-betul syahid ataupun tidak. Kita ambil contoh Mali. Baru-baru ini aku melihat sebuah dokumentari berkenaan dengan peperangan di Mali (http://goo.gl/O66DI). Mayat para mujahid yang tumpas di tangan tentera France laknatullah di dalam peperangan tersebut nampaknya reput seperti reputnya mayat-mayat normal, mayat seorang pemuda yang malang dipenuhi dengan lalat. Dari pemerhatian ini, kita boleh datang kepada konklusi yang sama ada hadith berkenaan dengan ketidakreputan mayat para syuhada ialah dhaif ataupun maudhu’, ataupun Muhammad telah melakukan pendustaan, ataupun mereka telah mati katak.

Wednesday, 8 May 2013

Apa nak buat dengan hadith pemerintah yang zalim?

Si literalis menelan bulat-bulat, dengan keyakinan bahawa model pemerintahan yang telah terbukti berkali-kali sebagai tidak efektif ini akan (entah bagaimana) membawa penyelesaian kepada kemelut umat. Si tajdidis, menyedari realiti dunia yang tidak berfungsi di atas idealisme, memutar belit, mencari justifikasi dan interpretasi alternatif bagi membolehkan mereka mengeluarkan fatwa yang mereka rasakan sesuai dengan realiti semasa tanpa menunjukkan kekurangyakinan mereka terhadap intipati sebuah hadith sahih yang secara jelasnya bertentangan dengan akal seorang manusia yang sihat. Si anti-hadithis menafikan terus relevans hadith.

Saturday, 4 May 2013

Tariq Ramadan

Not bad... Aku ingatkan dah takde harapan lagi dah untuk umat Islam. Tapi dengan orang macam dia ini, umat Islam mungkin masih ada fighting chance kat dalam dunia moden ini. Persoalannya, adakah pemikiran seperti pemikirannya diterima oleh komuniti mainstream Muslim?

Pemimpin yang bodoh dan hina

Dari sebelum Muhammad lagi, dunia telah menyaksikan orang-orang bangang memerintah masyarakat. Point Luka' bin Luka' dalam checklist petanda hari kiamat telahpun ditick sebelum Muhammad menyebutnya. Aku tak rasa itu menjadi simptom yang sesuai untuk mendiagnosis penghujung dunia.

Wednesday, 10 April 2013

For the rest of my life

Aku minat gila Maher Zain. Tapi bila fikir pasal realiti perkahwinan dalam Islam, keromantikan lagu tu hilang sedikit. Sebab biasanya lagu-lagu jiwang macam For the Rest of My Life ditujukan hanya kepada seorang cinta sejati je. Tapi dalam kes Islam, lagu tu boleh juga ditujukan kepada tiga isteri yang lain, yang menjadikannya agak pelik...(?)

Hey, itu sifat Muslim!

Ini trend yang aku perhatikan dewasa ini pada golongan Melayu Muslim. Bila mereka tengok negara orang ada transparensi, mereka kata: "Hey, itu sifat Muslim!" Bila tengok negara orang mementingkan alam sekitar: "Hey, itu tabiat Muslim!" Bila tengok pemimpin negara lain berlaku adil: "Hey, itu akhlak Muslim!" Aku ada berita untuk engkau, itu bukan nilai-nilai Muslim. Maksud aku, itu bukannya nilai-nilai yang Muslim boleh panggil sebagai milik sendiri. Kebanyakan nilai mulia yang terdapat dalam ajaran Islam, terkandung juga dalam agama-agama dan budaya-budaya yang lain. Pernah dengar tentang nilai moral sejagat?

Apa yang seorang Muslim cuba capai dengan membuat dakwaan hak milik ini? Aku rasa, apa yang cuba untuk dicapai di sini ialah efek dakwah, iaitu menampakkan keindahan Islam. Akan tetapi, sekiranya aku ada beberapa agama dan masing-masing mempunyai nilai yang sama, contohnya membenci korupsi dan menghargai sifat amanah, aku tidak dapat mengatakan agama mana yang lebih baik daripada yang lain berasaskan kriteria tersebut. Ini tidak menunjukkan yang Islam itu lebih baik daripada agama yang lain, sebaliknya yang Islam itu sama seperti agama lain. Ini tidak membantu mempromosi Islam, sebaliknya membantu mempromosi pluralisme.

Ianya juga agak annoying melihat claim-claim ini dibuat. Cuba bayangkan apa reaksi seorang Muslim Turki jika mengetahui yang presiden Turki, Erdogan, dipuji dalam Tibet Times dan dikatakan mempunyai ciri-ciri seorang Buddhis sejati? Mesti: "Hek-elleh, perasan gila, orang Tibet ni."

Kesimpulannya, nilai sejagat itu bukan milik sesiapa, dan tidak patut dilabel dengan pelabelan mana-mana agama. Panggil "nilai/sifat/akhlak mulia" sudahlah. Tapi, no shit, Sherlock, takkan kau nak point out benda yang obvious setiap kali ada pemimpin menunjukkan sifat yang patut diteladani kot?

Thursday, 21 March 2013

Kalau Allah ciptakan dunia...

Siapa yang mencipta Allah? Soalan ini memang membahayakan iman, sebab itu ia dilabel secara bijaknya oleh Muhammad sebagai was-was yang (didakwa olehnya) datang dari syaitan. Aku tak cakap pasal infinite regress. Aku cakap pasal tuhan kepada Allah, hanya dua tingkat ketuhanan. Jika model ketuhanan berfungsi dengan satu tingkat, ia juga boleh berfungsi dengan dua (atau tiga atau empat atau apa-apa nombor positif yang bukan infiniti) tingkat tanpa mendatangkan paradoks infinite regress. Orang suka menggunakan hujah: Dunia yang sebegitu teratur ini pasti mempunyai pengatur. Kalau logik ini digunakan, kita boleh mengatakan bahawa pengatur itu sendiri mempunyai minda yang maha-kompleks, yang membawa implikasi (menggunakan logik yang sama) bahawa Allah pastinya mempunyai tuhan. Jika logik ini tidak boleh diaplikasikan kepada Allah, kenapa ia perlu diaplikasikan kepada alam? Jika Allah tidak perlu mempunyai pencipta dan mampu wujud secara sendirinya, kenapa alam ini tidak mampu melakukan yang sama?

Saturday, 16 March 2013

Pengenalan


Aku tak mengira yang penulisan ini akan menerima audiens yang besar, mahupun yang ia akan membawa impak yang signifikan terhadap masyarakat Malaysia. Tapi aku terpanggil untuk memberikan sedikit sumbangan dalam bentuk provokasi minda, bertujuan untuk mendorong saudara-saudara sebahasa dan serumpun untuk merenung agama mereka sendiri. Cukuplah dengan suapan selektif yang dilakukan oleh kerajaan dan pelbagai badan-badan dakwah. Ambil dari segala sumber, persoalkan segalanya. Kalau tuhan menciptakan minda manusia ini dengan sifat ingin tahu yang sangat kuat, salahkah jika seorang manusia itu berfikir dan mempersoalkan segalanya? Bukankah ini fitrah, sesuatu yang diraikan oleh Islam itu sendiri? (Berbicara berkenaan dengan fitrah, definisi yang disediakan oleh Islam itu sendiri adalah pincang, tapi itu untuk penulisan kali yang lain.) Jika benarlah Islam itu terdiri di atas hujah, bukti dan kebenaran, maka tiada ketakutan yang patut dirasakan oleh golongan agama sekiranya muda-mudi meletakkan Islam di dalam penelitian dan pemeriksaan logik, kerana kebenaran pastinya akan mengatasi kebatilan. Aku sudah tidak beriman dengan kebenaran keseluruhan al-Qur’an, tapi, aku rasa ada kebenaran dalam ayat ini:

Dan katakanlah: “Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap”. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. (Al-Isra’, 81)

Aku akan cuba sedaya upaya untuk mengarang dalam bahasa Melayu. Tetapi atas sebab kemahiran bahasa Melayu aku yang terhad, anda akan menjumpai banyak pinjaman perkataan dari bahasa Inggeris dalam penulisanku. Tapi aku berharap ini tidak akan menghalang aku daripada menyentuh minda-minda Melayu.