Aku ada
pengakuan yang mahu dibuat. Sebenarnya, aku mempunyai kuasa telepati yang berfungsi
secara spesifik, iaitu aku berkebolehan untuk membaca fikiran mereka yang
sedang membaca blog aku. Termasuk engkau. Kalau engkau fikir yang engkau boleh
lari dengan berhenti membaca, aku mahu memberitahu yang sudah terlambat untuk berbuat
demikian. Pengumpulan maklumat yang aku lakukan dapat dilakukan kurang daripada
satu saat. Secara spesifiknya, aku hanya perlukan 1/72 saat je. Sekarang, segala maklumat peribadi engkau
dah ada dalam ingatan aku. Aku tahu apa yang engkau makan tadi. Siapa dia yang mempunyai tempat istimewa kat dalam hati kau. Apa fantasi
nakal engkau. Laman web apa yang kau biasa layari seorang-seorang sewaktu orang
lain tiada di rumah atau pejabat. Di mana engkau kerja dan tinggal. Nombor dan PIN
kepada akaun bank kau. Tapi jangan risau. Engkau boleh memadam segala memori
berkenaan dengan diri engkau yang telah aku kumpul tadi dengan pergi ke
mana-mana air terjun pada pukul 3 pagi dan mandi di bawahnya selama satu jam
sambil menyanyi lagu Negaraku. Tapi engkau perlu cepat, sebelum aku tetiba ada
selera untuk memusnahkan kehidupan seseorang.
Aku pasti yang
engkau tak risau walau sesaat pun bila aku menceritakan kisah aku tadi (kalau
ya, aku risau tentang kau). Kenapa? Sebab kewujudan kuasa telepati itu sendiri
tidak pernah dibuktikan kebenarannya. Maka, segala implikasi yang bersangkut
paut dengannya masih belum layak untuk diambil kira.
Semuanya berbalik
kepada persoalan asas berkenaan dengan kewujudan kuasa telepati. Aku suka
panggil persoalan ini "hipotesis pertama". Engkau boleh membentuk formulasi
yang pelbagai bagi hipotesis ini, tapi mari kita setuju dengan formulasi
berikut, iaitu: Kuasa telepati itu wujud. Kenyataan ini boleh jadi benar atau
boleh jadi salah. Kemudian, di atas hipotesis pertama ini, terdapat
hipotesis-hipotesis lain yang boleh dibina. Seperti, kuasa telepati ini hanya
berfungsi apabila seorang itu sedang membaca blog Mulhid Melayu. Benar atau
salah. Pembacaan fikiran ini berlangsung dalam masa 1/72 saat. Benar atau
salah. Kesan pembacaan fikiran ini boleh dihilangkan dengan mandi air terjun di
pagi hari sambil menyanyikan lagu Negaraku. Benar atau salah. Dan sebagainya. Kita boleh kategorikan hipotesis-hipotesis
ini sebagai hipotesis sekunder. Ia sekunder kerana kebenarannya memerlukan
prasyarat yang hipotesis pertama itu benar. Jika prasyarat itu dipenuhi, yakni,
jika hipotesis pertama itu benar, maka barulah wujud kebarangkalian yang
hipotesis-hipotesis sekunder itu benar. Jika hipotesis pertama itu salah, maka
hipotesis-hipotesis sekunder itu secara automatiknya menjadi tidak lagi
relevan.
Dalam alam ini,
terdapat seinfiniti hipotesis yang masih belum terbukti tidak betul, dan oleh
sebab itu boleh jadi betul. Contohnya, kita sekarang sedang hidup di
dalam program simulasi yang dipanggil the Matrix (rujuk movie Matrix: http://www.youtube.com/watch?v=tgBViHeiSKM).
Ataupun kita semua sekarang ini sedang bermimpi dalam sebuah mimpi yang jelas
dan panjang (rujuk Inception, takde link bagi babak yang spesifik). Ataupun, alam semesta kita ini terkandung di dalam
sebiji guli yang menjadi permainan alien (rujuk ending Men in Black: http://www.youtube.com/watch?v=EF6aEFFMxjU). Untuk melahirkan
tindakan terhadap hipotesis-hipotesis sekunder kepada mana-mana hipotesis
pertama di atas dasar "boleh jadi ia betul" ialah untuk bertindak dengan
ketidakkonsistensi logikal. Sebagai contoh, mengapa seseorang itu memilih untuk
berusaha untuk keluar daripada the Matrix untuk membebaskan kaum manusia, tapi
dalam masa yang sama dia tidak berusaha untuk bangun dari tidur dengan membunuh
diri (kena tengok Inception untuk faham ni)? Sebab dari segi pembuktian,
kedua-dua hipotesis, Matrix dan Inception, juga tidak mempunyai apa-apa bukti
untuk menyokong kebenarannya. Maka selayaknya mereka sama ada diabaikan pada tahap
yang sama, atau mereka dilayan dan diambil kira pada tahap yang sama.
Bagi aku, agama
juga merupakan hipotesis sekunder. Agama mengandungi banyak detail-detail
spesifik seperti konsep syurga-neraka, konsep dosa-pahala, perkara-perkara
ghaib dll. yang relevansnya bergantung kepada kebenaran hipotesis pertama,
iaitu tuhan itu wujud. Selagi kewujudan tuhan itu masih belum dibuktikan, maka
untuk mengamalkan mana-mana agama itu merupakan sesuatu tindakan yang tidak
bijak. Tambahan pula, terdapat begitu banyak agama di atas muka bumi
ini. Untuk mendahulukan satu agama ke atas agama-agama lain ialah untuk berjudi
di atas perjudian. Perjudian yang pertama ialah sama ada tuhan itu wujud. Dalam
perjudian ini, ada 50:50 peluang untuk betul. Kemudian, terbina di atas
perjudian pertama tadi, perjudian kedua, iaitu agama x ialah agama yang benar.
Di atas muka bumi ini terdapat sejumlah n agama. Jika setiap agama itu seperti
Islam, iaitu mengakui yang hanya diri sendiri sahaja yang benar, maka
kebarangkalian untuk seseorang itu untuk memilih agama yang benar ialah 1/n. Kalau
engkau dulunya optimistik dengan tahuran ala-ala Pascal yang peluang untuk
menangnya ialah 1/n, sekarang bayangkan kebarangkalian yang engkau betul itu
dikurangkan dengan setengah, iaitu 1/(2n). Aku pasti tahap optimisme engkau
tidak lagi setinggi sebelum ini. Melainkan engkau jenis yang tak munasabah dan betul-betul yakin diri.
Atas sebab itulah, aku telah berhenti solat, puasa, berdoa,
mengambil berat tentang aurat, memakan daging halal, dan sebagainya. Sehingga
kewujudan tuhan itu dapat dibuktikan dengan bukti-bukti yang mencukupi, ianya
menjadi satu jenayah intelek untuk melakukan lompatan kepercayaan dan memilih
untuk beramal dengan mana-mana agama, termasuk agama Islam. Tambahan pula, agama
banyak memakan masa dan tenaga dengan ritual-ritual yang aneh dan leceh,
disamping mengakibatkan bebanan psikologi dan emosi yang datang dari perasaan serba salah
atas kelakuan-kelakuan yang tidak memudharatkan orang lain, seperti (dalam kes
Islam) tidak menutup aurat, onani, seks luar nikah dengan kerelaan kedua-dua
pihak, minum alkohol dengan bertanggungjawab, dan sebagainya. Ini belum lagi
mengambil kira perkara-perkara yang jelas-jelas melanggar hak asasi manusia dan memudharatkan
orang lain seperti campur tangannya di dalam menetapkan seksualiti manusia dan
hukuman akibat melanggar penetapan tersebut. Lagipun, jika pendirian yang tuhan
itu tidak wujud (a.k.a. atheism) boleh dikategorikan sebagai sebuah agama, maka
ketidakpercayaan kepada tuhan hanya satu daripada n agama yang wujud di bumi,
dan peluang mereka yang tidak percaya kewujudan tuhan untuk masuk ke neraka di
dalam dunia yang mempunyai tuhan adalah sebaik orang lain, iaitu n-1/n.
Orait, aku nak pi makan bayi dan minum darah kambing hitam jap.
Sedikit kartun untuk menghilangkan bosan:
lol, jenayah intelek. :)
ReplyDelete