Lawak sial bila teringat balik nasyid-nasyid
yang dimainkan kepada aku di radio waktu bersekolah dulu. Salah satunya, lagu Arab ini: http://www.youtube.com/watch?v=SJ5kdTWnaLI. Terjemahan sebahagian daripada liriknya berbunyi begini: „China milik kami, Arab milik kami, India milik
kami, semua milik kami.“ Tak ke kau terasa: “Gila bapak ah!”? Bayangkan kalau
orang Kristian atau Buddha atau Hindu menyanyikan lagu dengan lirik yang sama. Rasa orang Islam akan suka tak dengan lagu ini? Pastinya tidak, sebab
atas dasar apa yang mereka mahu mengisytiharkan mana-mana negara sebagai milik
mereka? Tapi Muslim boleh rasakan yang apa yang dinyanyikan di dalam nasyid ini
adalah dijustifikasikan, hanya kerana mereka berpendapat yang tuhan dan agama
mereka ialah agama yang benar. Heh,
agama-agama lain juga mempunyai pendapat yang sama tentang tuhan dan agama
mereka sendiri.
Aku tak pasti sama ada
pemikiran imperialisme sebegini mendapat tempat dalam minda-minda majoriti Muslim
di Malaysia atau pun tidak, tapi yang pastinya, di rangkaian sekolah-sekolah
Islam di Malaysia, yang salah satu daripadanya merupakan sekolah yang aku
hadiri sewaktu sekolah menengah dahulu, ia merupakan sesuatu yang ditanam di
dalam pemikiran kami, sama ada di dalam kelas, sewaktu aktiviti ko-kurikulum, mahupun
di dalam usrah.
Muslim sibuk dengan teori konspirasi berkenaan
dengan cubaan pihak ini dan itu untuk meng-anti-islah dan menakluk dunia, tapi
mereka tidak sedar diri sendiri. Bagi aku, kalau adalah sekelompok manusia yang
benar-benar bercita-cita untuk menakluk dunia, dengan taktik perluasan kuasa
dan peperangan yang diluluskan oleh perlembagaan mereka sendiri, ia merupakan
Muslim. Aku bukan bercakap sebagai seorang Islamophobe dan paranoid, akan
tetapi, ini pendidikan yang aku alami sendiri apabila aku pergi ke sekolah. Aku
disuapkan kisah-kisah agung zaman lampau berkenaan dengan khilafah, bagaimana
ianya adalah satu-satunya sistem yang diredhai oleh Allah dan ia merupakan
penyelesaian kepada penderitaan umat. Aku diajar yang membangkitkan semula
khilafah ialah tanggungjawab Muslim seluruhnya.
Pembukaan?
Satu benda yang aku tak boleh faham, malah
sewaktu aku masih Muslim lagi ialah kenapa Islam menjustifikasikan perluasan
kuasa menggunakan peperangan dan penaklukan. Muslim tak suka menggunakan istilah
penaklukan, oleh sebab itu mereka menggunakan kata alas „pembukaan“. Aku diajar
yang sesebuah wilayah yang tidak duduk di bawah sistem Islam, penduduknya sentiasa
ditindas oleh kezaliman sistem non-Muslim ini. Oleh sebab itu, apabila datangnya
pertembungan antara wilayah non-Muslim ini dengan wilayah Muslim yang sedang
meluaskan kuasanya, maka wilayah non-Muslim ini diberikan pilihan untuk
menganut Islam, atau membayar jizyah, atau perang. Wilayah Islam ini boleh
dikatakan sebagai wira yang bertugas untuk membebaskan manusia daripada
kezaliman. Apa yang aku tak boleh faham ialah, apa jadi kalau wilayah
non-Muslim ini sudah sedia aman dan makmur dalam kekufuran mereka. Cikgu-cikgu
aku mungkin akan mengatakan ia sesuatu kemustahilan, dan aku pada umur tersebut
mungkin akan mempercayai mereka.
Tapi perhatikan apa yang sedang berlaku di dunia.
Negara-negara non-Muslimlah yang merupakan negara-negara termaju di dunia, yang
paling aman dan kurang keganasan, yang menjaga kebajikan rakyat, yang
menghormati hak asasi manusia, yang membuka ruang untuk kebebasan agama
termasuk kepada agama kurang toleransi bernama Islam, dan lain-lain nilai
positif. Maka nyatalah bahawa di
sana wujudnya kemungkinan untuk kehidupan yang harmoni tanpa perlu mengikuti
sistem Islam. Aku rasa sangat bertuah kerana berpeluang untuk melepaskan diri
daripada delusi dan cucian otak yang terdapat di dalam masyarakat Muslim. Kerana
dapat tahu yang apa yang telah disuapkan kepada aku suatu masa dahulu hanya
merupakan ideologi yang terpisah sama sekali daripada realiti.
No comments:
Post a Comment