Sunday 25 August 2013

Islam yang sangat Bumi

Mars One merupakan sebuah projek untuk menghantar manusia ke planet Marikh dan menubuhkan sebuah koloni manusia di sana menjelang tahun 2023. Jika projek ini berjaya, maka Bumi bukanlah lagi satu-satunya planet yang diduduki oleh manusia. Hal ini akan mendatangkan sedikit kesukaran kepada golongan ulama’ Islam terutamanya dalam menjawab isu-isu berkenaan dengan ibadah khusus seperti solat dan haji.

Menurut ajaran Islam, selain daripada keadaan darurat, yakni mendesak atau memaksa, solat hendaklah dilakukan dengan menghadap Ka’bah, sebuah bangunan berbentuk kubus yang terletak di Makkah, Arab Saudi. Kesukaran yang dihadapi oleh ulama’ ialah apabila keadaan “darurat” ini menjadi sesuatu norma apabila jumlah Muslim bertambah ramai, menjadikan populasi Muslim yang tinggal di planet-planet lain melebihi populasi Muslim yang menduduki Bumi. Permasalahan yang sama dapat dilihat dalam kes ibadah haji, di mana umat Islam perlu menziarahi Makkah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi menjalani ibadah tersebut. Jika di atas Bumi pun terdapat ramai manusia yang dikecualikan daripada ibadah haji yang menjadi rukun Islam, maka apatah lagi bagi mereka yang tinggal di planet-planet yang lain? Ini menjadikan kita tertanya-tanya, apakah sebabnya disyariatkan sesuatu yang begitu penting jika ia tidak mampu untuk dilakukan oleh ramai manusia? Apakah maqasid al-syari’ah (tujuan atau matlamat) yang cuba dicapai oleh pensyariatan ibadah haji? Mungkinkah ini bukti kepada keterikatan syari’ah Islam kepada faktor-faktor geografi dan dalam masa yang sama menafikan konsep alamiyyahnya (universaliti)?

Dalam perkembangan lain, berselari dengan konsep alamiyyah, gerakan Islamisasi Ikhwanul Muslimin (IM), dalam misi mereka untuk mengislahkan alam dan menyebarkan mesej suci Islam, telah mengadakan sebuah majlis syura. Antara hasil daripada mesyuarat tersebut, maratib amal atau tingkatan kerja yang diusulkan oleh penubuh IM Hassan Al-Banna tersebut telah dinilai sebagai lapuk dan memerlukan pengemaskinian. Berikut ialah gambar rajah maratib amal dalam versi yang telah dikemaskinikan:




Menurut wakil syura yang ditemuduga, maratib amal ini tertakluk kepada perkembangan dalam pengetahuan manusia yang selanjutnya dan pengemaskinian mungkin perlu dilakukan sekali lagi jika hipotesis multiverse itu terbukti benar.

Thursday 22 August 2013

Talian hayat yang dibazirkan



Dinilai secara jujur, Qur’an sebenarnya mengandungi banyak perkara yang tidak membawa manfaat. Aku sebut lima jenis ayat-ayat yang tak membawa manfaat. Pertama, huruf-huruf pada awal sesetengah surah yang ulama’ sendiri tidak mengetahui apa maksudnya seperti alif lam mim, alif lam ra, dll. Kalau dibaca di dalam Qur’an terjemahan, kau akan jumpa komentar sebegini: Hanya Allah yang tahu maksudnya. Kedua, ayat-ayat penyaksian. Demi matahari, demi bintang, demi buah tin dan zaitun, dll. Ketiga, ayat-ayat yang jika diambil maknanya secara literal bertentangan terus dengan fakta, seperti penciptaan bumi dalam 6 hari, meteor digunakan untuk merejam syaitan, Allah beristiwa (bersemayam, duduk) di atas Arash, dll. Keempat, pujian Allah terhadap diri sendiri. Sebagai pencipta alam, bukankah Allah sendiri yang patut paling tahu yang “action speaks louder than words”? Kelima, ayat-ayat yang diulang-ulang seperti dalam Ar-Rahman dan Al-Mursalat. Aku pasti banyak lagi contoh yang boleh diberi.


Kalau kau merupakan seorang pencipta yang mempunyai talian terakhir untuk memberikan arahan yang paling lengkap yang boleh engkau sampaikan kepada ciptaan engkau sebelum talian itu terputus, apa yang akan engkau sampaikan? Engkau tahu yang ciptaan engkau akan menghadapi banyak dan sesetengah daripada mereka akan berpaling kepada wahyu kau untuk petunjuk. Patutkah engkau muatkan satu-satunya manual, yang sah dan wajib dipegang oleh setiap individu dan yang akan menjadi panduan hidup manusia sehingga ke pengakhiran dunia, dengan perkara-perkara yang tidak berguna?

Gambar: http://kgi.org/sites/default/files/checklist.jpg

Tuesday 20 August 2013

Kenapa aku dulunya membenci teori evolusi



Setiap individu yang pernah hidup di atas muka bumi ini; kau, aku, dan setiap orang yang kita kenali; berasal dari seorang manusia, iaitu Adam, yang diciptakan dari tanah dan yang ke dalamnya ditiupkan roh. Manusia kedua; yang merupakan seorang wanita, isteri kepada Adam yang dinamakan Hawa; diciptakan oleh Allah daripada rusuk Adam. Mereka berdua tinggal di dalam syurga, sehingga pada suatu hari, sebab Allah inginkan yang di atas muka bumi terdapatnya khalifah (wakil dalam pemerintahan), dia telah mendatangkan sebab untuk Adam dan Hawa diturunkan ke bumi dengan membenarkan mereka memakan buah dari sebuah pokok yang dilarang. Apabila di bumi, Adam dan Hawa telah melahirkan anak-anak, dan hasil daripada sumbang mahram antara anak-anak Adam (yang dibenarkan syariat pada masa tersebut), lahirlah generasi yang seterusnya. Daripada itu bercabanglah pelbagai bangsa manusia yang wujud pada hari ini.

Ini ialah sebuah kenyataan yang wajib diimani oleh setiap Muslim. Seorang Muslim dikehendaki untuk mempercayai setiap perkara, bahkan setiap huruf (termasuk huruf-huruf misteri seperti alif lam mim dan kaf ha ya ‘ain shad), yang terkandung di dalam Qur’an. Aku dahulunya, seperti berbilion Muslim-Muslim yang lain, mempercayai kenyataan ini sebagai sebuah fakta. Untuk berbuat sebaliknya ialah untuk mengingkari kebenaran kitab Qur’an, justeru menumbangkan salah satu daripada rukun-rukun iman dan menjatuhkan seseorang itu daripada keimanan kepada kekafiran. Kekafiran merupakan sesuatu yang tidak dipandang ringan oleh Allah dan jenayah ini dihukum dengan seksaan neraka yang berpanjangan selama-lamanya.

Terdapat masalah dengan kenyataan ini. “Manusia berasal dari Adam” ialah satu kenyataan yang berkaitan dengan realiti alam. Ia cuba untuk memberikan penjelasan kepada bagaimana manusia boleh datang kepada kewujudan di atas muka bumi ini. Kenyataan ini boleh jadi salah atau betul. Jika kenyataan ini betul, maka ia merupakan satu fakta, yang kita semua berasal dari Adam. Manakala jika kenyataan ini salah, maka faktanya ialah kita tidak berasal dari Adam. Apabila sesuatu dakwaan dibuat berkenaan dengan realiti alam fizikal, ia tidak dapat tidak akan bertembung dengan pemeriksaan dan semakan. Masalah dengan kenyataan ini ialah, ia tidak benar dan telah terbukti salah. Spesis manusia bukan keturunan satu individu yang dicipta dari tanah, akan tetapi kita dan spesis beruk-beruk yang lain telah mengalami evolusi daripada satu leluhur yang sama. Rasanya tak perlu aku sebutkan satu persatu daripada bukti yang berlambak yang menyokong teori evolusi; internet ialah sahabat karib anda.

Kenapa aku dulunya membenci teori evolusi? Kerana ia merupakan pesaing* kepada teori Adam dan Hawa bagi memberikan penjelasan kepada bagaimana manusia boleh datang kepada kewujudan. Dan ini berbahaya kepada keimanan aku yang mempercayai kebenaran literal kisah Adam dan Hawa. Kalau teori evolusi dibuktikan betul, maka natijahnya ialah teori Adam dan Hawa ialah salah. Jika kita semua tidak berasal daripada Adam, maka apa yang dikatakan oleh Qur’an ialah salah. Implikasi yang datang daripada ini adalah sangat besar. Bagaimana Qur’an, sebuah kitab yang datang daripada tuhan yang maha mengetahui dan didakwa sempurna dan bebas daripada kesalahan, boleh mengandungi kesalahan? Di sini sahaja, dua kenyataan telah dibuktikan salah. Iaitu; satu, kita datang daripada Adam, dan dua, Qur’an bebas daripada kesalahan. Dan jika ia salah di dalam hal ini, entah-entah dalam hal-hal lain pun ia salah?

Hakikatnya, teori evolusi tidak menghalang seseorang itu untuk percaya kepada tuhan. Ini kesalahfahaman yang dipunyai oleh ramai orang: Untuk mempercayai teori evolusi ialah untuk tidak mempercayai tuhan. Salah. Mempercayai teori evolusi tidak bermaksud tidak mempercayai tuhan. Bahkan, banyak saintis yang masih beragama tapi percaya kepada kebenaran teori evolusi. Kerana tiada apa yang menghalang seseorang itu untuk mempercayai yang evolusi itu hanyalah satu mekanisme yang tuhan gunakan untuk mencipta pelbagai jenis hidupan di bumi. Kalau Allah itu maha berkuasa dan boleh melakukan apa sahaja, kenapa mustahil baginya untuk menggunakan evolusi untuk melaksanakan kehendaknya? Tak, evolusi tak menghalang keimanan kepada tuhan. Tapi apa yang dilakukan oleh teori evolusi ialah, ia memusnahkan kebolehharapan kaedah interpretasi literal kisah Adam dan Hawa yang terkandung dalam agama-agama samawi (Yahudi, Kristian dan Islam).

Apa penyelesaian kerumitan situasi ini kepada umat Islam? Aku mempunyai ramai kawan yang bijak, bakal jurutera dan doktor, tapi masih terpaksa bertarung dengan masalah ketidakselarian antara teks agama dengan realiti. Agak sedih untuk melihat mereka yang mempunyai minda-minda yang berbakat, tapi terpaksa menggantung logik mereka apabila datang kepada penilaian kritikal teks agama. Tapi masalah ini tak sepatutnya wujud. Umat Islam boleh secara jujurnya mengakui yang dalam majoriti masa dalam sejarah kewujudan agama Islam, mereka telah membuat kesilapan dengan melihat ayat-ayat seperti kisah Adam sebagai sesuatu yang literal. Sesudah itu mereka boleh mengambil pendekatan alegorikal dalam menginterpretasi ayat-ayat sebegini, dan dalam masa yang sama masih lagi mengekalkan keimanan mereka terhadap Islam dan Qur’an. Rasanya sudah sampai masanya yang umat Islam membuka ruang baru dalam perbincangan ilmiah berkenaan dengan agama mereka dan mengiktiraf satu cabang baru dalam mazhab-mazhab yang diterima sebagai sah, iaitu aliran yang membenarkan interpretasi Qur’an secara alegorikal dan bukan literal. Kalau agama lain mampu menunjukkan fleksibiliti ini, kenapa Islam yang alami (universal )ini tidak?

*Kisah dongeng tidak selayaknya diletakkan setaraf dengan satu teori saintifik. Tapi, sebab aku tiada perkataan yang lebih baik, aku terpaksa menggunakan perkataan ini.

Tuesday 6 August 2013

Penting sangatkah tauhid?

Tauhid (keesaan) ialah antara hujah kenapa Muslim memilih Islam berbanding dengan agama-agama lain. Mereka berpendapat yang tauhid ialah satu-satunya konsep ketuhanan yang boleh wujud, apa-apa alternatif kepada tauhid akan menjadikan kewujudan alam ini sesuatu yang mustahil. Dalam Al-Qur’an ada disebut:

Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya… (Qur’an 21:22)

Aku tak bersetuju. Kenapa perlu sebegitu? Kenapa tuhan tak mampu bekerjasama dalam mentadbir alam? Bukankah tuhan ialah entiti yang mulia dan suci dari segala keburukan dan kelemahan? Tiada sebab kenapa dua (atau tiga, atau empat, atau sejuta) tuhan yang sempurna tidak mampu wujud di dalam sebuah sistem yang harmoni. Bahkan ia seolah-olah menghina keagungan konsep tuhan untuk membayangkan yang mereka merupakan entiti yang berkecenderungan untuk bergaduh dan bertelingkah seperti mana kita manusia.

Jangan ambil contoh kelompok tuhan-tuhan yang wujud di dalam mitos-mitos yang lain untuk membuktikan yang kalau tuhan itu ramai, maka keharmonian adalah mustahil, sebab mereka memang dimodelkan dari manusia. Fikir tentang Allah sendiri, yang Muslim fikir bebas daripada segala kelemahan. Dan cuba bayangkan Allah yang kedua, serupa, tapi asing daripada yang pertama. Sekarang beritahu aku kenapa dua kesempurnaan ini tak berkebolehan untuk hidup dalam harmoni.

Maka jika engkau gagal (untuk mendatangkan sebab), maka ketahuilah, bahawasanya tuhan berkemampuan untuk wujud (dengan harmoni) walau apapun bilangannya. (Al-Mulhidun 6:66)

Ayat terakhir tu bukan tu dari mana-mana kitab.

Kau tak takut neraka ke?

Aku pernah ditanyakan soalan ini oleh seorang kawan. Kau tak takut neraka ke? Secara jujurnya, aku masih kadangkala mempunyai kerisauan tentang neraka. Pernah satu malam, ketakutan tu datang secara tiba-tiba, dan aku menghadapi kesukaran untuk tidur.

Neraka ialah sesuatu yang menakutkan. Al-Qur’an telah berjaya dengan cemerlangnya untuk memastikan yang aku fahami, ingati dan hayati kenyataan itu. Cuba tengok kulit tangan kau. Kulit ialah organ deria yang sangat menarik, yang mampu menerima banyak deria, termasuk deria kepanasan. Sekarang bayangkan engkau ada kat dalam neraka, dan kulit engkau dibakar sehingga hangus. Dalam klasifikasi kecederaan kulit, bila kau sampai ke tahap third-degree burn, deria kulit kau dah tak berfungsi. Tapi oleh sebab Al-Alim tahu macam mana kulit berfungsi, dia, yang juga merupakan Ar-Rahman, akan mengembalikan kulit kau kepada keadaan asalnya supaya engkau dapat menikmati azab neraka selama-lamanya (Qur’an, 4:56). Ini salah satu contoh daripada banyak contoh kengerian neraka yang disebut di dalam Al-Qur’an. Dan banyak lagi ayat-ayat pelengkap lain yang boleh didapati di dalam himpunan hadith untuk membantu menghantui minda-minda kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Aku telah jalani sebahagian besar daripada hidup dengan aku mempercayai neraka sebagai satu hakikat. Hakikat yang telah disuap ke dalam pemikiran aku dan diulang-ulang sejak kecil lagi. Bila fikir balik, aku tak ingat bila aku pernah tak tahu tentang neraka. Benda-benda yang kau selalu ulang dari kecil, susah untuk dilupakan. Dia sebati dengan kau, membentuk sebahagian daripada diri kau. Macam juzu’ ‘Amma lah. Kalau kau tebuk (kata kerja yang digunakan dalam kalangan penghafal Qur’an, lebih kurang sinonim dengan uji secara rawak) aku mana-mana surah dalam juzu’ ‘Amma, kebarangkalian yang aku masih ingat lagi ayat-ayat kat dalam juzu’ tersebut adalah tinggi, walaupun dah lama dah aku tak ulangkaji.

Ya, aku masih lagi cuak dengan neraka. Jadi? Neraka ialah satu fenomena yang benar-benar wujud? Kalau kau senaraikan kriteria yang perlu dipenuhi bagi melayakkan sesuatu itu untuk dipanggil sebagai sebuah fakta, ketakutan kepada sesuatu itu bukan salah satu daripadanya. Untuk menunjukkan betapa tak masuk akalnya logik ini, kita lihat satu kisah tahyul orang barat: Bogeyman. Bogeyman ialah rekaan orang dewasa untuk menakutkan kanak-kanak supaya mereka berkelakuan baik. Sesetengah kanak-kanak benar-benar takut dan percaya kepada kewujudan bogeyman, seperti mana orang Islam takut dan percaya kepada kewujudan neraka. Tapi kita tahu yang bogeyman ini hanyalah rekaan. Dan setakut mana pun kanak-kanak di dunia ini terhadap bogeyman, ini takkan sedikit pun mengubah kenyataan yang bogeyman itu tidak wujud.

Kesimpulannya, walaupun aku masih kadangkala risau tentang neraka akibat kesan pendidikan yang aku terima sejak kecil, ketakutan itu bukanlah penentu kepada kewujudan neraka.