Monday 26 October 2015

"Bayi itu beragama…" Diam ah.

Bukan itu je la kot.

///

"Setiap bayi lahir dalam fitrah (keislaman). Maka ibu bapanyalah yang menjadikannya (beragama) Yahudi atau Kristian atau Majusi." Kata-kata ini diambil daripada hadis sahih Bukhari. Dakwaan ini ialah dakwaan yang kosong. Pertamanya ialah kemustahilan dakwaan ini. Seorang bayi tidak mempunyai apa-apa pendapat langsung tentang isu ketuhanan. Otaknya masih belum berkembang untuk merenung konsep ketuhanan. Bayangkanlah, bahkan konsep sangat mudah seperti kekekalan objek (objek yang hadir tidak berhenti wujud apabila ia disembunyikan daripada pancaindera) pun masih tidak ditangkap sehingga mencecah umur beberapa bulan. Inikan pula konsep ketuhanan Islam yang bukan sahaja begitu rumit, malah mempunyai komponen faktual. Mustahil bagi seorang bayi untuk lahir dengan keyakinan bahawa Muhammad, dan bukan orang lain, ialah utusan tuhan yang terakhir.

Kemudian, katakanlah pun yang memang Allah itu wujud, dan Muhammad itu pesuruhnya. Katakanlah juga yang bayi-bayi ini sebenarnya percaya kepada Allah dan Muhammad. Bagaimana mahu kita pastikan kenyataan ini? Pastinya kita tak boleh bertanya, kerana mereka tidak boleh memahami percakapan orang dewasa mahu pun menjawab dengan bahasa yang boleh difahami. Bagaimana pula kita mahu mengimbas otak bayi-bayi daripada pelbagai masyarakat dan merumuskan daripada imbasan tersebut yang bayi-bayi dari seluruh dunia ini mempunyai kepercayaan Islam? Setakat ini kita tidak mengetahui pola imbasan otak mana yang melambangkan keyakinan terhadap ketuhanan Allah dan kenabian Muhammad. Pendek kata, ini adalah tugas yang mustahil buat masa ini. Atas sebab itu, posisi yang paling bermurah hati yang boleh kita pegang berkenaan dengan hadis ini ialah agnostisisme. Boleh jadi semuanya betul, tapi kita tak boleh mengatakan dengan pasti.

Melihatkan kelemahan dakwaan ini, kenapa ia tetap dianggap relevan oleh orang Islam? Suspisi aku ialah dakwaan ini membuatkan orang  Islam merasa bangga terhadap kesemulajadian agama mereka berbanding dengan agama-agama lain yang hanya berbentuk korupsi terhadap fitrah. Seolah-olah kesemulajadian ialah penentu kepada keadaan yang patut dicapai. Ia bukan. Contoh bagi menunjukkan ketidakbolehharapan kesemulajadian dalam menentukan apa yang patut dilakukan ialah kecenderungan semulajadi manusia kepada perpuakan. Kita semua mempunyai kecenderungan inheren untuk lebih berempati dengan mereka yang dirasakan sebahagian daripada ras kita sendiri berbanding dengan mereka yang dirasakan di luar daripada ras kita. Adakah kecenderungan ini patut memandu kita dalam memberikan penilaian terhadap nyawa manusia berdasarkan ras? Dalam kata lain, adakah kita patut, berdasarkan kecenderungan semulajadi, mementingkan nyawa orang Melayu (contohnya, sebab aku Melayu) daripada nyawa orang Cina atau India? Tidak.  "Tapi, kan  perasaan ini semulajadi. Kenapa tak diraikan?" Kerana semulajadi tak semestinya baik. Kita ada sesuatu yang lebih baik iaitu konsep kesamarataan ras, yang kepentingannya hanya boleh dihayati dengan kesedaran dan renungan.

Kesimpulannya, terdapat tiga bantahan terhadap dakwaan fitrah keislaman bayi: kemustahilan, ketidakbolehbuktian dan falasi  appeal to nature. Aku juga mahu menekankan ketidakbergunaan dakwaan bahawa setiap bayi adalah ateis. Dakwaan ini mungkin sedikit lebih baik di mana ia mungkin tidak mustahil dan boleh dibuktikan melalui deduksi (sekiranya premis-premis tertentu adalah benar)*, akan tetapi ia tetap tak berguna atas sebab falasi yang sama. Jadi hentikan permainan bodoh ini.

*Secara definisinya, seorang ateis ialah sesiapa sahaja yang tidak mempunyai kepercayaan kepada tuhan. Bayi atas sebab ketidakmampuan akalnya tidak mampu membentuk kepercayaan terhadap konsep yang begitu rumit ini. Atas sebab itu, mereka tidak percaya dan secara definisinya adalah ateis. Tapi ketidakpercayaan ini bukannya penafian yang sengaja kepada dakwaan bahawa adanya tuhan yang mencipta alam ini. Bagi aku, ketidakpercayaan yang sebegini tak membawa apa-apa makna, terutamanya jika engkau ialah seorang yang secara aktifnya ingin mempelajari tentang kebenaran dunia ini.

Pada pendapat aku, pendirian ateisme, bahkan apa-apa kepercayaan sekali pun, hanya  mempunyai merit intelek jika seseorang itu datang kepadanya melalui renungan dan pembuktian. Kalaulah manusia tidak pernah terfikir untuk menyandarkan kewujudan alam ini kepada tindakan tuhan, dan semua orang secara lalainya (default) adalah ateis, maka menjadi seorang ateis tidak melambangkan apa-apa perkembangan minda. Tiada pencapaian atau kejayaan di situ,  yang ada hanya nasib baik. Lebih penting bagi aku ialah perjalanan itu sendiri, iaitu kesediaan apabila didatangkan bukti untuk membuang kepercayaan lama setelah menyedari kejahilan diri, dan bergerak kepada kepercayaan baru.