Sunday, 22 December 2013

Aku secara seriusnya tiada tajuk yang sesuai!!!

Lompatan aku daripada keimanan kepada ketidakimanan berlaku dalam masa yang agak pendek. Aku akan ceritakan sedikit bagaimana ia berlaku.

Pada akhir tahun 2012, aku mengikuti sebuah lawatan yang dianjurkan oleh universiti aku. Dalam lawatan tersebut, aku berkongsi bilik dengan kawan aku daripada universiti. Dia bukan kawan daripada kursus pengajian yang sama dengan aku. Aku pelajar kursus kejuruteraan. Dia pula pelajar kursus ekonomi dan undang-undang. Kami berkenalan kerana telah memilih kursus elektif bahasa yang sama. Melalui perkenalan ini, kami banyak bertukar pendapat berkaitan banyak perkara. Politik antarabangsa, ekonomi, bahasa, falsafah dan moraliti, dan tidak lupa juga, agama. Atas sebab perbualan, perbincangan dan pertukaran idea yang telah kami lakukan, kepercayaan aku kepadanya menjadi kukuh. Aku tahu yang dia merupakan seorang yang munasabah. Maka pada lawatan tersebut, aku telah menyatakan kepadanya keraguan aku tentang Islam dalam beberapa isu. Antara yang paling teruk ialah bagaimana Islam, menilai teks-teksnya dan dilihat daripada sejarahnya, ialah satu agama yang begitu hostile kepada homoseksualiti. Aku tidak dapat lihat bagaimana kebencian yang tak bertempat ini boleh dijustifikasikan. Dan aku bukanlah seorang yang homoseksual. Cuma dalam cubaan untuk mengalamiyahkan (atau menjadikan universal) prinsip „salam“ dan „peace“ yang aku pegangi selama itu, aku tak nampak kenapa para homoseksual perlu dikeluarkan daripada prinsip ini. Adakah mereka orang-orang yang jahat? Tidak. Mereka normal. Hanya seperkara sahaja yang membezakan mereka daripada „orang biasa“, iaitu mereka mempunyai preferens yang agak „tidak konvensional“ apabila datang kepada kemahuan seksual mereka. Itu sahaja (http://www.youtube.com/watch?v=CstD6O95L-o).

Lebih teruk lagi, apabila aku pelajari yang homoseksualiti ini bukanlah sentiasa satu pilihan. Ia mempunyai dasar di dalam genetik manusia itu sendiri. Dalam erti kata lain, seseorang itu dilahirkan dengan seksualitinya. Bukankah itu fitrah? Dan bukankah Islam ialah sepatutnya agama yang sesuai dengan fitrah manusia? Kenapakah, jika para sahabat merupakan mereka yang paling memahami Islam dan konsep kedamaian yang ia bawa, yang mereka boleh gagal dengan begitu teruk sekali dalam mengimplimentasikan prinsip kedamaian ini kepada para homoseksual, yang sebenarnya merupakan mereka-mereka yang tidak bersalah? Bagaimana Allah sendiri boleh mengabaikan pemberitahuannya kepada Muhammad tentang hakikat sebenar homoseksualiti, sehingga umat Islam mempunyai sejarah yang begitu ganas terhadap homoseksualiti? Banyak sangat soalan yang tak dapat dijawab. Semuanya tak masuk akal bagi aku.

Perbualan itu menjadi titik peralihan di dalam keimanan aku. Perlu disebut juga, yang aku sebelum itu telah banyak kali merasakan yang akidah aku sudah tidak lagi sahih dan keimanan aku telah terbatal, menyebabkan aku begitu kerap perlu mengulang dua kalimah syahadah. Tapi sejak perbualan itu, aku bertekad yang aku mungkin terpaksa hidup di dalam keadaan akidah aku terumbang-ambing, dan aku akan bertawakkal dan berserah diri kepada Allah dan rahmatnya dalam menentukan sama ada aku akan mati dalam iman atau kekufuran. Jujurnya, pada ketika itu aku telah terlalu penat dan lelah dalam sentiasa menjaga fikiran aku daripada terjerumus ke dalam keraguan.

Tidak lama setelah perbualan tersebut, aku mula meletakkan perhatian yang serius kepada pelbagai masalah ketidakselarian Qur’an dan hadis dengan realiti. Banyak sangat ayat-ayat yang tak betul dari segi faktanya. Akan tetapi, semua ini tidak diakui oleh saudara-saudara seIslam aku; begitu banyak sekali justifikasi yang diberikan. Akhirnya, aku mengambil langkah yang terbaik (pada pendapat aku) yang pernah aku lakukan dalam sejarah perkembangan pemikiran aku, iaitu aku cuba memeriksa sama ada fenomena ketidakselarian dan pemberian justifikasi ini boleh dilihat juga dalam agama-agama yang lain. Jika fikir secara logiknya, boleh dikatakan common sense juga yang ianya pasti didapati di dalam agama-agama lain. Tapi waktu itu, aku memerlukan kepastian. Maka aku cuba menggoogle „Big Bang in (nama kitab suci daripada pelbagai agama)”, dan aku dapati yang kesemuanya mengatakan yang teori Big Bang ini terkandung di dalam agama mereka. Aku bertanya kepada diri aku “Kalau setiap agama pun mengaku mereka betul, dan mendakwa yang kebenaran itu hanya pada mereka sendiri sahaja, maka siapa sekarang ini yang betul?”. Aku boleh cuba menyemak setiap aspek daripada setiap agama yang ada di bumi ini untuk menentukan buat untuk penghabisan kalinya yang mana satu yang betul, tapi ia tak akan dapat dilakukan dalam seumur hidup manusia. Seorang itu mungkin boleh menghabiskan seluruh hidupnya mengkaji sebuah agama, itu pun dia mungkin masih belum boleh mengkaji keseluruhan agama tersebut. Untuk bermula dengan Islam merupakan satu cadangan yang rambang. Kenapa Islam? Kenapa tidak Judaism? Atau Kristianiti? Atau Hinduism?

Di sini aku lihat lemahnya hujah mereka yang mengatakan: “Kau tinggalkan Islam sebab kau masih belum faham Islam lagi. Kalau kau fahaminya dengan benar, pasti kau takkan meninggalkannya.” Benar, aku mungkin tak faham Islam dengan begitu mendalam. Tapi aku rasa yang aku fahaminya dengan cukup untuk melihat yang ianya tidak lain daripada agama-agama yang lain. Islam, seperti kebanyakan agama-agama lain, mempunyai kitab yang di dalamnya terkandung ayat-ayat yang jika dinilai sekali pandang dan secara objektif adalah salah. Bagi aku, kalau tuhan itu maha bijaksana, dia akan menutup SEGALA jalan kepada ketidakfahaman dan kekeliruan yang mungkin timbul dalam usaha manusia untuk mempelajari tentang dirinya. Itu syarat yang aku letakkan bagi mana-mana agama. Sehingga syarat itu dipenuhi, aku akan hanya menyibukkan diri aku dengan pencarian kefahaman tentang alam ini menggunakan metodologi yang lebih konsisten, iaitu sains.

\\\

Di dalam kesempatan ini juga, aku ingin mengucapkan Merry Christmas kepada semua! And a Happy New Year.

No comments:

Post a Comment