Thursday 21 March 2013

Kalau Allah ciptakan dunia...

Siapa yang mencipta Allah? Soalan ini memang membahayakan iman, sebab itu ia dilabel secara bijaknya oleh Muhammad sebagai was-was yang (didakwa olehnya) datang dari syaitan. Aku tak cakap pasal infinite regress. Aku cakap pasal tuhan kepada Allah, hanya dua tingkat ketuhanan. Jika model ketuhanan berfungsi dengan satu tingkat, ia juga boleh berfungsi dengan dua (atau tiga atau empat atau apa-apa nombor positif yang bukan infiniti) tingkat tanpa mendatangkan paradoks infinite regress. Orang suka menggunakan hujah: Dunia yang sebegitu teratur ini pasti mempunyai pengatur. Kalau logik ini digunakan, kita boleh mengatakan bahawa pengatur itu sendiri mempunyai minda yang maha-kompleks, yang membawa implikasi (menggunakan logik yang sama) bahawa Allah pastinya mempunyai tuhan. Jika logik ini tidak boleh diaplikasikan kepada Allah, kenapa ia perlu diaplikasikan kepada alam? Jika Allah tidak perlu mempunyai pencipta dan mampu wujud secara sendirinya, kenapa alam ini tidak mampu melakukan yang sama?

Saturday 16 March 2013

Pengenalan


Aku tak mengira yang penulisan ini akan menerima audiens yang besar, mahupun yang ia akan membawa impak yang signifikan terhadap masyarakat Malaysia. Tapi aku terpanggil untuk memberikan sedikit sumbangan dalam bentuk provokasi minda, bertujuan untuk mendorong saudara-saudara sebahasa dan serumpun untuk merenung agama mereka sendiri. Cukuplah dengan suapan selektif yang dilakukan oleh kerajaan dan pelbagai badan-badan dakwah. Ambil dari segala sumber, persoalkan segalanya. Kalau tuhan menciptakan minda manusia ini dengan sifat ingin tahu yang sangat kuat, salahkah jika seorang manusia itu berfikir dan mempersoalkan segalanya? Bukankah ini fitrah, sesuatu yang diraikan oleh Islam itu sendiri? (Berbicara berkenaan dengan fitrah, definisi yang disediakan oleh Islam itu sendiri adalah pincang, tapi itu untuk penulisan kali yang lain.) Jika benarlah Islam itu terdiri di atas hujah, bukti dan kebenaran, maka tiada ketakutan yang patut dirasakan oleh golongan agama sekiranya muda-mudi meletakkan Islam di dalam penelitian dan pemeriksaan logik, kerana kebenaran pastinya akan mengatasi kebatilan. Aku sudah tidak beriman dengan kebenaran keseluruhan al-Qur’an, tapi, aku rasa ada kebenaran dalam ayat ini:

Dan katakanlah: “Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap”. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. (Al-Isra’, 81)

Aku akan cuba sedaya upaya untuk mengarang dalam bahasa Melayu. Tetapi atas sebab kemahiran bahasa Melayu aku yang terhad, anda akan menjumpai banyak pinjaman perkataan dari bahasa Inggeris dalam penulisanku. Tapi aku berharap ini tidak akan menghalang aku daripada menyentuh minda-minda Melayu.