Sunday 27 October 2013

Ada apa dengan pengharaman muzik?

Muzik, inilah titik kelemahan di dalam keimanan aku sewaktu aku masih Muslim. Jika ada satu larangan Allah yang paling selalu aku langgar sambil menikmatinya, ianya adalah muzik. Aku perlu akui yang aku sangat-sangat menyukai muzik. Bahkan, aku mencintai muzik. Ia adalah passion aku. Bagi aku, muzik antara perkara yang menjadikan hidup ini berbaloi. Tapi dulu, sebagai seorang Muslim, aku juga mencintai Allah. Oleh sebab itu, dua cinta bertembung: Satunya cinta kepada Allah, satu lagi ialah cinta kepada muzik. Kalau engkau tengok episod muhasabah dan taubat aku berkaitan dengan muzik ini, memang lucu.

Seperti yang pernah aku ceritakan di dalam satu post sebelum ini, keluarga aku mengalami peralihan dalam mengikuti agama Islam. Mak ayah aku dulunya tidak membenarkan langsung untuk mendengar lagu di radio. Maka aku membesar dengan mendengar nasyid dan muzik latar di dalam filem. Sewaktu kecil, aku tak pernah mempersoalkan keanehan polisi ini. Sekarang bila memikirkannya, apa bezanya jika aku mendengar lagu "The Circle of Life" dan "Can You Feel the Love Tonight" di dalam filem Lion King berbanding dengan mendengarnya di radio?

Kemudian apabila aku mencecah umur lebih kurang 13 tahun, aku mula mendengar lagu di radio. Lebih tepat lagi di Walkman yang dibeli oleh kakak aku. Aku sering berpendapat yang kakak aku ialah seorang yang paling rendah sekali tahap keimanannya dalam kalangan adik-beradik kami, kerana antara lainnya, dialah yang paling tidak segan silu untuk mendengar lagu. Sorry Kakak, kalau Kakak baca ni. Pada waktu itu, polisi “tiada muzik kafir” tidak lagi seketat ketika aku masih kecil. Tapi aku masih lagi berhati-hati supaya tidak nampak begitu asyik apabila mendengar lagu. Bagi remaja yang lahir pada awal 90-an, pada umur ini, lagu-lagu hit pada waktu itu ialah seperti Perfect – Simple Plan, Unwell – Matchbox Twenty, Here Without You – 3 Doors Down dan tidak boleh dilupakan, album yang (pada pendapat aku) terbaik oleh Linkin Park iaitu Meteora. Pada masa yang sama, lebih tepat lagi antara akhir 2002 dan 2003, aku menonton dua filem terakhir bagi trilogi the Lord of the Rings. Muzik di dalam filem-filem tersebut betul-betul membuatkan penghargaan muzik aku meningkat ke tahap yang baru. Selain daripada itu, aku juga pernah membeli alat muzik, dan menghabiskan berjam-jam setiap hari untuk berlatih.

Tapi suatu ketika, apabila aku mula mengambil isu keimanan dengan sangat serius, aku mula mendedahkan diri aku kepada bacaan dan kajian sendiri berkenaan dengan Islam dan cara hidup Nabi. Apabila aku melihat nas-nas serta perbahasan yang di lakukan oleh ulama’, aku akhirnya datang kepada konklusi yang muzik itu adalah haram. Aku dengan sedikit teragak-agak membuang alat muzik yang aku beli, serta mendelete segala fail muzik di dalam komputer sehingga apa yang tinggal ialah bacaan Qur'an lengkap oleh beberapa imam yang terkenal; Abdul Rahman al-Sudais, Sa'ad Said Al-Ghamidi, Mishari Rashid Al-Afasy. Tapi setelah beberapa hari, aku mula perlahan-lahan mendengar semula muzik (tapi alat muzik yang telah dibuang itu tidak dapat diselamatkan lah). Kitaran mendengar, berhenti mendengar dan bertaubat, kemudian kembali mendengar ini berlaku beberapa kali dalam hidup aku sebagai seorang Muslim.

Sebagai seorang yang munasabah, apa sangatlah untuk tidak mendengar muzik selama 72 tahun (jangka hayat purata seorang lelaki Malaysia) di atas muka bumi ini berbanding dengan keredhaan Allah yang selama-lamanya? Tambahan pula, di syurga, segala yang kita hajatkan boleh ditunaikan dengan begitu mudah, termasuklah kemahuan untuk menikmati muzik. Jika mahu dinilai dengan logik, memang langkah yang paling waras ialah untuk mengorbankan sedikit kenikmatan dunia ini untuk nikmat akhirat yang berpanjangan. Tapi tak dapat dinafikan, muzik ialah sesuatu yang tanpanya aku akan sangat sukar untuk hidup, sehingga aku bertekad pada satu hari yang apabila aku akhirnya bertemu dengan Allah di akhirat kelak, aku akan terpaksa meminta maaf di atas perbuatan aku yang agak mementingkan diri sendiri ini.

Kalau engkau Muslim, dan engkau kisah tentang mentaati Allah dan Rasulnya, serta engkau beriman kepada Qur'an dan Hadis, engkau akan ambil isu muzik dengan serius. Cuba engkau lihat sendiri dan nilai segala dalil-dalil yang berkaitan dengan muzik. Engkau akan dapati yang memang secara jelasnya, atitud para Salafussoleh terhadap muzik ialah ianya merupakan sesuatu yang secara mutlaknya haram, melainkan dalam situasi-situasi yang spesifik, seperti pada masa pernikahan dan hari perayaan. Dan dalam kes-kes yang ia diharuskan pun, ianya hanya boleh dilakukan oleh kanak-kanak perempuan. Persetankanlah khilaf. Tanya diri engkau secara jujur, adakah engkau rela untuk meninggalkan kenikmatan yang sedikit ini untuk keredhaan Allah yang lebih tinggi? Atau engkau akan memberi alasan dengan mengatakan yang: "Mustahil yang Islam mengharamkan muzik. Lihat, ulama‘ sendiri tidak bersepakat dalam hal ini. Maka, aku akan mengambil pendapat yang lebih longgar."  Adakah keimanan dan kecintaan kepada Allah ataupun nafsu yang mendorong engkau untuk mengambil satu pendapat di atas pendapat yang lain? Tepuk dada, tanya iman.

Aku lihat pengharaman muzik di dalam Islam ini sebagai cara untuk melepaskan diri daripada kecintaan dunia dan memfokuskan diri kepada perkara-perkara yang lebih penting untuk mendekatkan diri kepada Allah. Akhirnya, ia adalah cubaan Muhammad dalam memberikan identiti kepada spiritualiti Islam. Di sana, ada satu kenyataan yang mahu disampaikan: "Inilah kami. Kami adalah Muslim. Dan kami tidak memerlukan sesuatu yang begitu remeh seperti muzik untuk membenarkan kami hidup dalam ketenangan. Qur’an dan zikir dan kata-kata baik sudah indah dan bermakna bagi telinga kami, sedang muzik hanyalah bunyi-bunyian kosong yang tidak bermakna dan hanya melalaikan kami daripada mengingati tuhan kami".

Banyak daripada pendapat Muhammad berkenaan dengan perkara-perkara yang terdapat di dunia ini adalah salah dan berpunca daripada kejahilan ataupun prejudis. Sebab itu kita boleh lihat yang dia mengeluarkan kata-kata yang jahil seperti anjing hitam itu ialah syaitan[1], yang pendebungaan antara pohon-pohon tamar yang berlainan itu tidak membawa manfaat[2], dan berkaitan dengan perbincangan kita ini, yang muzik itu ialah sesuatu yang negatif (secara tidak langsung melalui pengharamannya). Tapi sudah tentulah dia salah. Muzik dan spiritualiti ialah sesuatu yang sangat dekat, kerana muzik mempunyai kebolehan untuk mempengaruhi psikologi manusia dengan cara yang memberikan inspirasi kepada seseorang seperti yang dapat dialami melalui ritual agama, meditasi dan pemerhatian alam. Dalam banyak budaya, daripada Kristianiti kepada Sufism, muzik ialah sesuatu yang berkait dengan apa yang mereka definisikan sebagai spiritualiti.


Sebagai penutup, aku mahu berkongsi dengan engkau lagu yang menceritakan tentang keberkaitan alam semesta dengan kita. Apabila aku duduk berseorangan di waktu malam, ketika badan-badan langit menampakkan diri mereka, dan aku dengar lagu ini, ia memberikan aku perasaan takjub dan kagum yang tak pernah aku rasai jika aku membaca Qur’an. Heh, surah Ar-Rahman bagaikan pantun dua kerat jika mahu dibandingkan dengan karya agung ini:



"The beauty of the living thing is not the atoms that go into it, but the way those atoms are put together... The cosmos is also within us, we're made of star stuff. We are a way for the cosmos to know itself."
-Carl Sagan-


Saturday 26 October 2013

Parasit yang memanipulasi kebebasan suara

Ayyuha-l-muslimun!!! Tengok video ni. Pastu ingat part yang ada sorang brother ni cakap yang dia hanya melaksanakan kebebasan suara untuk menyampaikan mesej kebencian dia.


Dah tengok? Sekarang, aku menyatakan pendapat aku, yang orang seperti ini hanyalah parasit yang memanipulasi nikmat kebebasan suara untuk kepentingan diri sendiri. Mereka mahu memperjuangkan sistem yang mempunyai kebebasan suara yang terhad (engkau boleh panggilnya "syariah" kalau kau mahu) menggunakan kebebasan suara yang digunakan oleh negara bukan Islam. Mungkin ini tidak melanggar mana-mana undang-undang, kerana kebebasan suara memastikan yang sesiapa pun boleh mengatakan apa yang mereka mahukan, walaupun ianya penuh dengan kebencian dan tidak disukai oleh majoriti. Tapi adakah ini satu tindakan yang baik? Lebih-lebih lagi, adakah ini satu tindakan yang bermaruah? Kalau situasinya diterbalikkan, dan orang Kristian (contohnya) memprotes di negara Islam menggunakan ruangan yang disediakan oleh negara Islam tersebut, adakah korang akan mempunyai pendapat yang sama terhadap mereka, seperti pendapat yang korang punyai terhadap para Muslimin yang memprotes di dalam video ini? Sila datang dan nyatakan pendapat korang berkenaan dengan kenyataan aku ini. Moga ada perbincangan yang menarik. Mari, mari!

Saturday 12 October 2013

Gambar, hijab, riba, spiritualiti dan penghakisan agama

Sebelum bermula, aku memohon sejuta kemaafan jika mengecewakan mereka yang mengikuti blog ini, yang mengharapkan kekerapan post yang konsisten. Sebab kelewatan ini ialah kemalasan dan kekurangan disiplin diri, kesibukan dan juga bahan yang tidak mencapai kualiti yang sewajarnya; sesuatu yang aku anggap sangat penting bagi para pembaca. Tapi aku harap para pembaca sedar, penangguhan ini tidak dilakukan dengan hati yang senang. Perasaan yang aku alami ini boleh disamakan dengan perasaan tak senang hati yang kau alami bila kau meninggalkan sesuatu yang wajib, atau melakukan sesuatu yang haram. Harapnya dengan meluahkan perasaan serba salah ini, serta dengan memohon kemaafan dengan ikhlas, kalian dapat memaafkan aku.

***

Satu hari, setelah agak lama tidak pulang ke rumah disebabkan tinggal di tempat belajar, aku agak pelik apabila mendapati yang seseorang daripada ahli keluarga aku telah membingkaikan gambar kami sekeluarga dan meletakkannya di atas meja ruang tamu. Pelik kerana dulunya benda macam ini tak diterima oleh keluarga kami. Menurut hadis [1], malaikat rahmat tidak masuk ke rumah yang di dalamnya ada gambar haiwan (termasuk manusia). Walaupun aku tidak menegur perbuatan tersebut kerana cenderung untuk mengelak konflik dan merasakan yang harmoni itu lebih berharga daripada ketegasan dalam amalan, tapi bukankah jelas yang ini ialah satu perbuatan yang tidak Islamik, jika mereka benar-benar menghayati apa yang terkandung di dalam hadis? Tapi mungkin “Islamik” itu sendiri ialah sesuatu yang subjektif. Di mana aku mungkin akan merasakan yang keimanan aku tidak sempurna jika aku tidak mengikuti hadis pengharaman gambar itu, ahli keluarga aku merasakan yang ianya sudah tidak lagi mempengaruhi keimanan mereka.

Di sini kita boleh lihat yang Muslim tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada teks dan wahyu untuk mendefinisikan apa itu baik atau buruk bagi diri mereka sendiri. Hakikatnya, banyak ajaran yang terdapat di dalam Islam sama ada sudah tidak lagi relevan atau tidak praktikal di dalam kehidupan Muslim yang moden. Dalam kes gambar, mereka tidak lagi kisah sama ada malaikat rahmat memasuki rumah mereka ataupun tidak. Kerana walaupun mereka wajib untuk percaya kepada benda-benda yang ghaib, termasuk malaikat; dan jikalau ada pun pengaruh terhadap kehidupan mereka melalui perletakan gambar di dalam atau penyingkiran gambar daripada rumah mereka, pengaruh tersebut tak dapat dikesan dan atas sebab itu kewujudan dan pengaruh malaikat rahmat diabaikan dan dilakukan seolah-olah tidak wujud, dan Muslim menjalani kehidupan mereka tanpa memikirkan langsung tentangnya.

Kita boleh lihat fenomena pengabaian ajaran agama dalam banyak kes yang lain. Hijab contohnya. Sesetengah keluarga Muslim tidak langsung menitikberatkan hijab, tapi jika ada orang yang menghina Nabi, merekalah antara orang yang pertama yang akan pergi membuat demonstrasi untuk membantah perbuatan tersebut. Mereka mempunyai perasaan tergolong (sense of belonging) kepada istilah "Muslim" dan agama Islam, walaupun mereka sendiri tidak mengamalkan Islam dengan seperti mana yang diajarkan dan ditunjukkan oleh Muhammad. Mereka secara sengaja dan sedar memilih apa yang mereka rasakan baik dan praktikal di dalam Islam, dan berpegang hanya kepada itu. Bagi mereka, kod pakaian yang tidak konvensyenal tidak menghalang seseorang itu daripada menjadi individu Muslim yang sivil dan baik.

Contoh lain boleh dilihat dalam riba. Riba ialah jenayah yang sangat besar sehingga diancam dengan ancaman peperangan oleh Allah dan rasulnya [2]. Tapi sedikit sangat Muslim pada hari ini yang pernah membeli rumah atau kereta tanpa menggunakan pinjaman yang tidak melibatkan riba. Alasan yang selalu digunakan ialah demi kemaslahatan yang lebih besar. Agak pelik di mana Allah meletakkan umatnya yang tercinta di dalam satu keadaan di mana untuk mencapai "kebaikan yang lebih tinggi", mereka terpaksa melakukan jenayah yang begitu besar sekali. Apa-apa pun justifikasi mereka, kenapa Muslim tidak meletakkan ketaatan di atas kemaslahatan? Kenapa tidak pilih untuk hidup dalam kesukaran sebentar di dunia yang fana ini, tapi memenuhi kehendak tuhan dan akhirnya mendapat ganjaran yang lebih besar dan berkekalan di akhirat kelak, berbanding dengan kemudahan yang sementara sambil melanggar batasan tuhan? Jawapannya mudah, sebab ianya tidak realistik.

Aku pernah berdebat dengan seorang kawan (yang kegoyahan imannya boleh disandarkan kepada “hasutan” yang dilakukan oleh aku) sama ada penyampaian mesej atheism itu perlu atau pun tidak. Aku berpendapat, ya, kerana aku rasakan yang agama membawa banyak mudharat kepada manusia. Dia berpendapat yang atheism ialah hasil daripada masyarakat yang sudah “cukup”. Jika engkau mampu “mencukupkan” masyarakat, maka mereka akan meninggalkan dan mengabaikan agama dengan suka rela. Maka, apa yang perlu diusahakan ialah proses “pencukupan”, bukannya penyebaran ketidakpercayaan kepada tuhan. Kerana penyebaran antithesis kepada kepercayaan kepada tuhan ialah satu langkah yang terlalu drastik, yang hanya akan mengundang retaliation (tindak balas yang ganas) yang akan merugikan kedua-dua pihak. Lebih baik membiarkan perubahan datang secara beransur-ansur dan semulajadi. Aku pada hari ini cenderung untuk bersetuju dengan pendapatnya.

Apa yang aku maksudkan dengan “cukup”? Cukup dalam erti kata, kebanyakan daripada fungsi yang dimainkan oleh tuhan dan agama telah diambil alih oleh ejen-ejen fizikal, sehingga manusia tidak lagi mempunyai keperluan dan kemahuan terhadap agama. Agama, termasuk Islam, ialah peninggalan daripada zaman kejahilan manusia. Dulunya masyarakat Arab tidak memahami kenapa boleh berlakunya gerhana matahari, maka Muhammad telah mengeluarkan agakannya [3] bagi memberikan “penjelasan” kepada fenomena yang mencemaskan ini. Tapi sains telah berjaya menerangkan gerhana matahari tanpa perlu membuat andaian yang sama seperti yang telah Muhammad telah lakukan. Zakat pernah memainkan peranan dalam pengagihan kekayaan; sistem cukai yang 100% sekular dapat memainkan peranan yang sama. Api neraka pernah dipersalahkan apabila manusia mengalami demam dan Islam cara pengubatannya ialah menggunakan air [4], tapi pada hari ini punca demam telah difahami dengan cukup baik dan cara untuk mengubatnya tidak langsung bergantung kepada andaian yang ianya disebabkan oleh neraka.

Aku yakin yang kepandaian ialah salah satu sebab kenapa spesis kita begitu berjaya. Bak kata pepatah, “knowledge is power”, dan keupayaan manusia untuk memahami persekitarannya telah banyak membantu spesis kita dalam survivalnya di bumi. Tapi, dengan kepandaian yang kita dapati daripada evolusi kita, kita akan tidak dapat tidak bertembung dengan persoalan-persoalan yang sukar, seperti “apakah erti dan tujuan kehidupan”, “bagaimana mahu mencapai ketenangan jiwa” atau “apakah itu kebahagiaan”. Soalan-soalan seperti ini digolongkan dalam spiritualiti dan setakat ini perlu diakui yang kita masih tidak mempunyai ijmak atau persetujuan umum berkenaan dengan jawapan kepadanya. Aku rasa, selagi mana manusia tidak memahami spiritualiti secara total dan objektif serta berjaya untuk mengasingkan amalan-amalan yang benar-benar berkesan dalam mendidik “jiwa” daripada amalan-amalan rambang dan khurafat; agama, yakni sebuah pakej yang terkandung di dalamnya campuran antara keduanya, akan terus wujud. Tapi pengalaman menunjukkan yang banyak perkara-perkara yang dahulunya hanya mampu “diterangkan” oleh agama, sekarang ini sudah mampu dijawab oleh ilmu-ilmu ladiniyyah (tidak berkaitan dengan agama). Aku positif yang agama akan lambat laun hilang kuasa penjelasannya dan akan pupus sama sekali.

[2] Al-Baqarah, ayat 278-279
[3] Di dalam hadis (http://www.usc.edu/org/cmje/religious-texts/hadith/bukhari/018-sbt.php#002.018.158 ), diriwayatkan yang Muhammad menyebut yang Allah mahu menakutkan hambanya menggunakan gerhana. Agak pelik kerana fenomena gerhana ini pastinya sesuatu yang sangat lazim di dalam alam ini. Ambil Marikh sebagai contoh. Marikh mempunyai bulannya yang tersendiri. Bahkan dua bulan, Phobos dan Deimos. Kita tertanya-tanya, siapalah agaknya penduduk malang Marikh yang mahu ditakutkan oleh Allah apabila dia menjadikan Phobos beredar seketika di antara matahari dan Marikh? Mungkin jin.