Thursday 20 November 2014

Teisme, ateisme dan kekejaman moral

Tengok video ni. 



Aku sekadar ulang point utama Ozy dan tambah kepada apa yang dia cakap. Ateis dan teis adalah istilah yang sangat umum dalam mengkategorikan manusia. Kedua-duanya tak berguna dalam meramal apa yang seorang itu akan atau tidak akan lakukan. Pastinya tidak jika mahu meramal sama ada seorang a-/teis itu akan melakukan kekejaman moral.

Aku dulu suka jugak main tuding jari ni untuk berdebat dengan orang Islam, tapi bila fikir balik dan muhasabah diri, aku dapati yang permainan tuding jari ni tak matang. Aku rasa macam ia hanya cubaan untuk memburukkan nama sesuatu ideologi yang bercanggah dengan ideologi seseorang supaya hujah daripada ideologi berlawanan ini tak perlu didengari lagi. Taktiknya lebih kurang: "Tengok betapa buruknya kesan a-/teisme kau kepada dunia. Maka, a-/teisme salah." Cara berhujah camni tak mantap.

Satunya, tuduhan ini terlalu umum. Camne fakta yang seorang itu adalah ateis atau teis boleh dikaitkan dengan tindakan? Tindakan spesifik memerlukan kepercayaan spesifik. Isu sel stem kat US adalah satu contoh yang baik, dan Sam Harris mengulas perkara ini dengan cemerlang. Hujah Harris ialah, pentingnya mengkritik kepercayaan agama secara spesifik. Dalam sesetengah mazhab Kristianiti, saat ovum disenyawakan oleh sperma (membentuk zigot) adalah saat di mana seorang manusia itu dicipta oleh tuhan dan ini mendatangkan natijah yang membunuh zigot itu mempunyai keparahan jenayah moral seakan membunuh seorang manusia yang sempurna (bayi/kanak-kanak/ orang dewasa). Dalam masa yang sama, dalam Islam, roh ditiupkan pada hari yang ke-40(?) dan atas sebab itu, menggunakan zigot sebelum masa tersebut untuk melakukan kajian sel stem adalah tidak berdosa kerana ia tak dikira membunuh. Adalah salah untuk mengatakan bahawa alasan kenapa sesetengah mazhab Kristian menentang kajian sel stem adalah hanya kerana kepercayaan kepada tuhan (teisme), kerana kalau bercakap demikian, kenapa kita tak lihat kelakuan yang sama dalam Muslim, yang juga merupakan teis? Atas sebab itu, kepercayaan spesifik itu penting dalam melahirkan tindakan spesifik.

Ini membawa aku kepada tuduhan yang ateisme ialah ideologi yang membawa kemusnahan yang paling besar dari segi statistik kematian. Mao dan Stalin mungkin adalah ateis, tapi adakah hanya itu alasan kenapa mereka telah melakukan kekejaman moral yang begitu besar? Tak. José Mujica adalah bukti yang seorang pemimpin ateis juga boleh menjadi 100% bertentangan dengan Mao dan Stalin. Stalin contohnya merupakan seorang yang percaya kepada idea utopia di mana manusia tidak perlu lagi menderita dalam pergelutan antara-kelas dan dalam ketidakadilan masyarakat. Dalam impian untuk mencapai utopia yang seakan-akan syurga ini, tiada pengorbanan yang terlalu tinggi. Apalah pengorbanan yang sedikit, walaupun dalam jutaan nyawa, berbanding dengan utopia yang akan menjamin kebahagiaan kemanusiaan buat selama-lamanya yang bernilai infiniti? Ini satu kepercayaan yang spesifik yang tak dikongsi oleh semua ateis. Kepercayaan ini penuh dengan dogmatisme dan tidak mempunyai dasar dalam realiti dan bukan didorong oleh skeptisisme. Sam Harris ada jugak cakap pasal ini. Katanya, atas sebab dengan ideologi-ideologi ini dengan agama dari segi dogmatisme dan dari segi kekurangan skeptisismelah yang menyebabkan ideologi-ideologi ini gagal dengan hebatnya.

Lagi satu bantahan kepada hujah "Kerana natijahnya teruk, maka ia salah" ialah ia adalah non-sequitur. Fakta dalam dunia ini adalah fakta. Ia tak berubah walaupun apa pun natijahnya. Sesetengah orang melihat bahawa ketidakwujudan tuhan akan membawa natijah yang manusia tidak mempunyai dasar moral yang objektif. Maka...? Tuhan wujud, atau tuhan tak wujud. Natijah yang datang daripada salah satu kenyataan ini bukan penentu kepada kebenaran mana-mana kenyataan. Kalau tuhan wujud, dan manusia boleh menjadikannya sebagai dasar moral, baiklah. Kalau tuhan tak wujud, dan manusia tak mempunyai apa-apa untuk mendasarkan moralnya, camtulah hakikatnya. Contoh yang lain ialah kewujudan ubat yang boleh menghidupkan semula manusia yang telah mati. Fikirkan implikasi kewujudan ubat ini kepada anak-anak kecil yang kehilangan ibu bapa mereka dalam kemalangan trafik. Betapa mereka dinafikan kasih sayang dan didikan ibu bapa mereka. Begitu baiknya jika wujud ubat ini dan dapat mengembalikan semula apa yang mereka sepatutnya dapat. Tapi sayangnya ubat ini tak wujud. Dan itu adalah hakikat.


Aku jugak nak mengajak para bekas Muslim untuk memuhasabah diri. Adakah sewaktu korang masih Muslim, korang mempunyai kecenderungan untuk membenci orang bukan Islam dan menjustifikasi pembunuhan mereka? Aku rasa korang tak mempunyai kecenderungan ini. Maksudnya, kepercayaan kepada Allah bukan pendorong yang secara automatiknya menjadikan Muslim merasakan bahawa darah orang bukan Islam itu halal. Kepercayaan yang spesifik kepada sesetengah ayat Qur'an atau hadis itu yang menentukan sama ada seorang Muslim itu percaya yang darah bukan Muslim itu halal. Aku rasa yang banyak sangat panik yang disebarkan oleh orang yang takut dengan potensi keganasan Islam. Betul, jika melihat sejarah kewujudan Islam, memang wujud kelompok manusia, dulu dan kini, yang mengidentifikasi diri dengan nama Muslim yang menghalalkan darah orang bukan Muslim berdasarkan interpretasi ayat-ayat Qur’an dan hadis. Tapi kalau korang sendiri dulunya mengidentifikasi diri sebagai Muslim, dan korang tak bersetuju dengan kelompok ini, dan memilih untuk tidak terlibat mereka (sebelum korang murtad), kenapa korang tak rasakan yang Muslim pada hari ini mempunyai kebolehan yang sama?

Aku rasa, elok kita meletakkan lebih keyakinan kepada kebolehan manusia untuk mengikut naluri mereka dalam memilih apa yang betul atau salah. Ini bukan mengatakan yang kita tak perlu berhati-hati dengan ideologi-ideologi yang berbahaya. Kita perlu menjauhinya, mengkritiknya sehabis mungkin dan mencegah atau meminimakan kesan negatifnya. Tapi rilek ah. Jangan wujudkan panik dan kebencian yang tak bertempat dengan ketakutan yang berlebihan. Panik akan melahirkan tindakan yang tak rasional. Aku yakin, kebanyakan Muslim, macam kebanyakan orang lain, hanya nak hidup dalam keamanan je.

Kesimpulannya, a-/teisme adalah istilah umum yang tak berguna dalam meramal tindakan manusia. Tindakan spesifik memerlukan kepercayaan spesifik. Manusia juga berkebolehan untuk membuat penilaian baik-buruk dengan sendiri walaupun label identifikasi dirinya mempunyai kaitan (sama ada sekarang mahu pun pada masa lepas) dengan polisi-polisi yang tidak bermoral.

Tuesday 11 November 2014

Kemurtadan itu penting

Kepercayaan itu perlu dikemaskini, kalau tak, orang akan kekal bodoh. Kepercayaan awal dibina sama ada melalui penekaan ataupun melalui bukti. Penekaan boleh salah. Contohnya dulu aku fikir yang bayi lahir ikut pusat. Lepas belajar sains baru aku tahu yang bayi lahir ikut faraj. Aku ubah kepercayaan aku, dan aku jadi lagi pandai, atau kepercayaan aku lebih dekat dalam mencerminkan realiti alam ni. Bukti pulak kadang-kadang tak lengkap. Orang perhatikan sekelilingnya sehingga ke ufuk (horizon), dan datang kepada konklusi yang bumi itu leper. Takpe, dimaafkan. Tapi bila dah dibuktikan yang bumi itu sfera, maka kepercayaan perlu dikemaskinikan. Takde faedah mempercayai yang bumi itu leper sedangkan bukti menunjukkan yang sebaliknya.

Kewujudan atau ketidakwujudan tuhan juga ialah satu fakta berkaitan dengan realiti. Maka ada orang yang betul dalam gambaran (conception) realitinya dan ada orang yang salah. Di sini, pengemaskinian kepercayaan juga boleh dibuat. Tak kisahlah sama ada nak keluar dari satu agama dan jadi tak beragama, atau pindah dari satu agama ke agama yang lain. Perpindahan ni boleh dipanggil kemurtadan. Bila seorang itu dah lihat bukti dan merasakan yang ia cukup untuk mengubah pendirian akidah mereka, maka benarkan je la. Kalaulah disekat kebolehan untuk mengemaskini kepercayaan berkenaan dengan tuhan, macam mana engkau fikir yang orang mahu mempunyai gambaran realiti yang lebih tepat?

Aku boleh faham kemahuan untuk mencegah kemurtadan. "Dia dah betul dah, buat apa nak keluar pulak?" Tapi bukan satu agama je yang fikir benda ni. Semua agama pun yakin tentang kebenarannya sendiri. Kalau semua agama guna polisi anti-murtad ini, takkan ada perpindahan manusia daripada kesesatan kepada kebenaran. Kalau nak benarkan Islam je yang guna polisi ini, apa justifikasinya? Yang Malaysia ialah negara majoriti Muslim, maka Islam je yang boleh monopoli polisi ni? Camne pulak kalau polisi yang sama digunakan kat negara yang majoriti bukan Islam, orang Islam mesti tak suka punya. Last sekali, takkanlah orang terpaksa berpindah negara hanya untuk murtad, sedangkan dia sendiri tak memilih agama awalnya. Kebanyakannya dididik dari kecil dengan sesuatu agama.

Atas sebab itu, biarkan je la orang murtad. Dan kalau Islam itu agama yang benar, maka nak takut apa?

Sunday 9 November 2014

Dicipta daripada api?

Api ialah satu proses, bukan bahan. Iblis menyebut dalam Qur'an tentang penciptaan dirinya dan Adam, mengatakan yang dia tak sepatutnya sujud kepada Adam kerana dia dicipta daripada api, sedangkan Adam dicipta daripada tanah. Di sini, kita dapat lihat yang ada perbandingan jelas dibuat berkenaan dengan bahan yang digunakan untuk mencipta. Adam, bahannya tanah. Iblis, bahannya api.

Kita tahu yang tanah itu bukan proses. Tanah ialah bahan. Memang jelas. Jadi, jika mahu dikatakan yang Iblis sedang merujuk kepada proses dalam kedua-dua kes, maka ini tak betul. Kita juga tahu yang orang pada masa silam mempercayai yang segalanya terbina oleh lima unsur: air, angin, api, tanah dan aether. Api dahulunya dilihat sebagai bahan. Pada hari ini kita faham yang api bukannya bahan, tapi satu proses oksidasi pantas yang membebaskan haba dan cahaya.

Terdapat banyak reaksi kimia seperti proses larutan, proses pengendapan, proses asid-alkali, dan lain-lain. Kalau kita gantikan nama proses-proses ini pada tempat yang disebut "api" di dalam Qur'an, kita dapat lihat betapa tidak masuk akalnya apa yang disebut oleh Iblis, mengetahui yang dia sedang membicarakan tentang bahan. Ayat-ayat Qur'an mencerminkan pengetahuan para pengarang Qur'an. Jelas bahawa para pengarang Qur'an tidak memahami hakikat api.

Oleh sebab sesuatu itu tidak boleh dicipta daripada proses (tapi boleh melaluinya), maka kita boleh rumuskan yang syaitan dan jin itu tidak wujud.

Monday 3 November 2014

Dilema Euthyphro

Dalam sebuah dialog Plato bernama Euthyphro, Socrates menemui Euthyphro di luar mahkamah. Socrates sendiri sedang berada dalam masalah kerana dituduh rosak akidah dan cuba merosakkan minda para pemuda Athens. Euthyphro pula telah datang untuk mendakwa ayahnya yang telah menyebabkan kematian salah seorang pekerja Euthyphro dengan mengikat lelaki tersebut dan meninggalkannya di dalam sebatang parit. Pekerja tersebut telah diperlakukan sedemikian kerana dia telah membunuh seorang hamba Euthyphro ekoran satu pergaduhan, ketika mana dia sedang mabuk.
Euthyphro yang merupakan seorang yang sangat terkenal bagi keilmuannya dalam agama, begitu yakin yang apa yang sedang dia lakukan adalah benar. Socrates pula yang begitu terkenal dengan tabiat mempersoalkan segalanya, meletakkan keyakinan ini dalam keraguan. Pendek kata, perbincangan mereka dapat dirumuskan dalam persoalan yang berikut:

Adakah sesuatu itu baik kerana tuhan menyuruhnya?
Ataupun adakah tuhan menyuruh sesuatu kerana sesuatu itu baik?

Jika kenyataan pertama benar, maka apa-apa yang disuruh oleh tuhan boleh jadi baik (seperti menyembelih anak sendiri dalam kes nabi Ibrahim) dan perkataan baik itu tidak membawa apa-apa makna melainkan yang ianya adalah diperintahkan oleh tuhan. Jika kenyataan yang kedua benar, maka tuhan bukanlah yang menetapkan apa itu baik atau buruk, tapi hanya sekadar penyuruh kepada kebaikan dan pencegah kepada keburukan. Dalam erti kata lain, tuhan bukanlah sumber moraliti dan moraliti ditetapkan oleh sesuatu yang diluar kekuasaan tuhan dan tuhan sendiri terpaksa berpegang kepada standard moraliti ini.

Kesimpulannya, untuk moraliti mempunyai apa-apa nilai, ia tak boleh datang daripada ketentuan tuhan.