Tuesday 20 August 2013

Kenapa aku dulunya membenci teori evolusi



Setiap individu yang pernah hidup di atas muka bumi ini; kau, aku, dan setiap orang yang kita kenali; berasal dari seorang manusia, iaitu Adam, yang diciptakan dari tanah dan yang ke dalamnya ditiupkan roh. Manusia kedua; yang merupakan seorang wanita, isteri kepada Adam yang dinamakan Hawa; diciptakan oleh Allah daripada rusuk Adam. Mereka berdua tinggal di dalam syurga, sehingga pada suatu hari, sebab Allah inginkan yang di atas muka bumi terdapatnya khalifah (wakil dalam pemerintahan), dia telah mendatangkan sebab untuk Adam dan Hawa diturunkan ke bumi dengan membenarkan mereka memakan buah dari sebuah pokok yang dilarang. Apabila di bumi, Adam dan Hawa telah melahirkan anak-anak, dan hasil daripada sumbang mahram antara anak-anak Adam (yang dibenarkan syariat pada masa tersebut), lahirlah generasi yang seterusnya. Daripada itu bercabanglah pelbagai bangsa manusia yang wujud pada hari ini.

Ini ialah sebuah kenyataan yang wajib diimani oleh setiap Muslim. Seorang Muslim dikehendaki untuk mempercayai setiap perkara, bahkan setiap huruf (termasuk huruf-huruf misteri seperti alif lam mim dan kaf ha ya ‘ain shad), yang terkandung di dalam Qur’an. Aku dahulunya, seperti berbilion Muslim-Muslim yang lain, mempercayai kenyataan ini sebagai sebuah fakta. Untuk berbuat sebaliknya ialah untuk mengingkari kebenaran kitab Qur’an, justeru menumbangkan salah satu daripada rukun-rukun iman dan menjatuhkan seseorang itu daripada keimanan kepada kekafiran. Kekafiran merupakan sesuatu yang tidak dipandang ringan oleh Allah dan jenayah ini dihukum dengan seksaan neraka yang berpanjangan selama-lamanya.

Terdapat masalah dengan kenyataan ini. “Manusia berasal dari Adam” ialah satu kenyataan yang berkaitan dengan realiti alam. Ia cuba untuk memberikan penjelasan kepada bagaimana manusia boleh datang kepada kewujudan di atas muka bumi ini. Kenyataan ini boleh jadi salah atau betul. Jika kenyataan ini betul, maka ia merupakan satu fakta, yang kita semua berasal dari Adam. Manakala jika kenyataan ini salah, maka faktanya ialah kita tidak berasal dari Adam. Apabila sesuatu dakwaan dibuat berkenaan dengan realiti alam fizikal, ia tidak dapat tidak akan bertembung dengan pemeriksaan dan semakan. Masalah dengan kenyataan ini ialah, ia tidak benar dan telah terbukti salah. Spesis manusia bukan keturunan satu individu yang dicipta dari tanah, akan tetapi kita dan spesis beruk-beruk yang lain telah mengalami evolusi daripada satu leluhur yang sama. Rasanya tak perlu aku sebutkan satu persatu daripada bukti yang berlambak yang menyokong teori evolusi; internet ialah sahabat karib anda.

Kenapa aku dulunya membenci teori evolusi? Kerana ia merupakan pesaing* kepada teori Adam dan Hawa bagi memberikan penjelasan kepada bagaimana manusia boleh datang kepada kewujudan. Dan ini berbahaya kepada keimanan aku yang mempercayai kebenaran literal kisah Adam dan Hawa. Kalau teori evolusi dibuktikan betul, maka natijahnya ialah teori Adam dan Hawa ialah salah. Jika kita semua tidak berasal daripada Adam, maka apa yang dikatakan oleh Qur’an ialah salah. Implikasi yang datang daripada ini adalah sangat besar. Bagaimana Qur’an, sebuah kitab yang datang daripada tuhan yang maha mengetahui dan didakwa sempurna dan bebas daripada kesalahan, boleh mengandungi kesalahan? Di sini sahaja, dua kenyataan telah dibuktikan salah. Iaitu; satu, kita datang daripada Adam, dan dua, Qur’an bebas daripada kesalahan. Dan jika ia salah di dalam hal ini, entah-entah dalam hal-hal lain pun ia salah?

Hakikatnya, teori evolusi tidak menghalang seseorang itu untuk percaya kepada tuhan. Ini kesalahfahaman yang dipunyai oleh ramai orang: Untuk mempercayai teori evolusi ialah untuk tidak mempercayai tuhan. Salah. Mempercayai teori evolusi tidak bermaksud tidak mempercayai tuhan. Bahkan, banyak saintis yang masih beragama tapi percaya kepada kebenaran teori evolusi. Kerana tiada apa yang menghalang seseorang itu untuk mempercayai yang evolusi itu hanyalah satu mekanisme yang tuhan gunakan untuk mencipta pelbagai jenis hidupan di bumi. Kalau Allah itu maha berkuasa dan boleh melakukan apa sahaja, kenapa mustahil baginya untuk menggunakan evolusi untuk melaksanakan kehendaknya? Tak, evolusi tak menghalang keimanan kepada tuhan. Tapi apa yang dilakukan oleh teori evolusi ialah, ia memusnahkan kebolehharapan kaedah interpretasi literal kisah Adam dan Hawa yang terkandung dalam agama-agama samawi (Yahudi, Kristian dan Islam).

Apa penyelesaian kerumitan situasi ini kepada umat Islam? Aku mempunyai ramai kawan yang bijak, bakal jurutera dan doktor, tapi masih terpaksa bertarung dengan masalah ketidakselarian antara teks agama dengan realiti. Agak sedih untuk melihat mereka yang mempunyai minda-minda yang berbakat, tapi terpaksa menggantung logik mereka apabila datang kepada penilaian kritikal teks agama. Tapi masalah ini tak sepatutnya wujud. Umat Islam boleh secara jujurnya mengakui yang dalam majoriti masa dalam sejarah kewujudan agama Islam, mereka telah membuat kesilapan dengan melihat ayat-ayat seperti kisah Adam sebagai sesuatu yang literal. Sesudah itu mereka boleh mengambil pendekatan alegorikal dalam menginterpretasi ayat-ayat sebegini, dan dalam masa yang sama masih lagi mengekalkan keimanan mereka terhadap Islam dan Qur’an. Rasanya sudah sampai masanya yang umat Islam membuka ruang baru dalam perbincangan ilmiah berkenaan dengan agama mereka dan mengiktiraf satu cabang baru dalam mazhab-mazhab yang diterima sebagai sah, iaitu aliran yang membenarkan interpretasi Qur’an secara alegorikal dan bukan literal. Kalau agama lain mampu menunjukkan fleksibiliti ini, kenapa Islam yang alami (universal )ini tidak?

*Kisah dongeng tidak selayaknya diletakkan setaraf dengan satu teori saintifik. Tapi, sebab aku tiada perkataan yang lebih baik, aku terpaksa menggunakan perkataan ini.

4 comments:

  1. Jika umat Islam mengambil agama secara alegorikal, banyak masalah dalam dunia Islam dapat diatasi.

    Namun jika ada yg memperkenalkan ajaran Islam seperti ini, pasti di cop sebagai ajaran sesat ataupun usaha licik yahudi menjatuhkan dunia Islam secara internal.

    ReplyDelete
  2. Samalah saya waktu sekolah dulu, keberatan untuk baca teori evolusi kerana dah tepu disuap ustazah-ustazah yang kata manusia saudara monyet tu salah. Kalaulah ada ustazah yang betul-betul selidik dan baca teori evolusi, terkejut beruk kot.

    -A.

    ReplyDelete
  3. Kalo manusia dari evolusi beruk jadi beruk dari evolusi ape ye dan bagaimana haiwan2 lain di muka bumi ini tercipta? Tercipta dengan sendirinya? tumpang tanya.. Masih berfikir

    ReplyDelete