Sunday 22 December 2013

Aku secara seriusnya tiada tajuk yang sesuai!!!

Lompatan aku daripada keimanan kepada ketidakimanan berlaku dalam masa yang agak pendek. Aku akan ceritakan sedikit bagaimana ia berlaku.

Pada akhir tahun 2012, aku mengikuti sebuah lawatan yang dianjurkan oleh universiti aku. Dalam lawatan tersebut, aku berkongsi bilik dengan kawan aku daripada universiti. Dia bukan kawan daripada kursus pengajian yang sama dengan aku. Aku pelajar kursus kejuruteraan. Dia pula pelajar kursus ekonomi dan undang-undang. Kami berkenalan kerana telah memilih kursus elektif bahasa yang sama. Melalui perkenalan ini, kami banyak bertukar pendapat berkaitan banyak perkara. Politik antarabangsa, ekonomi, bahasa, falsafah dan moraliti, dan tidak lupa juga, agama. Atas sebab perbualan, perbincangan dan pertukaran idea yang telah kami lakukan, kepercayaan aku kepadanya menjadi kukuh. Aku tahu yang dia merupakan seorang yang munasabah. Maka pada lawatan tersebut, aku telah menyatakan kepadanya keraguan aku tentang Islam dalam beberapa isu. Antara yang paling teruk ialah bagaimana Islam, menilai teks-teksnya dan dilihat daripada sejarahnya, ialah satu agama yang begitu hostile kepada homoseksualiti. Aku tidak dapat lihat bagaimana kebencian yang tak bertempat ini boleh dijustifikasikan. Dan aku bukanlah seorang yang homoseksual. Cuma dalam cubaan untuk mengalamiyahkan (atau menjadikan universal) prinsip „salam“ dan „peace“ yang aku pegangi selama itu, aku tak nampak kenapa para homoseksual perlu dikeluarkan daripada prinsip ini. Adakah mereka orang-orang yang jahat? Tidak. Mereka normal. Hanya seperkara sahaja yang membezakan mereka daripada „orang biasa“, iaitu mereka mempunyai preferens yang agak „tidak konvensional“ apabila datang kepada kemahuan seksual mereka. Itu sahaja (http://www.youtube.com/watch?v=CstD6O95L-o).

Lebih teruk lagi, apabila aku pelajari yang homoseksualiti ini bukanlah sentiasa satu pilihan. Ia mempunyai dasar di dalam genetik manusia itu sendiri. Dalam erti kata lain, seseorang itu dilahirkan dengan seksualitinya. Bukankah itu fitrah? Dan bukankah Islam ialah sepatutnya agama yang sesuai dengan fitrah manusia? Kenapakah, jika para sahabat merupakan mereka yang paling memahami Islam dan konsep kedamaian yang ia bawa, yang mereka boleh gagal dengan begitu teruk sekali dalam mengimplimentasikan prinsip kedamaian ini kepada para homoseksual, yang sebenarnya merupakan mereka-mereka yang tidak bersalah? Bagaimana Allah sendiri boleh mengabaikan pemberitahuannya kepada Muhammad tentang hakikat sebenar homoseksualiti, sehingga umat Islam mempunyai sejarah yang begitu ganas terhadap homoseksualiti? Banyak sangat soalan yang tak dapat dijawab. Semuanya tak masuk akal bagi aku.

Perbualan itu menjadi titik peralihan di dalam keimanan aku. Perlu disebut juga, yang aku sebelum itu telah banyak kali merasakan yang akidah aku sudah tidak lagi sahih dan keimanan aku telah terbatal, menyebabkan aku begitu kerap perlu mengulang dua kalimah syahadah. Tapi sejak perbualan itu, aku bertekad yang aku mungkin terpaksa hidup di dalam keadaan akidah aku terumbang-ambing, dan aku akan bertawakkal dan berserah diri kepada Allah dan rahmatnya dalam menentukan sama ada aku akan mati dalam iman atau kekufuran. Jujurnya, pada ketika itu aku telah terlalu penat dan lelah dalam sentiasa menjaga fikiran aku daripada terjerumus ke dalam keraguan.

Tidak lama setelah perbualan tersebut, aku mula meletakkan perhatian yang serius kepada pelbagai masalah ketidakselarian Qur’an dan hadis dengan realiti. Banyak sangat ayat-ayat yang tak betul dari segi faktanya. Akan tetapi, semua ini tidak diakui oleh saudara-saudara seIslam aku; begitu banyak sekali justifikasi yang diberikan. Akhirnya, aku mengambil langkah yang terbaik (pada pendapat aku) yang pernah aku lakukan dalam sejarah perkembangan pemikiran aku, iaitu aku cuba memeriksa sama ada fenomena ketidakselarian dan pemberian justifikasi ini boleh dilihat juga dalam agama-agama yang lain. Jika fikir secara logiknya, boleh dikatakan common sense juga yang ianya pasti didapati di dalam agama-agama lain. Tapi waktu itu, aku memerlukan kepastian. Maka aku cuba menggoogle „Big Bang in (nama kitab suci daripada pelbagai agama)”, dan aku dapati yang kesemuanya mengatakan yang teori Big Bang ini terkandung di dalam agama mereka. Aku bertanya kepada diri aku “Kalau setiap agama pun mengaku mereka betul, dan mendakwa yang kebenaran itu hanya pada mereka sendiri sahaja, maka siapa sekarang ini yang betul?”. Aku boleh cuba menyemak setiap aspek daripada setiap agama yang ada di bumi ini untuk menentukan buat untuk penghabisan kalinya yang mana satu yang betul, tapi ia tak akan dapat dilakukan dalam seumur hidup manusia. Seorang itu mungkin boleh menghabiskan seluruh hidupnya mengkaji sebuah agama, itu pun dia mungkin masih belum boleh mengkaji keseluruhan agama tersebut. Untuk bermula dengan Islam merupakan satu cadangan yang rambang. Kenapa Islam? Kenapa tidak Judaism? Atau Kristianiti? Atau Hinduism?

Di sini aku lihat lemahnya hujah mereka yang mengatakan: “Kau tinggalkan Islam sebab kau masih belum faham Islam lagi. Kalau kau fahaminya dengan benar, pasti kau takkan meninggalkannya.” Benar, aku mungkin tak faham Islam dengan begitu mendalam. Tapi aku rasa yang aku fahaminya dengan cukup untuk melihat yang ianya tidak lain daripada agama-agama yang lain. Islam, seperti kebanyakan agama-agama lain, mempunyai kitab yang di dalamnya terkandung ayat-ayat yang jika dinilai sekali pandang dan secara objektif adalah salah. Bagi aku, kalau tuhan itu maha bijaksana, dia akan menutup SEGALA jalan kepada ketidakfahaman dan kekeliruan yang mungkin timbul dalam usaha manusia untuk mempelajari tentang dirinya. Itu syarat yang aku letakkan bagi mana-mana agama. Sehingga syarat itu dipenuhi, aku akan hanya menyibukkan diri aku dengan pencarian kefahaman tentang alam ini menggunakan metodologi yang lebih konsisten, iaitu sains.

\\\

Di dalam kesempatan ini juga, aku ingin mengucapkan Merry Christmas kepada semua! And a Happy New Year.

Saturday 21 December 2013

Prejudis

ولن ترضى عنك اليهود والنصارى حتى تتبع ملتهم

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu sehingga engkau menurut ugama mereka. (Al-Baqarah: 120)

Sunday 8 December 2013

Aku boleh membaca minda?

Aku ada pengakuan yang mahu dibuat. Sebenarnya, aku mempunyai kuasa telepati yang berfungsi secara spesifik, iaitu aku berkebolehan untuk membaca fikiran mereka yang sedang membaca blog aku. Termasuk engkau. Kalau engkau fikir yang engkau boleh lari dengan berhenti membaca, aku mahu memberitahu yang sudah terlambat untuk berbuat demikian. Pengumpulan maklumat yang aku lakukan dapat dilakukan kurang daripada satu saat. Secara spesifiknya, aku hanya perlukan 1/72 saat je. Sekarang, segala maklumat peribadi engkau dah ada dalam ingatan aku. Aku tahu apa yang engkau makan tadi. Siapa dia yang mempunyai tempat istimewa kat dalam hati kau. Apa fantasi nakal engkau. Laman web apa yang kau biasa layari seorang-seorang sewaktu orang lain tiada di rumah atau pejabat. Di mana engkau kerja dan tinggal. Nombor dan PIN kepada akaun bank kau. Tapi jangan risau. Engkau boleh memadam segala memori berkenaan dengan diri engkau yang telah aku kumpul tadi dengan pergi ke mana-mana air terjun pada pukul 3 pagi dan mandi di bawahnya selama satu jam sambil menyanyi lagu Negaraku. Tapi engkau perlu cepat, sebelum aku tetiba ada selera untuk memusnahkan kehidupan seseorang.

Aku pasti yang engkau tak risau walau sesaat pun bila aku menceritakan kisah aku tadi (kalau ya, aku risau tentang kau). Kenapa? Sebab kewujudan kuasa telepati itu sendiri tidak pernah dibuktikan kebenarannya. Maka, segala implikasi yang bersangkut paut dengannya masih belum layak untuk diambil kira.

Semuanya berbalik kepada persoalan asas berkenaan dengan kewujudan kuasa telepati. Aku suka panggil persoalan ini "hipotesis pertama". Engkau boleh membentuk formulasi yang pelbagai bagi hipotesis ini, tapi mari kita setuju dengan formulasi berikut, iaitu: Kuasa telepati itu wujud. Kenyataan ini boleh jadi benar atau boleh jadi salah. Kemudian, di atas hipotesis pertama ini, terdapat hipotesis-hipotesis lain yang boleh dibina. Seperti, kuasa telepati ini hanya berfungsi apabila seorang itu sedang membaca blog Mulhid Melayu. Benar atau salah. Pembacaan fikiran ini berlangsung dalam masa 1/72 saat. Benar atau salah. Kesan pembacaan fikiran ini boleh dihilangkan dengan mandi air terjun di pagi hari sambil menyanyikan lagu Negaraku. Benar atau salah. Dan sebagainya. Kita boleh kategorikan hipotesis-hipotesis ini sebagai hipotesis sekunder. Ia sekunder kerana kebenarannya memerlukan prasyarat yang hipotesis pertama itu benar. Jika prasyarat itu dipenuhi, yakni, jika hipotesis pertama itu benar, maka barulah wujud kebarangkalian yang hipotesis-hipotesis sekunder itu benar. Jika hipotesis pertama itu salah, maka hipotesis-hipotesis sekunder itu secara automatiknya menjadi tidak lagi relevan.

Dalam alam ini, terdapat seinfiniti hipotesis yang masih belum terbukti tidak betul, dan oleh sebab itu boleh jadi betul. Contohnya, kita sekarang sedang hidup di dalam program simulasi yang dipanggil the Matrix (rujuk movie Matrix: http://www.youtube.com/watch?v=tgBViHeiSKM). Ataupun kita semua sekarang ini sedang bermimpi dalam sebuah mimpi yang jelas dan panjang (rujuk Inception, takde link bagi babak yang spesifik). Ataupun, alam semesta kita ini terkandung di dalam sebiji guli yang menjadi permainan alien (rujuk ending Men in Black: http://www.youtube.com/watch?v=EF6aEFFMxjU). Untuk melahirkan tindakan terhadap hipotesis-hipotesis sekunder kepada mana-mana hipotesis pertama di atas dasar "boleh jadi ia betul" ialah untuk bertindak dengan ketidakkonsistensi logikal. Sebagai contoh, mengapa seseorang itu memilih untuk berusaha untuk keluar daripada the Matrix untuk membebaskan kaum manusia, tapi dalam masa yang sama dia tidak berusaha untuk bangun dari tidur dengan membunuh diri (kena tengok Inception untuk faham ni)? Sebab dari segi pembuktian, kedua-dua hipotesis, Matrix dan Inception, juga tidak mempunyai apa-apa bukti untuk menyokong kebenarannya. Maka selayaknya mereka sama ada diabaikan pada tahap yang sama, atau mereka dilayan dan diambil kira pada tahap yang sama.

Bagi aku, agama juga merupakan hipotesis sekunder. Agama mengandungi banyak detail-detail spesifik seperti konsep syurga-neraka, konsep dosa-pahala, perkara-perkara ghaib dll. yang relevansnya bergantung kepada kebenaran hipotesis pertama, iaitu tuhan itu wujud. Selagi kewujudan tuhan itu masih belum dibuktikan, maka untuk mengamalkan mana-mana agama itu merupakan sesuatu tindakan yang tidak bijak. Tambahan pula, terdapat begitu banyak agama di atas muka bumi ini. Untuk mendahulukan satu agama ke atas agama-agama lain ialah untuk berjudi di atas perjudian. Perjudian yang pertama ialah sama ada tuhan itu wujud. Dalam perjudian ini, ada 50:50 peluang untuk betul. Kemudian, terbina di atas perjudian pertama tadi, perjudian kedua, iaitu agama x ialah agama yang benar. Di atas muka bumi ini terdapat sejumlah n agama. Jika setiap agama itu seperti Islam, iaitu mengakui yang hanya diri sendiri sahaja yang benar, maka kebarangkalian untuk seseorang itu untuk memilih agama yang benar ialah 1/n. Kalau engkau dulunya optimistik dengan tahuran ala-ala Pascal yang peluang untuk menangnya ialah 1/n, sekarang bayangkan kebarangkalian yang engkau betul itu dikurangkan dengan setengah, iaitu 1/(2n). Aku pasti tahap optimisme engkau tidak lagi setinggi sebelum ini. Melainkan engkau jenis yang tak munasabah dan betul-betul yakin diri.


Atas sebab itulah, aku telah berhenti solat, puasa, berdoa, mengambil berat tentang aurat, memakan daging halal, dan sebagainya. Sehingga kewujudan tuhan itu dapat dibuktikan dengan bukti-bukti yang mencukupi, ianya menjadi satu jenayah intelek untuk melakukan lompatan kepercayaan dan memilih untuk beramal dengan mana-mana agama, termasuk agama Islam. Tambahan pula, agama banyak memakan masa dan tenaga dengan ritual-ritual yang aneh dan leceh, disamping mengakibatkan bebanan psikologi dan emosi yang datang dari perasaan serba salah atas kelakuan-kelakuan yang tidak memudharatkan orang lain, seperti (dalam kes Islam) tidak menutup aurat, onani, seks luar nikah dengan kerelaan kedua-dua pihak, minum alkohol dengan bertanggungjawab, dan sebagainya. Ini belum lagi mengambil kira perkara-perkara yang jelas-jelas melanggar hak asasi manusia dan memudharatkan orang lain seperti campur tangannya di dalam menetapkan seksualiti manusia dan hukuman akibat melanggar penetapan tersebut. Lagipun, jika pendirian yang tuhan itu tidak wujud (a.k.a. atheism) boleh dikategorikan sebagai sebuah agama, maka ketidakpercayaan kepada tuhan hanya satu daripada n agama yang wujud di bumi, dan peluang mereka yang tidak percaya kewujudan tuhan untuk masuk ke neraka di dalam dunia yang mempunyai tuhan adalah sebaik orang lain, iaitu n-1/n.

Orait, aku nak pi makan bayi dan minum darah kambing hitam jap.

Sedikit kartun untuk menghilangkan bosan:




Wednesday 4 December 2013

Bebelan berkenaan dengan sekolah dan khilafah

Lawak sial bila teringat balik nasyid-nasyid yang dimainkan kepada aku di radio waktu bersekolah dulu. Salah satunya, lagu Arab ini: http://www.youtube.com/watch?v=SJ5kdTWnaLI. Terjemahan sebahagian daripada liriknya berbunyi begini: „China milik kami, Arab milik kami, India milik kami, semua milik kami.“ Tak ke kau terasa: “Gila bapak ah!”? Bayangkan kalau orang Kristian atau Buddha atau Hindu menyanyikan lagu dengan lirik yang sama. Rasa orang Islam akan suka tak dengan lagu ini? Pastinya tidak, sebab atas dasar apa yang mereka mahu mengisytiharkan mana-mana negara sebagai milik mereka? Tapi Muslim boleh rasakan yang apa yang dinyanyikan di dalam nasyid ini adalah dijustifikasikan, hanya kerana mereka berpendapat yang tuhan dan agama mereka ialah agama yang benar. Heh, agama-agama lain juga mempunyai pendapat yang sama tentang tuhan dan agama mereka sendiri.

Aku tak pasti sama ada pemikiran imperialisme sebegini mendapat tempat dalam minda-minda majoriti Muslim di Malaysia atau pun tidak, tapi yang pastinya, di rangkaian sekolah-sekolah Islam di Malaysia, yang salah satu daripadanya merupakan sekolah yang aku hadiri sewaktu sekolah menengah dahulu, ia merupakan sesuatu yang ditanam di dalam pemikiran kami, sama ada di dalam kelas, sewaktu aktiviti ko-kurikulum, mahupun di dalam usrah.

Muslim sibuk dengan teori konspirasi berkenaan dengan cubaan pihak ini dan itu untuk meng-anti-islah dan menakluk dunia, tapi mereka tidak sedar diri sendiri. Bagi aku, kalau adalah sekelompok manusia yang benar-benar bercita-cita untuk menakluk dunia, dengan taktik perluasan kuasa dan peperangan yang diluluskan oleh perlembagaan mereka sendiri, ia merupakan Muslim. Aku bukan bercakap sebagai seorang Islamophobe dan paranoid, akan tetapi, ini pendidikan yang aku alami sendiri apabila aku pergi ke sekolah. Aku disuapkan kisah-kisah agung zaman lampau berkenaan dengan khilafah, bagaimana ianya adalah satu-satunya sistem yang diredhai oleh Allah dan ia merupakan penyelesaian kepada penderitaan umat. Aku diajar yang membangkitkan semula khilafah ialah tanggungjawab Muslim seluruhnya.

Pembukaan?

Satu benda yang aku tak boleh faham, malah sewaktu aku masih Muslim lagi ialah kenapa Islam menjustifikasikan perluasan kuasa menggunakan peperangan dan penaklukan. Muslim tak suka menggunakan istilah penaklukan, oleh sebab itu mereka menggunakan kata alas „pembukaan“. Aku diajar yang sesebuah wilayah yang tidak duduk di bawah sistem Islam, penduduknya sentiasa ditindas oleh kezaliman sistem non-Muslim ini. Oleh sebab itu, apabila datangnya pertembungan antara wilayah non-Muslim ini dengan wilayah Muslim yang sedang meluaskan kuasanya, maka wilayah non-Muslim ini diberikan pilihan untuk menganut Islam, atau membayar jizyah, atau perang. Wilayah Islam ini boleh dikatakan sebagai wira yang bertugas untuk membebaskan manusia daripada kezaliman. Apa yang aku tak boleh faham ialah, apa jadi kalau wilayah non-Muslim ini sudah sedia aman dan makmur dalam kekufuran mereka. Cikgu-cikgu aku mungkin akan mengatakan ia sesuatu kemustahilan, dan aku pada umur tersebut mungkin akan mempercayai mereka.


Tapi perhatikan apa yang sedang berlaku di dunia. Negara-negara non-Muslimlah yang merupakan negara-negara termaju di dunia, yang paling aman dan kurang keganasan, yang menjaga kebajikan rakyat, yang menghormati hak asasi manusia, yang membuka ruang untuk kebebasan agama termasuk kepada agama kurang toleransi bernama Islam, dan lain-lain nilai positif. Maka nyatalah bahawa di sana wujudnya kemungkinan untuk kehidupan yang harmoni tanpa perlu mengikuti sistem Islam. Aku rasa sangat bertuah kerana berpeluang untuk melepaskan diri daripada delusi dan cucian otak yang terdapat di dalam masyarakat Muslim. Kerana dapat tahu yang apa yang telah disuapkan kepada aku suatu masa dahulu hanya merupakan ideologi yang terpisah sama sekali daripada realiti.