Sunday 22 May 2016

Tolak ansur

Pernah seorang YouTuber, yang aku suka tengok video dia, cakap yang "Aku tak nak betul, aku nak menang." Dia cakap ini dalam konteks perdebatan tentang hak haiwan. Dia mengkritik mereka yang atas sebab kemutlakan moral, atas sebab kemahuan untuk berada pada pihak yang “benar”, enggan bertolak ansur dengan mereka yang kemungkinannya boleh menjadi sekutu yang penting dalam pemansuhan eksploitasi haiwan. Salah satu contoh yang dia berikan ialah kes vivisection (pembedahan haiwan hidup). Dalam bidang vivisection, terdapat saintis yang mahu melihat pengurangan eksperimentasi haiwan tapi dalam masa yang sama tidak memahukan pengharaman eksperimentasi haiwan secara mutlak kerana mengetahui yang dalam sesetengah kes, eksperimentasi haiwan boleh mendatangkan manfaat kepada manusia. Sebagai seorang yang mahu mempertahankan hak haiwan, apa yang boleh kau lakukan bagi mengurangkan penderitaan haiwan?

Kau boleh pilih untuk tidak bertolak ansur dan tidak bekerjasama dengan para saintis ini (yang mengetahui selok-belok dunia eksperimentasi haiwan dan undang-undang disebaliknya) dan berkempen untuk mengharamkan semua jenis eksperimentasi haiwan. Suara kau akan didengari dan diabaikan. Dan sementara kau bertenggek di atas takhta moraliti kau yang unggul, tak satu haiwan pun yang akan diselamatkan. Atau kau boleh pilih untuk lakukan yang sebaliknya. Kau boleh pilih mengiktiraf yang dunia ini tidak berfungsi di atas ideal semata-mata. Kau boleh pilih untuk bertolak ansur dan bekerja dengan para saintis dan berkempen untuk mengetatkan undang-undang eksperimentasi haiwan. Sebab sekutu kau ialah mereka yang suaranya dilihat sebagai penting dalam dunia sains, kau mempunyai peluang yang jauh lebih tinggi untuk menyelamatkan haiwan, walaupun hanya sebahagian daripada mereka. Dari segi moralitinya kau mungkin dianggap sebagai pengkhianat kepada ideal kau, tapi secara praktikalnya, kau akan berjaya melakukan apa yang mereka yang bermoral mutlak gagal lakukan.

Aku nampak senario yang agak serupa dalam isu reformasi Islam. Aku lihat sesetengah ateis menentang usaha reformasi Islam yang dilakukan oleh mereka seperti Maajid Nawaz dan Irshad Manji, menyifatkan usaha mereka sebagai tidak jujur. Dalam kedegilan mereka untuk berada pada pihak yang benar, mereka mengetepikan kerjasama dengan mereka yang berpotensi untuk mengubah Islam dari dalam. Mereka mengharapkan yang Muslim mempercayai yang Qur’an bukan kata-kata tuhan, tapi ialah rekaan manusia. Bagi aku, harapan ini ialah harapan yang terlalu tinggi dan langsung tak realistik. Bahkan orang Kristian dan Yahudi sekular di negara-negara Barat pun masih mempercayai yang Bible ialah kata-kata tuhan. Apa yang menyebabkan mereka tidak ganas (walaupun Bible mengandungi jauh lebih banyak contoh keganasan yang disokong oleh Yahweh berbanding dengan Qur’an) ialah kenormalan perbuatan memilih ayat yang dirasakan sesuai dan meninggalkan ayat yang dirasakan kejam, serta kelonggaran untuk mengatakan apa yang alegorikal dan apa yang literal.

Atas sebab itu, apa yang perlu dicapai ialah untuk menjadikan Islam selonggar agama Kristian dan Yahudi. Kita perlu menerima hakikat yang pada tahun 2016, di kebanyakan pelosok dunia termasuk Malaysia, kebanyakan Muslim akan terus hidup dengan tanggapan asas yang Qur'an ialah kata-kata tuhan yang tidak mengandungi kesilapan, seperti mana orang Kristian dan Yahudi menganggap Bible ialah kata-kata tuhan yang tidak mengandungi kesilapan. Ini sesuatu yang tidak boleh dirunding. Tapi apa yang boleh dirunding ialah bagaimana tafsiran terhadap ayat-ayat Qur'an dilakukan. Kita perlu menyokong segala usaha untuk menormalisasikan interpretasi yang progresif dan yang selari dengan perkembangan moraliti dunia moden. Kerana para reformis terpaksa bekerja dengan teks kuno yang gasar, kita tidak dapat tidak akan berhadapan dengan banyak ketidakjujuran intelek dalam meyakinkan dunia yang Islam boleh diharmonikan dengan nilai-nilai moden seperti kebebasan beragama, kebebasan menukar agama, kebebasan bersuara, penerimaan LGBT, dan sebagainya. Bagaimana ini boleh dilakukan? Aku tak tahu, dan aku perlu akui yang aku tak cukup kisah/berdisiplin untuk berusaha ke arahnya. Kalau aku sendiri yang perlu buat kerja reformasi ini, aku rasa otak aku akan meletup sebab tak tahan segala mental gymnastics yang perlu dilakukan. Sebab itu aku tinggalkan kerja ini kepada mereka yang sanggup melakukannya. Dan mereka mempunyai sokongan aku yang sepenuhnya.

Adakah ini bermaksud yang aku mempromosi ketidakjujuran intelek? Tak. Tapi aku bersedia untuk bertolak ansur dalam kes Islam. Bagi aku, lebih baik hidup dengan 1.6 bilion Muslim progresif yang badan ulama'nya selekeh dalam pentafsiran Qur'an, daripada hidup dengan 1.6 bilion Muslim konservatif yang badan ulama'nya mempunyai integriti intelek. Ini satu tolak ansur yang mungkin tak menyelesakan, tapi ia adalah langkah pragmatik aku rasa yang patut diambil.

PS: Dalam berpolitik, tolak ansur ialah sesuatu yang tak dapat dielakkan. Muhammad ada menunjukkan contoh yang boleh diteladani melalui Perjanjian Hudaibiyah, satu tolak ansur yang begitu tidak popular dalam kalangan sahabat tetapi yang akhirnya mendatangkan manfaat yang besar bagi pihak Muslim (kalau sirah yang aku belajar selama ini boleh dipercayai). Aku tak pernah kata yang Muhammad ialah 100% tak boleh harap. ;)