Sebelum
bermula, aku memohon sejuta kemaafan jika mengecewakan mereka yang
mengikuti blog ini, yang mengharapkan kekerapan post yang konsisten. Sebab
kelewatan ini ialah kemalasan dan kekurangan disiplin diri, kesibukan dan juga bahan yang tidak mencapai kualiti yang sewajarnya; sesuatu yang aku anggap sangat penting bagi para pembaca. Tapi aku harap para
pembaca sedar, penangguhan ini tidak dilakukan dengan hati yang senang.
Perasaan yang aku alami ini boleh disamakan dengan perasaan tak senang hati
yang kau alami bila kau meninggalkan sesuatu yang wajib, atau melakukan sesuatu
yang haram. Harapnya dengan meluahkan perasaan serba salah ini, serta dengan
memohon kemaafan dengan ikhlas, kalian dapat memaafkan aku.
***
Satu hari,
setelah agak lama tidak pulang ke rumah disebabkan tinggal di tempat belajar, aku
agak pelik apabila mendapati yang seseorang daripada ahli keluarga aku telah membingkaikan
gambar kami sekeluarga dan meletakkannya di atas meja ruang tamu. Pelik kerana dulunya benda macam ini tak diterima oleh keluarga kami. Menurut hadis
[1], malaikat rahmat tidak masuk ke rumah yang di dalamnya ada gambar haiwan
(termasuk manusia). Walaupun aku tidak menegur perbuatan tersebut kerana
cenderung untuk mengelak konflik dan merasakan yang harmoni itu lebih berharga
daripada ketegasan dalam amalan, tapi bukankah jelas yang ini ialah satu
perbuatan yang tidak Islamik, jika mereka benar-benar menghayati apa yang
terkandung di dalam hadis? Tapi mungkin “Islamik” itu sendiri ialah sesuatu
yang subjektif. Di mana aku mungkin akan merasakan yang keimanan aku tidak
sempurna jika aku tidak mengikuti hadis pengharaman gambar itu, ahli keluarga
aku merasakan yang ianya sudah tidak lagi mempengaruhi keimanan mereka.
Di sini kita
boleh lihat yang Muslim tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada teks dan wahyu untuk mendefinisikan
apa itu baik atau buruk bagi diri mereka sendiri. Hakikatnya, banyak ajaran
yang terdapat di dalam Islam sama ada sudah tidak lagi relevan atau tidak
praktikal di dalam kehidupan Muslim yang moden. Dalam kes gambar, mereka tidak
lagi kisah sama ada malaikat rahmat memasuki rumah mereka ataupun tidak. Kerana
walaupun mereka wajib untuk percaya kepada benda-benda yang ghaib, termasuk
malaikat; dan jikalau ada pun pengaruh terhadap kehidupan mereka melalui
perletakan gambar di dalam atau penyingkiran gambar daripada rumah mereka, pengaruh tersebut tak dapat dikesan dan atas sebab itu kewujudan dan pengaruh malaikat
rahmat diabaikan dan dilakukan seolah-olah tidak wujud, dan Muslim menjalani kehidupan mereka tanpa memikirkan
langsung tentangnya.
Kita boleh lihat fenomena pengabaian ajaran agama dalam
banyak kes yang lain. Hijab contohnya. Sesetengah keluarga Muslim tidak
langsung menitikberatkan hijab, tapi jika ada orang yang menghina Nabi,
merekalah antara orang yang pertama yang akan pergi membuat demonstrasi untuk
membantah perbuatan tersebut. Mereka mempunyai perasaan tergolong (sense of
belonging) kepada istilah "Muslim" dan agama Islam, walaupun mereka sendiri
tidak mengamalkan Islam dengan seperti mana yang diajarkan dan ditunjukkan oleh
Muhammad. Mereka secara sengaja dan sedar memilih apa yang mereka rasakan baik
dan praktikal di dalam Islam, dan berpegang hanya kepada itu. Bagi mereka, kod
pakaian yang tidak konvensyenal tidak menghalang seseorang itu daripada menjadi
individu Muslim yang sivil dan baik.
Contoh lain boleh dilihat dalam riba. Riba ialah
jenayah yang sangat besar sehingga diancam dengan ancaman peperangan oleh Allah
dan rasulnya [2]. Tapi sedikit sangat Muslim pada hari ini yang pernah membeli
rumah atau kereta tanpa menggunakan pinjaman yang tidak melibatkan riba. Alasan yang selalu digunakan ialah demi
kemaslahatan yang lebih besar. Agak pelik di mana Allah meletakkan umatnya yang
tercinta di dalam satu keadaan di mana untuk mencapai "kebaikan yang lebih
tinggi", mereka terpaksa melakukan jenayah yang begitu besar sekali. Apa-apa pun
justifikasi mereka, kenapa Muslim tidak meletakkan ketaatan di atas
kemaslahatan? Kenapa tidak pilih untuk hidup dalam kesukaran sebentar di dunia
yang fana ini, tapi memenuhi kehendak tuhan dan akhirnya mendapat ganjaran yang
lebih besar dan berkekalan di akhirat kelak, berbanding dengan kemudahan yang
sementara sambil melanggar batasan tuhan? Jawapannya mudah, sebab ianya tidak
realistik.
Aku pernah
berdebat dengan seorang kawan (yang kegoyahan imannya boleh disandarkan kepada
“hasutan” yang dilakukan oleh aku) sama ada penyampaian mesej atheism itu perlu
atau pun tidak. Aku berpendapat, ya, kerana aku rasakan yang agama membawa
banyak mudharat kepada manusia. Dia berpendapat yang atheism ialah hasil
daripada masyarakat yang sudah “cukup”. Jika engkau mampu “mencukupkan”
masyarakat, maka mereka akan meninggalkan dan mengabaikan agama dengan suka
rela. Maka, apa yang perlu diusahakan ialah proses “pencukupan”, bukannya
penyebaran ketidakpercayaan kepada tuhan. Kerana penyebaran antithesis kepada kepercayaan
kepada tuhan ialah satu langkah yang terlalu drastik, yang hanya akan
mengundang retaliation (tindak balas yang ganas) yang akan merugikan kedua-dua
pihak. Lebih baik membiarkan perubahan datang secara beransur-ansur dan
semulajadi. Aku pada hari ini cenderung untuk bersetuju dengan pendapatnya.
Apa yang aku
maksudkan dengan “cukup”? Cukup dalam erti kata, kebanyakan daripada fungsi
yang dimainkan oleh tuhan dan agama telah diambil alih oleh ejen-ejen fizikal,
sehingga manusia tidak lagi mempunyai keperluan dan kemahuan terhadap agama. Agama, termasuk Islam, ialah
peninggalan daripada zaman kejahilan manusia. Dulunya masyarakat Arab tidak
memahami kenapa boleh berlakunya gerhana matahari, maka Muhammad telah
mengeluarkan agakannya [3] bagi memberikan “penjelasan” kepada fenomena yang
mencemaskan ini. Tapi sains telah berjaya menerangkan gerhana matahari tanpa
perlu membuat andaian yang sama seperti yang telah Muhammad telah lakukan.
Zakat pernah memainkan peranan dalam pengagihan kekayaan; sistem cukai yang
100% sekular dapat memainkan peranan yang sama. Api neraka pernah dipersalahkan
apabila manusia mengalami demam dan Islam cara pengubatannya ialah menggunakan
air [4], tapi pada hari ini punca demam telah difahami dengan cukup baik dan cara
untuk mengubatnya tidak langsung bergantung kepada andaian yang ianya
disebabkan oleh neraka.
Aku yakin
yang kepandaian ialah salah satu sebab kenapa spesis kita begitu berjaya. Bak
kata pepatah, “knowledge is power”, dan keupayaan manusia untuk memahami
persekitarannya telah banyak membantu spesis kita dalam survivalnya di bumi. Tapi,
dengan kepandaian yang kita dapati daripada evolusi kita, kita akan tidak dapat
tidak bertembung dengan persoalan-persoalan yang sukar, seperti “apakah erti
dan tujuan kehidupan”, “bagaimana mahu mencapai ketenangan jiwa” atau “apakah
itu kebahagiaan”. Soalan-soalan seperti ini digolongkan dalam spiritualiti dan
setakat ini perlu diakui yang kita masih tidak mempunyai ijmak atau persetujuan
umum berkenaan dengan jawapan kepadanya. Aku rasa, selagi mana manusia tidak
memahami spiritualiti secara total dan objektif serta berjaya untuk
mengasingkan amalan-amalan yang benar-benar berkesan dalam mendidik “jiwa”
daripada amalan-amalan rambang dan khurafat; agama, yakni sebuah pakej yang
terkandung di dalamnya campuran antara keduanya, akan terus wujud. Tapi
pengalaman menunjukkan yang banyak perkara-perkara yang dahulunya hanya mampu
“diterangkan” oleh agama, sekarang ini sudah mampu dijawab oleh ilmu-ilmu
ladiniyyah (tidak berkaitan dengan agama). Aku positif yang agama akan lambat
laun hilang kuasa penjelasannya dan akan pupus sama sekali.
[2] Al-Baqarah,
ayat 278-279
[3] Di
dalam hadis (http://www.usc.edu/org/cmje/religious-texts/hadith/bukhari/018-sbt.php#002.018.158
), diriwayatkan yang Muhammad menyebut yang Allah mahu menakutkan hambanya menggunakan
gerhana. Agak pelik kerana fenomena gerhana ini pastinya sesuatu yang sangat
lazim di dalam alam ini. Ambil Marikh sebagai contoh. Marikh mempunyai bulannya
yang tersendiri. Bahkan dua bulan, Phobos dan Deimos. Kita tertanya-tanya,
siapalah agaknya penduduk malang Marikh yang mahu ditakutkan oleh Allah apabila
dia menjadikan Phobos beredar seketika di antara matahari dan Marikh? Mungkin
jin.
Keluarga saya pun sama juga. Ketika masa kecil dulu, saya pernah beri cadangan supaya men'frame'kan gambar family dan gantung kat dinding, yang kemudiannya dihalang oleh ibu dengan nada marah. Tetapi waktu berada di sekolah menengah, dia sendiri pula yang letak frame2 gambar family kat rumah. Bukan satu, tapi banyak. Saya bertanya tentangnya, namun alasan yang diberikan ialah asalkan gambar penghuni rumah itu tidaklah jadi masalah. Jangan letak pula gambar orang lain. Tapi hairan juga sebab kat office2 pun dah ada banyak gantung gambar2 yang dipertuan agong dan perdana menteri yang tak menghuni office tu. Mesti malaikat pun tak kuasa nak lalu kat sana :\
ReplyDeleteSatu lagi pasal hijab. Jangan nak kata yang tak pakai hijab saja. Yang pakai hijab pun sama. Sekarang ni hijab tu atas nama fesyen je. Bukan atas nama agama. Sepatutnya, pakaian muslimah tak boleh warna warni dan berfesyen2 dengan unsur2 yang menarik perhatian. Satu warna saja yang sepatutnya x menarik perhatian iaitu hitam gagak. Tapi muslimah kat Malaysia bukan main lagi bling2 kalah2 pompuan kafir. Mana lagi pakai baju ketat dan ikut bentuk. Yang pakai pakaian kafir macam jeans tu dah rata2 jadi kemestian. Erm, panjang cerita kalau nak tegur bab aurat dorang ni. Tahu pasal hukum hakam tapi masih langgar sebab budaya tu sudah popular dan jadi kebiasaan. So masyarakat pun cenderung untuk tidak melihatnya sebagai kesalahan walaupun ada individu yang mungkin asyik dibelenggu perasaan serba salah terhadap agama.
Pasal riba pula, baik suruh muslim buat rumah dan buat kereta sendiri je. Jangan beli kecuali boleh guna cash. Sekarang pun rata2 loan semua pakai riba. Education loan macam ptptn pun riba juga. Adalah yang sudah menjadi mustahil untuk hidup bersandarkan kepada 100% ajaran islam di zaman ini. Nilai2 sekularisme yang universal sudah menjadi pegangan dan kemestian kerana manfaat yang disumbangkannya kepada umat manusia.
tidak dapat dinafikan ada banyak persoalan yang tidak dapat dijelaskan oleh authoriti yang mewakili golongan theist. malah persoalan-persoalan ini akan terus timbul sebagaimana ungakapan satu kaedah fiqh: an-nusus mutanahiyah, wal qadhiyatu la tantahi. teks dari tuhan telah tamat, tapi persoalan kehidupan akan terus wujud.
ReplyDeletewalaupun seorang theist, aku juga masih mencari jawapan kepada pelbagai soalan yang kelihatan bercanggah dengan realiti kehidupan.
namun jauh disudut hati, segala persoalan yang aku tidak ketemu jawapan tidak pula menjadikan aku tidak merasai sifat bertuhan.sebab sifat bertuhan pada aku satu yang complexs dan interpretasinya sangat pelbagai mengikut apa yang diyakini individu itu sendiri.