Thursday 27 February 2014

Mungkin aku akan bertaubat

Ugh, aku dah ngantuk, dan aku enggan untuk tidur sehingga aku terbitkan post ini, post pertama sejak tempoh yang sangat panjang.

///

Adakah aku pasti yang aku takkan bertaubat? Ini soalan yang dilontarkan kepada aku oleh seorang kawan baik apabila dia datang melawat aku tempoh hari.

Jawapan aku ialah, aku tak pasti sama ada aku akan bertaubat atau tidak. Kerana aku tak tahu dalam masa beberapa tahun nanti, apa yang akan aku lalui, dan keputusan apa yang akan aku ambil. Tiga tahun yang lepas, aku tak pernah terbayang pun untuk meninggalkan Islam. Bahkan aku sangat membenci syirik dan kemurtadan dan ilhad (atheism dalam Bahasa Arab). Aku ingat lagi post-post 9GAG oleh para mulhidun yang membuatkan aku meluat. Aku tak pernah pun merancang untuk meletakkan diri aku di dalam situasi di mana aku diyakinkan bahawa Islam (dan agama secara umumnya) adalah besar kemungkinan tidak benar. Kalau aku merancang untuk berbuat demikian, sedang aku meyakini yang Islam itu adalah satu-satunya agama yang benar, dan balasan mati dalam kemurtadan ialah neraka buat selama-lamanya, maka sesungguhnya aku adalah orang yang bangang. Tapi di sini aku berdiri hari ini (sebutan ini hanyalah figuratif; aku sedang duduk sambil menaip post ini), semurtad yang engkau boleh bayangkan.

Kita menjalani kehidupan kita tanpa pengetahuan tentang masa depan. Kita tak tahu ke mana dunia akan membawa kita atau bagaimana suasana dan faktor-faktor luaran akan mempengaruhi dan membentuk pemikiran dan keyakinan kita. Aku dulunya begitu yakin yang aku takkan keluar daripada Islam atas kerelaan sendiri. Aku terbukti salah. Kini, aku enggan untuk mengulangi kesilapan aku dan menjadi begitu yakin tentang kekuasaan aku terhadap masa depan aku. Siapa boleh katakan dengan yakin yang aku takkan diletakkan dalam situasi yang mampu mendorong aku untuk kembali kepada Islam? Mungkin aku akan kehilangan orang yang aku sayangi, dan agama sahaja yang mampu membantu aku untuk meneruskan kehidupan. Mungkin aku akan jatuh cinta dengan seorang beragama Islam dan pada masa tersebut berfikir yang cinta kepadanya aku jauh lebih penting daripada kebenaran. Siapa tahu.

///


Dua perenggan. Kebelakangan ini aku merasakan yang aku kekurangan bahan untuk menulis. Aku tak nak memperbodohkan diri sendiri dengan membincangkan perkara yang tentangnya aku tiada pengetahuan. Untuk keselesaan rakan-rakan seangkatan aku, aku perlu katakan yang kita berada pada satu zaman di mana penerimaan sains itu dah terlalu meluas dan bukti-bukti yang agama itu adalah rekaan manusia itu sudah terlalu banyak bagi membenarkan para pencari kebenaran untuk melihat yang agama itu sebagai sesuatu yang meyakinkan. Akan tetapi, manusia bukannya hidupan yang sentiasa rasional.