Tuesday, 6 August 2013

Kau tak takut neraka ke?

Aku pernah ditanyakan soalan ini oleh seorang kawan. Kau tak takut neraka ke? Secara jujurnya, aku masih kadangkala mempunyai kerisauan tentang neraka. Pernah satu malam, ketakutan tu datang secara tiba-tiba, dan aku menghadapi kesukaran untuk tidur.

Neraka ialah sesuatu yang menakutkan. Al-Qur’an telah berjaya dengan cemerlangnya untuk memastikan yang aku fahami, ingati dan hayati kenyataan itu. Cuba tengok kulit tangan kau. Kulit ialah organ deria yang sangat menarik, yang mampu menerima banyak deria, termasuk deria kepanasan. Sekarang bayangkan engkau ada kat dalam neraka, dan kulit engkau dibakar sehingga hangus. Dalam klasifikasi kecederaan kulit, bila kau sampai ke tahap third-degree burn, deria kulit kau dah tak berfungsi. Tapi oleh sebab Al-Alim tahu macam mana kulit berfungsi, dia, yang juga merupakan Ar-Rahman, akan mengembalikan kulit kau kepada keadaan asalnya supaya engkau dapat menikmati azab neraka selama-lamanya (Qur’an, 4:56). Ini salah satu contoh daripada banyak contoh kengerian neraka yang disebut di dalam Al-Qur’an. Dan banyak lagi ayat-ayat pelengkap lain yang boleh didapati di dalam himpunan hadith untuk membantu menghantui minda-minda kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Aku telah jalani sebahagian besar daripada hidup dengan aku mempercayai neraka sebagai satu hakikat. Hakikat yang telah disuap ke dalam pemikiran aku dan diulang-ulang sejak kecil lagi. Bila fikir balik, aku tak ingat bila aku pernah tak tahu tentang neraka. Benda-benda yang kau selalu ulang dari kecil, susah untuk dilupakan. Dia sebati dengan kau, membentuk sebahagian daripada diri kau. Macam juzu’ ‘Amma lah. Kalau kau tebuk (kata kerja yang digunakan dalam kalangan penghafal Qur’an, lebih kurang sinonim dengan uji secara rawak) aku mana-mana surah dalam juzu’ ‘Amma, kebarangkalian yang aku masih ingat lagi ayat-ayat kat dalam juzu’ tersebut adalah tinggi, walaupun dah lama dah aku tak ulangkaji.

Ya, aku masih lagi cuak dengan neraka. Jadi? Neraka ialah satu fenomena yang benar-benar wujud? Kalau kau senaraikan kriteria yang perlu dipenuhi bagi melayakkan sesuatu itu untuk dipanggil sebagai sebuah fakta, ketakutan kepada sesuatu itu bukan salah satu daripadanya. Untuk menunjukkan betapa tak masuk akalnya logik ini, kita lihat satu kisah tahyul orang barat: Bogeyman. Bogeyman ialah rekaan orang dewasa untuk menakutkan kanak-kanak supaya mereka berkelakuan baik. Sesetengah kanak-kanak benar-benar takut dan percaya kepada kewujudan bogeyman, seperti mana orang Islam takut dan percaya kepada kewujudan neraka. Tapi kita tahu yang bogeyman ini hanyalah rekaan. Dan setakut mana pun kanak-kanak di dunia ini terhadap bogeyman, ini takkan sedikit pun mengubah kenyataan yang bogeyman itu tidak wujud.

Kesimpulannya, walaupun aku masih kadangkala risau tentang neraka akibat kesan pendidikan yang aku terima sejak kecil, ketakutan itu bukanlah penentu kepada kewujudan neraka.

3 comments:

  1. pandangan aku, persamaan konsep takut kepada bogeyman dengan neraka tidak begitu tepat. kerana takut bogeyman itu akan hilang bila kanak-kanak itu mula membesar dan boleh befikir. tapi agak hairan kenapa kamu masih takut neraka sedangkan kamu tahu, sedar dan yakin neraka itu tak wujud. erm saya ada satu pertanyaan. atheist juga menjalani hidup secara spiritual untuk ketenteraman jiwa? contoh mendengar instrumen yang menenangkan, menikmati bunyian alam atau bagaimana?

    ReplyDelete
  2. [pandangan aku, persamaan konsep takut kepada bogeyman dengan neraka tidak begitu tepat. kerana takut bogeyman itu akan hilang bila kanak-kanak itu mula membesar dan boleh befikir.]

    Kau betul, perbandingan ini tak 100% tepat. Bogeyman itu diterima umum sebagai satu rekaan orang dewasa untuk menakutkan kanak2. Adapun neraka Islam ialah konsep yang kebenarannya diterima oleh majoriti masyarakat Malaysia (yang di dalamnya aku membesar) sebagai fakta, yakni ia betul2 wujud. Tapi persamaannya ialah, kedua-duanya tidak mempunyai bukti fizikal untuk menyokong kewujudannya, dan kedua-duanya mempunyai kuasa untuk mempengaruhi psikologi dan tindakan manusia.

    [tapi agak hairan kenapa kamu masih takut neraka sedangkan kamu tahu, sedar dan yakin neraka itu tak wujud.]

    Aku rasa, ketakutan itu bergantung kepada sedalam mana konsep itu telah berakar-umbi di dalam kepercayaan seseorang itu. Seperti yang dikatakan dalam blog aku, aku telah majoriti kehidupan aku dijalani dengan kepercayaan kepada neraka sebagai sesuatu konsep yang benar2 wujud. Aku tak kata yang neraka itu tidak wujud. Aku kata yang ketakutan terhadap sesuatu itu bukan pengukur kepada kewujudan sesuatu. Neraka itu mungkin wujud, atau mungkin tidak. In fact, aku percaya yang tuhan, serta konsep2 yang berkaitan dengannya seperti syurga-neraka, tergolong dalam hipotesis yang tidak boleh ditentukan sama ada mereka benar2 betul atau tidak. (Google Russell’s teapot)

    [atheist juga menjalani hidup secara spiritual untuk ketenteraman jiwa? contoh mendengar instrumen yang menenangkan, menikmati bunyian alam atau bagaimana?]

    Aku tak boleh bercakap bagi pihak atheist (sekumpulan manusia yang satu-satunya persamaan yang mereka miliki ialah ketidakpercayaan kepada kewujudan tuhan). Aku secara personalnya tak suka menggelar diri aku sebagai seorang yang spiritual. Tapi aku cuba mencari ketenteraman jiwa dalam kehidupan. Antara perkara yang aku lakukan untuk mencapai itu ialah dengan mempelajari sains dan mengenali alam, mendengar muzik dan memerhatikan alam semulajadi.

    ReplyDelete
  3. Entah la... Aku xpernah rasa takut sampai mcm tu... Mungkin sbb islamisasi aku xdalam sgt mungkin...

    ReplyDelete