Tengok video ni.
Aku sekadar ulang point utama Ozy dan tambah kepada apa yang dia cakap. Ateis dan teis adalah istilah yang sangat
umum dalam mengkategorikan manusia. Kedua-duanya tak berguna dalam meramal apa
yang seorang itu akan atau tidak akan lakukan. Pastinya tidak jika mahu meramal sama ada seorang a-/teis itu akan melakukan kekejaman moral.
Aku dulu suka jugak main tuding
jari ni untuk berdebat dengan orang Islam, tapi bila fikir balik dan muhasabah diri, aku dapati yang permainan
tuding jari ni tak matang. Aku rasa macam ia hanya cubaan untuk memburukkan
nama sesuatu ideologi yang bercanggah dengan ideologi seseorang supaya hujah
daripada ideologi berlawanan ini tak perlu didengari lagi. Taktiknya lebih
kurang: "Tengok betapa buruknya kesan a-/teisme kau kepada dunia. Maka, a-/teisme salah." Cara berhujah camni tak mantap.
Satunya, tuduhan ini terlalu umum. Camne fakta yang seorang itu adalah ateis atau teis boleh dikaitkan dengan
tindakan? Tindakan spesifik memerlukan kepercayaan spesifik. Isu sel stem kat
US adalah satu contoh yang baik, dan Sam Harris mengulas perkara ini dengan
cemerlang. Hujah Harris ialah, pentingnya mengkritik kepercayaan agama secara
spesifik. Dalam sesetengah mazhab Kristianiti, saat ovum disenyawakan oleh sperma (membentuk zigot) adalah saat di mana seorang manusia itu dicipta oleh
tuhan dan ini mendatangkan natijah yang membunuh zigot itu mempunyai keparahan
jenayah moral seakan membunuh seorang manusia yang sempurna (bayi/kanak-kanak/ orang dewasa). Dalam masa yang sama, dalam
Islam, roh ditiupkan pada hari yang ke-40(?) dan atas sebab itu, menggunakan zigot sebelum
masa tersebut untuk melakukan kajian sel stem adalah tidak berdosa kerana ia
tak dikira membunuh. Adalah salah untuk mengatakan bahawa alasan kenapa
sesetengah mazhab Kristian menentang kajian sel stem adalah hanya kerana
kepercayaan kepada tuhan (teisme), kerana kalau bercakap demikian, kenapa kita
tak lihat kelakuan yang sama dalam Muslim, yang juga merupakan teis? Atas sebab
itu, kepercayaan spesifik itu penting dalam melahirkan tindakan spesifik.
Ini membawa aku kepada tuduhan yang ateisme ialah ideologi yang membawa
kemusnahan yang paling besar dari segi statistik kematian. Mao dan Stalin
mungkin adalah ateis, tapi adakah hanya itu alasan kenapa mereka telah
melakukan kekejaman moral yang begitu besar? Tak. José Mujica adalah bukti yang seorang
pemimpin ateis juga boleh menjadi 100% bertentangan dengan Mao dan Stalin. Stalin
contohnya merupakan seorang yang percaya kepada idea utopia di mana manusia
tidak perlu lagi menderita dalam pergelutan antara-kelas dan dalam
ketidakadilan masyarakat. Dalam impian untuk mencapai utopia yang seakan-akan
syurga ini, tiada pengorbanan yang terlalu tinggi. Apalah pengorbanan yang
sedikit, walaupun dalam jutaan nyawa, berbanding dengan utopia yang akan menjamin kebahagiaan
kemanusiaan buat selama-lamanya yang bernilai infiniti? Ini satu kepercayaan yang spesifik
yang tak dikongsi oleh semua ateis. Kepercayaan ini penuh dengan dogmatisme
dan tidak mempunyai dasar dalam realiti dan bukan didorong oleh skeptisisme.
Sam Harris ada jugak cakap pasal ini. Katanya, atas sebab dengan
ideologi-ideologi ini dengan agama dari segi dogmatisme dan dari segi
kekurangan skeptisismelah yang menyebabkan ideologi-ideologi ini gagal dengan
hebatnya.
Lagi satu bantahan kepada hujah "Kerana natijahnya teruk, maka ia salah"
ialah ia adalah non-sequitur. Fakta dalam dunia ini adalah fakta. Ia tak
berubah walaupun apa pun natijahnya. Sesetengah orang melihat bahawa
ketidakwujudan tuhan akan membawa natijah yang manusia tidak mempunyai dasar
moral yang objektif. Maka...? Tuhan wujud, atau tuhan tak wujud. Natijah yang
datang daripada salah satu kenyataan ini bukan penentu kepada kebenaran
mana-mana kenyataan. Kalau tuhan wujud, dan manusia boleh menjadikannya sebagai
dasar moral, baiklah. Kalau tuhan tak wujud, dan manusia tak mempunyai apa-apa
untuk mendasarkan moralnya, camtulah hakikatnya. Contoh yang lain ialah kewujudan ubat yang boleh menghidupkan semula manusia yang telah mati. Fikirkan implikasi kewujudan ubat ini kepada anak-anak kecil yang kehilangan ibu bapa mereka dalam kemalangan trafik. Betapa mereka dinafikan kasih sayang dan didikan ibu bapa mereka. Begitu baiknya jika wujud ubat ini dan dapat mengembalikan semula apa yang mereka sepatutnya dapat. Tapi sayangnya ubat ini tak wujud. Dan itu adalah hakikat.
Aku jugak nak mengajak para bekas Muslim untuk memuhasabah diri. Adakah sewaktu korang masih
Muslim, korang mempunyai kecenderungan untuk membenci orang bukan Islam dan
menjustifikasi pembunuhan mereka? Aku rasa korang tak mempunyai kecenderungan
ini. Maksudnya, kepercayaan kepada Allah bukan pendorong yang secara automatiknya menjadikan
Muslim merasakan bahawa darah orang bukan Islam itu halal. Kepercayaan yang
spesifik kepada sesetengah ayat Qur'an atau hadis itu yang menentukan sama ada
seorang Muslim itu percaya yang darah bukan Muslim itu halal. Aku rasa yang
banyak sangat panik yang disebarkan oleh orang yang takut dengan potensi
keganasan Islam. Betul, jika melihat sejarah kewujudan Islam,
memang wujud kelompok manusia, dulu dan kini, yang mengidentifikasi diri dengan nama Muslim yang menghalalkan darah orang bukan Muslim berdasarkan interpretasi ayat-ayat Qur’an
dan hadis. Tapi kalau korang sendiri dulunya mengidentifikasi diri sebagai
Muslim, dan korang tak bersetuju dengan kelompok ini, dan memilih untuk tidak
terlibat mereka (sebelum korang murtad), kenapa korang tak rasakan yang
Muslim pada hari ini mempunyai kebolehan yang sama?
Aku rasa, elok kita
meletakkan lebih keyakinan kepada kebolehan manusia untuk mengikut naluri
mereka dalam memilih apa yang betul atau salah. Ini bukan mengatakan yang kita tak perlu
berhati-hati dengan ideologi-ideologi yang berbahaya. Kita perlu menjauhinya,
mengkritiknya sehabis mungkin dan mencegah atau meminimakan kesan negatifnya.
Tapi rilek ah. Jangan wujudkan panik dan kebencian yang tak bertempat dengan
ketakutan yang berlebihan. Panik akan melahirkan tindakan yang tak rasional. Aku yakin, kebanyakan Muslim, macam kebanyakan orang
lain, hanya nak hidup dalam keamanan je.
Kesimpulannya, a-/teisme adalah istilah umum yang tak berguna dalam meramal tindakan manusia. Tindakan spesifik memerlukan kepercayaan spesifik. Manusia juga berkebolehan untuk membuat penilaian baik-buruk dengan sendiri walaupun label identifikasi dirinya mempunyai kaitan (sama ada sekarang mahu pun pada masa lepas) dengan polisi-polisi yang tidak bermoral.
No comments:
Post a Comment