Setiap
individu yang pernah hidup di atas muka bumi ini; kau, aku, dan setiap orang
yang kita kenali; berasal dari seorang manusia, iaitu Adam, yang diciptakan
dari tanah dan yang ke dalamnya ditiupkan roh. Manusia kedua; yang merupakan
seorang wanita, isteri kepada Adam yang dinamakan Hawa; diciptakan oleh Allah
daripada rusuk Adam. Mereka berdua tinggal di dalam syurga, sehingga pada suatu
hari, sebab Allah inginkan yang di atas muka bumi terdapatnya khalifah (wakil
dalam pemerintahan), dia telah mendatangkan sebab untuk Adam dan Hawa
diturunkan ke bumi dengan membenarkan mereka memakan buah dari sebuah pokok yang
dilarang. Apabila di bumi, Adam dan Hawa telah melahirkan anak-anak, dan hasil
daripada sumbang mahram antara anak-anak Adam (yang dibenarkan syariat pada
masa tersebut), lahirlah generasi yang seterusnya. Daripada itu bercabanglah pelbagai
bangsa manusia yang wujud pada hari ini.
Ini ialah
sebuah kenyataan yang wajib diimani oleh setiap Muslim. Seorang Muslim
dikehendaki untuk mempercayai setiap perkara, bahkan setiap huruf (termasuk
huruf-huruf misteri seperti alif lam mim dan kaf ha ya ‘ain shad), yang terkandung
di dalam Qur’an. Aku dahulunya, seperti berbilion Muslim-Muslim yang lain,
mempercayai kenyataan ini sebagai sebuah fakta. Untuk berbuat sebaliknya ialah
untuk mengingkari kebenaran kitab Qur’an, justeru menumbangkan salah satu
daripada rukun-rukun iman dan menjatuhkan seseorang itu daripada keimanan
kepada kekafiran. Kekafiran merupakan sesuatu yang tidak dipandang ringan oleh
Allah dan jenayah ini dihukum dengan seksaan neraka yang berpanjangan
selama-lamanya.
Terdapat masalah
dengan kenyataan ini. “Manusia berasal dari Adam” ialah satu kenyataan yang berkaitan
dengan realiti alam. Ia cuba untuk memberikan penjelasan kepada bagaimana
manusia boleh datang kepada kewujudan di atas muka bumi ini. Kenyataan ini boleh
jadi salah atau betul. Jika kenyataan ini betul, maka ia merupakan satu fakta, yang
kita semua berasal dari Adam. Manakala jika kenyataan ini salah, maka faktanya
ialah kita tidak berasal dari Adam. Apabila sesuatu dakwaan dibuat berkenaan
dengan realiti alam fizikal, ia tidak dapat tidak akan bertembung dengan
pemeriksaan dan semakan. Masalah dengan kenyataan ini ialah, ia tidak benar dan
telah terbukti salah. Spesis manusia bukan keturunan satu individu yang dicipta
dari tanah, akan tetapi kita dan spesis beruk-beruk yang lain telah mengalami
evolusi daripada satu leluhur yang sama. Rasanya tak perlu aku sebutkan satu
persatu daripada bukti yang berlambak yang menyokong teori evolusi; internet
ialah sahabat karib anda.
Kenapa aku
dulunya membenci teori evolusi? Kerana ia merupakan pesaing* kepada teori Adam dan
Hawa bagi memberikan penjelasan kepada bagaimana manusia boleh datang kepada
kewujudan. Dan ini berbahaya kepada keimanan aku yang mempercayai kebenaran
literal kisah Adam dan Hawa. Kalau teori evolusi dibuktikan betul, maka natijahnya
ialah teori Adam dan Hawa ialah salah. Jika kita semua tidak berasal daripada
Adam, maka apa yang dikatakan oleh Qur’an ialah salah. Implikasi yang datang
daripada ini adalah sangat besar. Bagaimana Qur’an, sebuah kitab yang datang
daripada tuhan yang maha mengetahui dan didakwa sempurna dan bebas daripada
kesalahan, boleh mengandungi kesalahan? Di sini sahaja, dua kenyataan telah
dibuktikan salah. Iaitu; satu, kita datang daripada Adam, dan dua, Qur’an bebas
daripada kesalahan. Dan jika ia salah di dalam hal ini, entah-entah dalam
hal-hal lain pun ia salah?
Hakikatnya,
teori evolusi tidak menghalang seseorang itu untuk percaya kepada tuhan. Ini kesalahfahaman
yang dipunyai oleh ramai orang: Untuk mempercayai teori evolusi ialah untuk
tidak mempercayai tuhan. Salah. Mempercayai teori evolusi tidak bermaksud tidak
mempercayai tuhan. Bahkan, banyak saintis yang masih beragama tapi percaya
kepada kebenaran teori evolusi. Kerana tiada apa yang menghalang seseorang itu
untuk mempercayai yang evolusi itu hanyalah satu mekanisme yang tuhan gunakan untuk
mencipta pelbagai jenis hidupan di bumi. Kalau Allah itu maha berkuasa dan boleh
melakukan apa sahaja, kenapa mustahil baginya untuk menggunakan evolusi untuk
melaksanakan kehendaknya? Tak, evolusi tak menghalang keimanan kepada tuhan. Tapi
apa yang dilakukan oleh teori evolusi ialah, ia memusnahkan kebolehharapan kaedah
interpretasi literal kisah Adam dan Hawa yang terkandung dalam agama-agama samawi
(Yahudi, Kristian dan Islam).
Apa
penyelesaian kerumitan situasi ini kepada umat Islam? Aku mempunyai ramai kawan
yang bijak, bakal jurutera dan doktor, tapi masih terpaksa bertarung dengan
masalah ketidakselarian antara teks agama dengan realiti. Agak sedih untuk
melihat mereka yang mempunyai minda-minda yang berbakat, tapi terpaksa
menggantung logik mereka apabila datang kepada penilaian kritikal teks agama. Tapi
masalah ini tak sepatutnya wujud. Umat Islam boleh secara jujurnya mengakui yang
dalam majoriti masa dalam sejarah kewujudan agama Islam, mereka telah membuat
kesilapan dengan melihat ayat-ayat seperti kisah Adam sebagai sesuatu yang
literal. Sesudah itu mereka boleh mengambil pendekatan alegorikal dalam menginterpretasi
ayat-ayat sebegini, dan dalam masa yang sama masih lagi mengekalkan keimanan
mereka terhadap Islam dan Qur’an. Rasanya sudah sampai masanya yang umat Islam membuka
ruang baru dalam perbincangan ilmiah berkenaan dengan agama mereka dan
mengiktiraf satu cabang baru dalam mazhab-mazhab yang diterima sebagai sah,
iaitu aliran yang membenarkan interpretasi Qur’an secara alegorikal dan bukan literal.
Kalau agama lain mampu menunjukkan fleksibiliti ini, kenapa Islam yang alami (universal )ini tidak?
*Kisah
dongeng tidak selayaknya diletakkan setaraf dengan satu teori saintifik. Tapi,
sebab aku tiada perkataan yang lebih baik, aku terpaksa menggunakan perkataan
ini.