Muzik, inilah
titik kelemahan di dalam keimanan aku sewaktu aku masih Muslim. Jika ada satu larangan
Allah yang paling selalu aku langgar sambil menikmatinya, ianya adalah muzik. Aku
perlu akui yang aku sangat-sangat menyukai muzik. Bahkan, aku mencintai muzik.
Ia adalah passion aku. Bagi aku, muzik antara perkara yang menjadikan hidup ini
berbaloi. Tapi dulu, sebagai seorang Muslim, aku juga mencintai Allah. Oleh
sebab itu, dua cinta bertembung: Satunya cinta kepada Allah, satu lagi ialah
cinta kepada muzik. Kalau engkau tengok episod muhasabah dan taubat aku
berkaitan dengan muzik ini, memang lucu.
Seperti yang pernah
aku ceritakan di dalam satu post sebelum ini, keluarga aku mengalami peralihan
dalam mengikuti agama Islam. Mak ayah aku dulunya tidak membenarkan langsung
untuk mendengar lagu di radio. Maka aku membesar dengan mendengar nasyid dan
muzik latar di dalam filem. Sewaktu kecil, aku tak pernah mempersoalkan keanehan
polisi ini. Sekarang bila memikirkannya, apa bezanya jika aku mendengar lagu
"The Circle of Life" dan "Can You Feel the Love Tonight" di dalam filem Lion
King berbanding dengan mendengarnya di radio?
Kemudian apabila aku mencecah umur lebih kurang 13 tahun,
aku mula mendengar lagu di radio. Lebih tepat lagi di Walkman yang dibeli oleh
kakak aku. Aku sering berpendapat yang kakak aku ialah seorang yang paling
rendah sekali tahap keimanannya dalam kalangan adik-beradik kami, kerana antara
lainnya, dialah yang paling tidak segan silu untuk mendengar lagu. Sorry Kakak,
kalau Kakak baca ni. Pada waktu itu, polisi “tiada muzik kafir” tidak lagi
seketat ketika aku masih kecil. Tapi aku masih lagi berhati-hati supaya tidak
nampak begitu asyik apabila mendengar lagu. Bagi remaja yang lahir pada awal
90-an, pada umur ini, lagu-lagu hit pada waktu itu ialah seperti Perfect –
Simple Plan, Unwell – Matchbox Twenty, Here Without You – 3 Doors Down dan
tidak boleh dilupakan, album yang (pada pendapat aku) terbaik oleh Linkin Park
iaitu Meteora. Pada masa yang sama, lebih tepat lagi antara akhir 2002 dan 2003,
aku menonton dua filem terakhir bagi trilogi the Lord of the Rings. Muzik di
dalam filem-filem tersebut betul-betul membuatkan penghargaan muzik aku
meningkat ke tahap yang baru. Selain daripada itu, aku juga pernah membeli alat
muzik, dan menghabiskan berjam-jam setiap hari untuk berlatih.
Tapi suatu ketika, apabila aku mula mengambil isu keimanan
dengan sangat serius, aku mula mendedahkan diri aku kepada bacaan dan kajian sendiri
berkenaan dengan Islam dan cara hidup Nabi. Apabila aku melihat nas-nas serta perbahasan
yang di lakukan oleh ulama’, aku akhirnya datang kepada konklusi yang muzik itu
adalah haram. Aku dengan sedikit teragak-agak membuang alat muzik yang aku beli,
serta mendelete segala fail muzik di dalam komputer sehingga apa yang tinggal
ialah bacaan Qur'an lengkap oleh beberapa imam yang terkenal; Abdul Rahman
al-Sudais, Sa'ad Said Al-Ghamidi, Mishari Rashid Al-Afasy. Tapi setelah beberapa hari, aku mula perlahan-lahan
mendengar semula muzik (tapi alat muzik yang telah dibuang itu tidak dapat
diselamatkan lah). Kitaran mendengar, berhenti mendengar dan bertaubat,
kemudian kembali mendengar ini berlaku beberapa kali dalam hidup aku sebagai
seorang Muslim.
Sebagai seorang
yang munasabah, apa sangatlah untuk tidak mendengar muzik selama 72 tahun (jangka
hayat purata seorang lelaki Malaysia) di atas muka bumi ini berbanding dengan
keredhaan Allah yang selama-lamanya? Tambahan pula, di syurga, segala yang kita
hajatkan boleh ditunaikan dengan begitu mudah, termasuklah kemahuan untuk
menikmati muzik. Jika mahu dinilai dengan logik, memang langkah yang paling waras
ialah untuk mengorbankan sedikit kenikmatan dunia ini untuk nikmat akhirat yang
berpanjangan. Tapi tak dapat dinafikan, muzik ialah sesuatu yang tanpanya aku
akan sangat sukar untuk hidup, sehingga aku bertekad pada satu hari yang
apabila aku akhirnya bertemu dengan Allah di akhirat kelak, aku akan terpaksa
meminta maaf di atas perbuatan aku yang agak mementingkan diri sendiri ini.
Kalau engkau
Muslim, dan engkau kisah tentang mentaati Allah dan Rasulnya, serta engkau beriman
kepada Qur'an dan Hadis, engkau akan ambil isu muzik dengan serius. Cuba engkau
lihat sendiri dan nilai segala dalil-dalil yang berkaitan dengan muzik. Engkau
akan dapati yang memang secara jelasnya, atitud para Salafussoleh terhadap muzik
ialah ianya merupakan sesuatu yang secara mutlaknya haram, melainkan dalam
situasi-situasi yang spesifik, seperti pada masa pernikahan dan hari perayaan.
Dan dalam kes-kes yang ia diharuskan pun, ianya hanya boleh dilakukan oleh
kanak-kanak perempuan. Persetankanlah khilaf. Tanya diri engkau secara jujur,
adakah engkau rela untuk meninggalkan kenikmatan yang sedikit ini untuk
keredhaan Allah yang lebih tinggi? Atau engkau akan memberi alasan dengan
mengatakan yang: "Mustahil yang Islam mengharamkan muzik. Lihat, ulama‘ sendiri
tidak bersepakat dalam hal ini. Maka, aku akan mengambil pendapat yang lebih
longgar." Adakah keimanan dan kecintaan
kepada Allah ataupun nafsu yang mendorong engkau untuk mengambil satu pendapat
di atas pendapat yang lain? Tepuk dada, tanya iman.
Aku lihat
pengharaman muzik di dalam Islam ini sebagai cara untuk melepaskan diri
daripada kecintaan dunia dan memfokuskan diri kepada perkara-perkara yang lebih
penting untuk mendekatkan diri kepada Allah. Akhirnya, ia adalah cubaan
Muhammad dalam memberikan identiti kepada spiritualiti Islam. Di sana,
ada satu kenyataan yang mahu disampaikan: "Inilah kami. Kami adalah Muslim. Dan
kami tidak memerlukan sesuatu yang begitu remeh seperti muzik untuk membenarkan
kami hidup dalam ketenangan. Qur’an dan zikir dan kata-kata baik sudah indah dan
bermakna bagi telinga kami, sedang muzik hanyalah bunyi-bunyian kosong yang
tidak bermakna dan hanya melalaikan kami daripada mengingati tuhan kami".
Banyak daripada pendapat Muhammad berkenaan dengan
perkara-perkara yang terdapat di dunia ini adalah salah dan berpunca daripada kejahilan
ataupun prejudis. Sebab itu kita boleh lihat yang dia mengeluarkan kata-kata
yang jahil seperti anjing hitam itu ialah syaitan[1], yang pendebungaan antara
pohon-pohon tamar yang berlainan itu tidak membawa manfaat[2], dan berkaitan
dengan perbincangan kita ini, yang muzik itu ialah sesuatu yang negatif (secara
tidak langsung melalui pengharamannya). Tapi sudah tentulah dia salah. Muzik
dan spiritualiti ialah sesuatu yang sangat dekat, kerana muzik mempunyai
kebolehan untuk mempengaruhi psikologi manusia dengan cara yang memberikan
inspirasi kepada seseorang seperti yang dapat dialami melalui ritual agama,
meditasi dan pemerhatian alam. Dalam banyak budaya, daripada Kristianiti kepada
Sufism, muzik ialah sesuatu yang berkait dengan apa yang mereka definisikan
sebagai spiritualiti.
Sebagai penutup, aku mahu berkongsi dengan engkau lagu yang
menceritakan tentang keberkaitan alam semesta dengan kita. Apabila aku duduk berseorangan di
waktu malam, ketika badan-badan langit menampakkan diri mereka, dan aku dengar
lagu ini, ia memberikan aku perasaan takjub dan kagum yang tak pernah aku rasai
jika aku membaca Qur’an. Heh, surah Ar-Rahman bagaikan pantun dua kerat jika mahu dibandingkan dengan karya agung
ini:
"The beauty of the living thing is not the atoms that go into it, but the way those atoms are put together... The cosmos is also within us, we're made of star stuff. We are a way for the cosmos to know itself."
-Carl Sagan-