Saturday 19 November 2016

Agama tak meracuni semua benda...

...seperti yang didakwa oleh subtitle buku allahyarham Christopher Hitchens "God is not Great". Tapi agama boleh meracuni sesetengah benda.

Aku ada seorang kawan. Minda yang berbakat. Malah di sekolah lagi, guru-guru mengiktiraf kepandaian dia. Aku mengagumi dia. Malah mencemburui. Macam mana orang boleh tangkap fizik dengan begitu mudah? (Perlu diakui yang kayu pengukur aku bagi hebat/tak boleh jadi agak rendah, selari dengan bakat aku yang tak seberapa.) Lepas SPM, kami masing-masing pergi ke haluan yang sendiri. Ada yang pergi buat persediaan untuk ke luar negara. Ada yang sambung pengajian dalam negara. Ada yang pergi tahfiz untuk menghafal Qur'an.

Dalam setahun dua lepas SPM, kawan aku mula menunjukkan keanehan dalam tingkah laku. Keluarga dia risau tentang dia. Kami, kawan-kawannya juga risau tentang dia. Sekali dua kami akan menziarahi dia untuk bertanya khabar dan melihat keadaan dia. Satu hari, aku menerima khabar yang kawan aku sudah meninggal dunia. Sebab kematian dia ialah kemalangan. Jenis kemalangan yang dia hadapi ini sebenarnya boleh berlaku di mana-mana sahaja, tapi jenis rawatan yang keluarganya pilih untuk diberi kepadanya adalah berdasarkan diagnosis yang salah, berpunca daripada kepercayaan kepada khurafat Melayu dan divalidasikan oleh khurafat Islam (yang rasmi, official, canonical*) yang mengandungi unsur-unsur seperti jin dan syaitan. Kalau keluarga dia menerima realiti yang penyakit mental bukannya sesuatu yang boleh dirawat oleh pengusiran jin, mungkin mereka akan lebih pantas untuk menghantar dia ke pusat rawatan psikiatrik dan keadaaan mental dia takkan seteruk sebagaimana sewaktu dia meninggal.

Tambahan lagi, keluarganya bukannya keluarga yang tak terdidik. Aku boleh katakan yang keluarga dia tergolong dalam kelas pertengahan-atasan dalam masyarakat Malaysia. Seluruh adik-beradiknya diberikan pendidikan yang berkualiti. (Aku sendiri kenal sebahagian daripada adik-beradiknya kerana kami pergi ke sekolah yang sama, sekolah yang mempunyai prestasi akademik yang agak cemerlang.) Atas sebab itu, punca kesilapan keluarganya dalam memilih rawatan yang sesuai bukannya kekurangan pendidikan, tapi kepercayaan khurafat yang disokong oleh agama*.

*Kepercayaan kepada jin dan makhluk ghaib ini dibenarkan oleh Islam. Mungkin hantu Nusantara berbeza daripada jin yang didescribe dalam Qur'an dan hadith. Tapi ini tak menghalang umat Islam mainstream di Malaysia untuk percaya kepada hantu. Kita siap mempunyai pusat-pusat rawatan rasmi untuk penyakit yang disandarkan (secara salahnya) kepada jin dan hantu. Antara yang terkenal ialah Darussyifa' yang mempunyai banyak cawangan di serata Malaysia.

1 comment:

  1. i miss allahyarham Christopher Hitchens... aku rasa allah sayangkan dia lebih

    ReplyDelete