Dengan
keramaian manusia dan kebanyakan maksiat dan kerosakan yang terdapat pada zaman
ini, kau mungkin fikir: “Inilah masa yang terbaik untuk tuhan turunkan wahyu
yang terkini.” Jika seluruh penduduk bumi mati pada hari ini, majoriti daripada
kita akan masuk ke neraka. Dan melihat kepada jumlah manusia pada hari ini,
kita akan membuat rekod umat paling celaka dengan bilangan penduduk neraka
teramai. Jadi, masuk akallah bagi seorang tuhan yang penyayang dan pengasih
untuk melakukan apa yang paling munasabah, iaitu menyelamatkan sebanyak jiwa
yang mungkin. Sekurang-kurangnya kalau kau bersetuju dengan konsep
utilitarianisme. Tapi nampaknya tuhan tak bersependapat dengan sesetengah
daripada kita. Bahkan, tuhan nampaknya hanya boleh mendatangkan petanda dan
mukjizat pada masa yang manusia itu masih lagi bergelumang di dalam khurafat,
kejahilan dan kebutaan teknologi dan saintifik. Bayangkan kalau petanda
diturunkan pada hari ini, di mana wujudnya internet dan satelit dan sistem
dokumentasi yang baik. Mudah sahaja tuhan mahu menjadikan kewujudannya dan
kehendaknya diketahui ramai. Tapi tak, tuhan terus bersembunyi.
Aku ada
satu cadangan. Kenapa tidak, kita cuba lihat sama ada sesetengah dakwaan yang
terdapat di dalam Hadith itu benar atau tidak? Sebagai contoh: Dikatakan dalam
Hadith yang mayat para syuhada itu tidak reput. Jadi, baik sahaja kalau saintis
dibenarkan untuk menguji sama ada ini benar ataupun tidak. Dunia Muslim tidak
perlu takut, kerana kebenaran itu pasti di pihak mereka, dalam kata lain, kita
mampu katakan dengan 100% keyakinan yang mayat para syuhada itu pastinya tidak
reput. Dan spesimen manakah yang lebih baik jika para syuhada bukan di medan
Uhud yang kesyahidan mereka ialah sesuatu yang pasti dan dipersetujui ramai*.
Kau mungkin katakan: “Jangan kurang ajar terhadap para sahabat.” Fikir lagi
sekali. Kalau sahabat merasakan yang menunjukkan tubuh suci mereka akan
menyebabkan jutaan, bahkan, berbilion manusia masuk Islam, mereka pasti akan
tanpa teragak-agak bersetuju dengan cadangan ini. Tambahan pula, darjat mereka di dalam syurga, yang sudah pun tinggi, mungkin akan ditinggikan lagi. Amacam, umat Islam, ada berani? Inilah peluang dakwah yang terbaik bagi anda semua!
*Salah satu
komplikasi isu syahid ini ialah, ianya sesuatu yang sukar untuk ditentukan,
sama ada seseorang itu betul-betul syahid ataupun tidak. Kita ambil contoh
Mali. Baru-baru ini aku melihat sebuah dokumentari berkenaan dengan peperangan
di Mali (http://goo.gl/O66DI). Mayat para mujahid yang tumpas di tangan tentera France laknatullah di
dalam peperangan tersebut nampaknya reput seperti reputnya mayat-mayat normal, mayat
seorang pemuda yang malang dipenuhi dengan lalat. Dari pemerhatian ini, kita
boleh datang kepada konklusi yang sama ada hadith berkenaan dengan
ketidakreputan mayat para syuhada ialah dhaif ataupun maudhu’, ataupun Muhammad
telah melakukan pendustaan, ataupun mereka telah mati katak.