Tauhid (keesaan) ialah antara hujah kenapa Muslim memilih
Islam berbanding dengan agama-agama lain. Mereka berpendapat yang tauhid ialah
satu-satunya konsep ketuhanan yang boleh wujud, apa-apa alternatif kepada tauhid
akan menjadikan kewujudan alam ini sesuatu yang mustahil. Dalam Al-Qur’an ada
disebut:
Kalau ada di
langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah
pentadbiran kedua-duanya… (Qur’an 21:22)
Aku tak bersetuju. Kenapa perlu sebegitu? Kenapa tuhan tak
mampu bekerjasama dalam mentadbir alam? Bukankah tuhan ialah entiti yang mulia
dan suci dari segala keburukan dan kelemahan? Tiada sebab kenapa dua (atau
tiga, atau empat, atau sejuta) tuhan yang sempurna tidak mampu wujud di dalam sebuah
sistem yang harmoni. Bahkan ia seolah-olah menghina keagungan konsep tuhan
untuk membayangkan yang mereka merupakan entiti yang berkecenderungan untuk
bergaduh dan bertelingkah seperti mana kita manusia.
Jangan ambil contoh kelompok tuhan-tuhan yang wujud di dalam
mitos-mitos yang lain untuk membuktikan yang kalau tuhan itu ramai, maka keharmonian
adalah mustahil, sebab mereka memang dimodelkan dari manusia. Fikir tentang
Allah sendiri, yang Muslim fikir bebas daripada segala kelemahan. Dan cuba
bayangkan Allah yang kedua, serupa, tapi asing daripada yang pertama. Sekarang
beritahu aku kenapa dua kesempurnaan ini tak berkebolehan untuk hidup dalam
harmoni.
Maka jika engkau gagal
(untuk mendatangkan sebab), maka ketahuilah, bahawasanya tuhan berkemampuan
untuk wujud (dengan harmoni) walau apapun bilangannya. (Al-Mulhidun 6:66)
Ayat terakhir tu bukan tu dari mana-mana kitab.
