Showing posts with label solat. Show all posts
Showing posts with label solat. Show all posts

Sunday, 25 August 2013

Islam yang sangat Bumi

Mars One merupakan sebuah projek untuk menghantar manusia ke planet Marikh dan menubuhkan sebuah koloni manusia di sana menjelang tahun 2023. Jika projek ini berjaya, maka Bumi bukanlah lagi satu-satunya planet yang diduduki oleh manusia. Hal ini akan mendatangkan sedikit kesukaran kepada golongan ulama’ Islam terutamanya dalam menjawab isu-isu berkenaan dengan ibadah khusus seperti solat dan haji.

Menurut ajaran Islam, selain daripada keadaan darurat, yakni mendesak atau memaksa, solat hendaklah dilakukan dengan menghadap Ka’bah, sebuah bangunan berbentuk kubus yang terletak di Makkah, Arab Saudi. Kesukaran yang dihadapi oleh ulama’ ialah apabila keadaan “darurat” ini menjadi sesuatu norma apabila jumlah Muslim bertambah ramai, menjadikan populasi Muslim yang tinggal di planet-planet lain melebihi populasi Muslim yang menduduki Bumi. Permasalahan yang sama dapat dilihat dalam kes ibadah haji, di mana umat Islam perlu menziarahi Makkah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi menjalani ibadah tersebut. Jika di atas Bumi pun terdapat ramai manusia yang dikecualikan daripada ibadah haji yang menjadi rukun Islam, maka apatah lagi bagi mereka yang tinggal di planet-planet yang lain? Ini menjadikan kita tertanya-tanya, apakah sebabnya disyariatkan sesuatu yang begitu penting jika ia tidak mampu untuk dilakukan oleh ramai manusia? Apakah maqasid al-syari’ah (tujuan atau matlamat) yang cuba dicapai oleh pensyariatan ibadah haji? Mungkinkah ini bukti kepada keterikatan syari’ah Islam kepada faktor-faktor geografi dan dalam masa yang sama menafikan konsep alamiyyahnya (universaliti)?

Dalam perkembangan lain, berselari dengan konsep alamiyyah, gerakan Islamisasi Ikhwanul Muslimin (IM), dalam misi mereka untuk mengislahkan alam dan menyebarkan mesej suci Islam, telah mengadakan sebuah majlis syura. Antara hasil daripada mesyuarat tersebut, maratib amal atau tingkatan kerja yang diusulkan oleh penubuh IM Hassan Al-Banna tersebut telah dinilai sebagai lapuk dan memerlukan pengemaskinian. Berikut ialah gambar rajah maratib amal dalam versi yang telah dikemaskinikan:




Menurut wakil syura yang ditemuduga, maratib amal ini tertakluk kepada perkembangan dalam pengetahuan manusia yang selanjutnya dan pengemaskinian mungkin perlu dilakukan sekali lagi jika hipotesis multiverse itu terbukti benar.