Monday, 26 October 2015

"Bayi itu beragama…" Diam ah.

Bukan itu je la kot.

///

"Setiap bayi lahir dalam fitrah (keislaman). Maka ibu bapanyalah yang menjadikannya (beragama) Yahudi atau Kristian atau Majusi." Kata-kata ini diambil daripada hadis sahih Bukhari. Dakwaan ini ialah dakwaan yang kosong. Pertamanya ialah kemustahilan dakwaan ini. Seorang bayi tidak mempunyai apa-apa pendapat langsung tentang isu ketuhanan. Otaknya masih belum berkembang untuk merenung konsep ketuhanan. Bayangkanlah, bahkan konsep sangat mudah seperti kekekalan objek (objek yang hadir tidak berhenti wujud apabila ia disembunyikan daripada pancaindera) pun masih tidak ditangkap sehingga mencecah umur beberapa bulan. Inikan pula konsep ketuhanan Islam yang bukan sahaja begitu rumit, malah mempunyai komponen faktual. Mustahil bagi seorang bayi untuk lahir dengan keyakinan bahawa Muhammad, dan bukan orang lain, ialah utusan tuhan yang terakhir.

Kemudian, katakanlah pun yang memang Allah itu wujud, dan Muhammad itu pesuruhnya. Katakanlah juga yang bayi-bayi ini sebenarnya percaya kepada Allah dan Muhammad. Bagaimana mahu kita pastikan kenyataan ini? Pastinya kita tak boleh bertanya, kerana mereka tidak boleh memahami percakapan orang dewasa mahu pun menjawab dengan bahasa yang boleh difahami. Bagaimana pula kita mahu mengimbas otak bayi-bayi daripada pelbagai masyarakat dan merumuskan daripada imbasan tersebut yang bayi-bayi dari seluruh dunia ini mempunyai kepercayaan Islam? Setakat ini kita tidak mengetahui pola imbasan otak mana yang melambangkan keyakinan terhadap ketuhanan Allah dan kenabian Muhammad. Pendek kata, ini adalah tugas yang mustahil buat masa ini. Atas sebab itu, posisi yang paling bermurah hati yang boleh kita pegang berkenaan dengan hadis ini ialah agnostisisme. Boleh jadi semuanya betul, tapi kita tak boleh mengatakan dengan pasti.

Melihatkan kelemahan dakwaan ini, kenapa ia tetap dianggap relevan oleh orang Islam? Suspisi aku ialah dakwaan ini membuatkan orang  Islam merasa bangga terhadap kesemulajadian agama mereka berbanding dengan agama-agama lain yang hanya berbentuk korupsi terhadap fitrah. Seolah-olah kesemulajadian ialah penentu kepada keadaan yang patut dicapai. Ia bukan. Contoh bagi menunjukkan ketidakbolehharapan kesemulajadian dalam menentukan apa yang patut dilakukan ialah kecenderungan semulajadi manusia kepada perpuakan. Kita semua mempunyai kecenderungan inheren untuk lebih berempati dengan mereka yang dirasakan sebahagian daripada ras kita sendiri berbanding dengan mereka yang dirasakan di luar daripada ras kita. Adakah kecenderungan ini patut memandu kita dalam memberikan penilaian terhadap nyawa manusia berdasarkan ras? Dalam kata lain, adakah kita patut, berdasarkan kecenderungan semulajadi, mementingkan nyawa orang Melayu (contohnya, sebab aku Melayu) daripada nyawa orang Cina atau India? Tidak.  "Tapi, kan  perasaan ini semulajadi. Kenapa tak diraikan?" Kerana semulajadi tak semestinya baik. Kita ada sesuatu yang lebih baik iaitu konsep kesamarataan ras, yang kepentingannya hanya boleh dihayati dengan kesedaran dan renungan.

Kesimpulannya, terdapat tiga bantahan terhadap dakwaan fitrah keislaman bayi: kemustahilan, ketidakbolehbuktian dan falasi  appeal to nature. Aku juga mahu menekankan ketidakbergunaan dakwaan bahawa setiap bayi adalah ateis. Dakwaan ini mungkin sedikit lebih baik di mana ia mungkin tidak mustahil dan boleh dibuktikan melalui deduksi (sekiranya premis-premis tertentu adalah benar)*, akan tetapi ia tetap tak berguna atas sebab falasi yang sama. Jadi hentikan permainan bodoh ini.

*Secara definisinya, seorang ateis ialah sesiapa sahaja yang tidak mempunyai kepercayaan kepada tuhan. Bayi atas sebab ketidakmampuan akalnya tidak mampu membentuk kepercayaan terhadap konsep yang begitu rumit ini. Atas sebab itu, mereka tidak percaya dan secara definisinya adalah ateis. Tapi ketidakpercayaan ini bukannya penafian yang sengaja kepada dakwaan bahawa adanya tuhan yang mencipta alam ini. Bagi aku, ketidakpercayaan yang sebegini tak membawa apa-apa makna, terutamanya jika engkau ialah seorang yang secara aktifnya ingin mempelajari tentang kebenaran dunia ini.

Pada pendapat aku, pendirian ateisme, bahkan apa-apa kepercayaan sekali pun, hanya  mempunyai merit intelek jika seseorang itu datang kepadanya melalui renungan dan pembuktian. Kalaulah manusia tidak pernah terfikir untuk menyandarkan kewujudan alam ini kepada tindakan tuhan, dan semua orang secara lalainya (default) adalah ateis, maka menjadi seorang ateis tidak melambangkan apa-apa perkembangan minda. Tiada pencapaian atau kejayaan di situ,  yang ada hanya nasib baik. Lebih penting bagi aku ialah perjalanan itu sendiri, iaitu kesediaan apabila didatangkan bukti untuk membuang kepercayaan lama setelah menyedari kejahilan diri, dan bergerak kepada kepercayaan baru.

Sunday, 5 April 2015

Itu je la kot

Aku fikir aku takde benda baru untuk dikatakan. Dan perkembangan ilmu yang aku alami takdelah begitu unik untuk menjadikan iterasi aku terhadap idea2 lama begitu signifikan. Dalam kata lain, dah banyak benda yang orang lain dah pernah cakap, dan pandangan aku terhadap isu2 lama ni tak menambahbaik hujah2 diorang. Jadi aku rasa tak perlu aku cakap kot.

Saturday, 14 March 2015

Was-was

Lama tak tulis... Oh well.  ¯\_(ツ)_/¯

///

Benda bukan bidang aku, jadi tak boleh cakap banyak sangat. Terutamanya aspek fisiologi/perubatannya. So ini lebih kepada anekdot je la kot.

Antara kelegaan yang dialami lepas tinggalkan Islam ialah simptom OCD (istilah Islamiknya was-was, henceforth w2, pergh) aku jadi kurang parah. Dulu aku kuat w2, dalam banyak aspek. Akidah dan jugak ibadah.

Dari segi akidah, aku banyak w2 sama ada aku masih berada dalam Islam atau tak. Ini datang dari berfikir, menonton rancangan2 TV berunsur sains dan bacaan. Bila jumpa benda yang tak selari antara sains dan Qur'an/hadis, kepala jadi celaru.

Pastu ada pulak w2 ibadah. Ini agak lazim la. Rasanya semua orang tahu kot. Kalau sendiri tak pernah rasa, mesti pernah jumpa mana2 brader/pakcik kat masjid yang kena w2 ni. Ambik wudhu' ½ jam. Baju basah kuyup. Angkat takbir 100 kali, bukan solat raya pun. Baca basmalah untuk Fatihah pun tak lepas (BISSS!!111!). Bulan Ramadhan, bila kumur2 masa ambil wudhu', kena ludah sejuta kali, takut ada satu molekul H2O (dari air paip) yang tertinggal dan tertelan dan membatalkan puasa. 

Menariknya, w2 ni biasanya pada benda yang wajib je. So, dalam solat tu, noticeably, takbiratul ihram yang susah nak sempurna, sedangkan takbir2 transisi takde masalah. Basmalah camtu gak. Bagi Fatihah susah, surah2 sunat senang. Tajwid dan makhraj, Fatihah senang, surah2 lain takde hal. So on and so forth. 

Disebabkan w2, penyempurnaan rukun jadi susah sangat, sampai diri jadi penat. Solat jadi benda yang ditakuti. Waktu solat, yang ditanda dengan laungan azan, ialah waktu yang menakutkan, sebab bila datang waktu solat, maka satu hutang baru perlu dilangsaikan sebelum kedengaran azan yang seterusnya. Sebab wudhu' susah sangat nak sempurna, solat (kecuali Subuh) biasanya ditunda ke akhir waktu, supaya dua solat dapat dilangsaikan dengan satu wudhu'. Aku pernah solat beberapa kali lepas dah murtad, dan jelas sangat ah kerilekan solat tanpa stress nak sempurnakan rukun dengan solat dengan stress. Rasanya kalau aku pergi haji, akulah orang yang paling rilek sekali, yakni, aku akan tahu la sama ada aku kena bayar dam atau tak dan baling jamrah dengan 7 batu tanpa keraguan langsung.

Sesetengah ustaz2 bangang (macam þ0®n§t@® janggut kambing tu) boleh la jadikan OCD/w2 ni sebagai modal lawak. Tapi bagi yang mengalaminya, benda seksa kot. Jantung berdegup2/berdetak kencang, seperti kenderaan mahu perang. Darah coursing thru the brain dan tepi kepala macam gila. Sebab banyak gila kot benda at stake kalau kau tak sempurnakan rukun ni. Tak sempurnakan syahadah, tak mempunyai iktikad yang sempurna berkenaan dengan kewujudan Allah/benda ghaib, atau tak yakin 100% terhadap ayat2 lucu kat dalam Qur'an, boleh masuk neraka selama2nya. Tak sempurnakan ibadah wajib, ada azab dia. So, no wonder la kalau otak orang yang mempunyai kecenderungan kepada OCD/w2 ni ambil pendekatan berhati2. Apa sangatlah kena tambah 6 rakaat extra kepada solat Subuh (sebab w2 bilangan rakaat) kalau boleh lepaskan diri daripada azab. Baik terlebih daripada terkurang rakaat. Apa sangatlah baju basah kuyup, asalkan wudhu's empurna. At least sejuk kot air tu. Better air daripada api neraka, ye dok?

Aku faham kesukaran w2 ni. Aku tahu yang menghilangkan Allah daripada iktikad aku memang membantu sangat la dalam pembuangan beban mental w2 ni. At least aku dah tak perlu conform dengan kebenaran iktikad, dan aku dah takde ibadah yang perlu disempurnakan. Tapi bagi sesetengah Muslim, bukannya senang nak tinggalkan Islam. Mungkin ada attachment dengan tuhan atau dengan identiti sebagai seorang Muslim. Takpun, keberadaan kat Malaysia tak membenarkan diorang untuk keluar dari Islam. Entah ah... Kalau ubah imej Allah mungkin membantu kot. Waktu aku masih Islam dulu, aku takut gila dengan Allah dan neraka. Bukan takde justifikasi bagi ketakutan ni. Qur'an dan hadis banyak gila ayat pasal seksaan kot. Tapi mungkin ada wiggle room dalam interpretasi bagi membenarkan imej Allah tu diubah daripada scary kepada not-so-scary. Cuba ah cari. Good luck. (Y)

Thursday, 20 November 2014

Teisme, ateisme dan kekejaman moral

Tengok video ni. 



Aku sekadar ulang point utama Ozy dan tambah kepada apa yang dia cakap. Ateis dan teis adalah istilah yang sangat umum dalam mengkategorikan manusia. Kedua-duanya tak berguna dalam meramal apa yang seorang itu akan atau tidak akan lakukan. Pastinya tidak jika mahu meramal sama ada seorang a-/teis itu akan melakukan kekejaman moral.

Aku dulu suka jugak main tuding jari ni untuk berdebat dengan orang Islam, tapi bila fikir balik dan muhasabah diri, aku dapati yang permainan tuding jari ni tak matang. Aku rasa macam ia hanya cubaan untuk memburukkan nama sesuatu ideologi yang bercanggah dengan ideologi seseorang supaya hujah daripada ideologi berlawanan ini tak perlu didengari lagi. Taktiknya lebih kurang: "Tengok betapa buruknya kesan a-/teisme kau kepada dunia. Maka, a-/teisme salah." Cara berhujah camni tak mantap.

Satunya, tuduhan ini terlalu umum. Camne fakta yang seorang itu adalah ateis atau teis boleh dikaitkan dengan tindakan? Tindakan spesifik memerlukan kepercayaan spesifik. Isu sel stem kat US adalah satu contoh yang baik, dan Sam Harris mengulas perkara ini dengan cemerlang. Hujah Harris ialah, pentingnya mengkritik kepercayaan agama secara spesifik. Dalam sesetengah mazhab Kristianiti, saat ovum disenyawakan oleh sperma (membentuk zigot) adalah saat di mana seorang manusia itu dicipta oleh tuhan dan ini mendatangkan natijah yang membunuh zigot itu mempunyai keparahan jenayah moral seakan membunuh seorang manusia yang sempurna (bayi/kanak-kanak/ orang dewasa). Dalam masa yang sama, dalam Islam, roh ditiupkan pada hari yang ke-40(?) dan atas sebab itu, menggunakan zigot sebelum masa tersebut untuk melakukan kajian sel stem adalah tidak berdosa kerana ia tak dikira membunuh. Adalah salah untuk mengatakan bahawa alasan kenapa sesetengah mazhab Kristian menentang kajian sel stem adalah hanya kerana kepercayaan kepada tuhan (teisme), kerana kalau bercakap demikian, kenapa kita tak lihat kelakuan yang sama dalam Muslim, yang juga merupakan teis? Atas sebab itu, kepercayaan spesifik itu penting dalam melahirkan tindakan spesifik.

Ini membawa aku kepada tuduhan yang ateisme ialah ideologi yang membawa kemusnahan yang paling besar dari segi statistik kematian. Mao dan Stalin mungkin adalah ateis, tapi adakah hanya itu alasan kenapa mereka telah melakukan kekejaman moral yang begitu besar? Tak. José Mujica adalah bukti yang seorang pemimpin ateis juga boleh menjadi 100% bertentangan dengan Mao dan Stalin. Stalin contohnya merupakan seorang yang percaya kepada idea utopia di mana manusia tidak perlu lagi menderita dalam pergelutan antara-kelas dan dalam ketidakadilan masyarakat. Dalam impian untuk mencapai utopia yang seakan-akan syurga ini, tiada pengorbanan yang terlalu tinggi. Apalah pengorbanan yang sedikit, walaupun dalam jutaan nyawa, berbanding dengan utopia yang akan menjamin kebahagiaan kemanusiaan buat selama-lamanya yang bernilai infiniti? Ini satu kepercayaan yang spesifik yang tak dikongsi oleh semua ateis. Kepercayaan ini penuh dengan dogmatisme dan tidak mempunyai dasar dalam realiti dan bukan didorong oleh skeptisisme. Sam Harris ada jugak cakap pasal ini. Katanya, atas sebab dengan ideologi-ideologi ini dengan agama dari segi dogmatisme dan dari segi kekurangan skeptisismelah yang menyebabkan ideologi-ideologi ini gagal dengan hebatnya.

Lagi satu bantahan kepada hujah "Kerana natijahnya teruk, maka ia salah" ialah ia adalah non-sequitur. Fakta dalam dunia ini adalah fakta. Ia tak berubah walaupun apa pun natijahnya. Sesetengah orang melihat bahawa ketidakwujudan tuhan akan membawa natijah yang manusia tidak mempunyai dasar moral yang objektif. Maka...? Tuhan wujud, atau tuhan tak wujud. Natijah yang datang daripada salah satu kenyataan ini bukan penentu kepada kebenaran mana-mana kenyataan. Kalau tuhan wujud, dan manusia boleh menjadikannya sebagai dasar moral, baiklah. Kalau tuhan tak wujud, dan manusia tak mempunyai apa-apa untuk mendasarkan moralnya, camtulah hakikatnya. Contoh yang lain ialah kewujudan ubat yang boleh menghidupkan semula manusia yang telah mati. Fikirkan implikasi kewujudan ubat ini kepada anak-anak kecil yang kehilangan ibu bapa mereka dalam kemalangan trafik. Betapa mereka dinafikan kasih sayang dan didikan ibu bapa mereka. Begitu baiknya jika wujud ubat ini dan dapat mengembalikan semula apa yang mereka sepatutnya dapat. Tapi sayangnya ubat ini tak wujud. Dan itu adalah hakikat.


Aku jugak nak mengajak para bekas Muslim untuk memuhasabah diri. Adakah sewaktu korang masih Muslim, korang mempunyai kecenderungan untuk membenci orang bukan Islam dan menjustifikasi pembunuhan mereka? Aku rasa korang tak mempunyai kecenderungan ini. Maksudnya, kepercayaan kepada Allah bukan pendorong yang secara automatiknya menjadikan Muslim merasakan bahawa darah orang bukan Islam itu halal. Kepercayaan yang spesifik kepada sesetengah ayat Qur'an atau hadis itu yang menentukan sama ada seorang Muslim itu percaya yang darah bukan Muslim itu halal. Aku rasa yang banyak sangat panik yang disebarkan oleh orang yang takut dengan potensi keganasan Islam. Betul, jika melihat sejarah kewujudan Islam, memang wujud kelompok manusia, dulu dan kini, yang mengidentifikasi diri dengan nama Muslim yang menghalalkan darah orang bukan Muslim berdasarkan interpretasi ayat-ayat Qur’an dan hadis. Tapi kalau korang sendiri dulunya mengidentifikasi diri sebagai Muslim, dan korang tak bersetuju dengan kelompok ini, dan memilih untuk tidak terlibat mereka (sebelum korang murtad), kenapa korang tak rasakan yang Muslim pada hari ini mempunyai kebolehan yang sama?

Aku rasa, elok kita meletakkan lebih keyakinan kepada kebolehan manusia untuk mengikut naluri mereka dalam memilih apa yang betul atau salah. Ini bukan mengatakan yang kita tak perlu berhati-hati dengan ideologi-ideologi yang berbahaya. Kita perlu menjauhinya, mengkritiknya sehabis mungkin dan mencegah atau meminimakan kesan negatifnya. Tapi rilek ah. Jangan wujudkan panik dan kebencian yang tak bertempat dengan ketakutan yang berlebihan. Panik akan melahirkan tindakan yang tak rasional. Aku yakin, kebanyakan Muslim, macam kebanyakan orang lain, hanya nak hidup dalam keamanan je.

Kesimpulannya, a-/teisme adalah istilah umum yang tak berguna dalam meramal tindakan manusia. Tindakan spesifik memerlukan kepercayaan spesifik. Manusia juga berkebolehan untuk membuat penilaian baik-buruk dengan sendiri walaupun label identifikasi dirinya mempunyai kaitan (sama ada sekarang mahu pun pada masa lepas) dengan polisi-polisi yang tidak bermoral.

Tuesday, 11 November 2014

Kemurtadan itu penting

Kepercayaan itu perlu dikemaskini, kalau tak, orang akan kekal bodoh. Kepercayaan awal dibina sama ada melalui penekaan ataupun melalui bukti. Penekaan boleh salah. Contohnya dulu aku fikir yang bayi lahir ikut pusat. Lepas belajar sains baru aku tahu yang bayi lahir ikut faraj. Aku ubah kepercayaan aku, dan aku jadi lagi pandai, atau kepercayaan aku lebih dekat dalam mencerminkan realiti alam ni. Bukti pulak kadang-kadang tak lengkap. Orang perhatikan sekelilingnya sehingga ke ufuk (horizon), dan datang kepada konklusi yang bumi itu leper. Takpe, dimaafkan. Tapi bila dah dibuktikan yang bumi itu sfera, maka kepercayaan perlu dikemaskinikan. Takde faedah mempercayai yang bumi itu leper sedangkan bukti menunjukkan yang sebaliknya.

Kewujudan atau ketidakwujudan tuhan juga ialah satu fakta berkaitan dengan realiti. Maka ada orang yang betul dalam gambaran (conception) realitinya dan ada orang yang salah. Di sini, pengemaskinian kepercayaan juga boleh dibuat. Tak kisahlah sama ada nak keluar dari satu agama dan jadi tak beragama, atau pindah dari satu agama ke agama yang lain. Perpindahan ni boleh dipanggil kemurtadan. Bila seorang itu dah lihat bukti dan merasakan yang ia cukup untuk mengubah pendirian akidah mereka, maka benarkan je la. Kalaulah disekat kebolehan untuk mengemaskini kepercayaan berkenaan dengan tuhan, macam mana engkau fikir yang orang mahu mempunyai gambaran realiti yang lebih tepat?

Aku boleh faham kemahuan untuk mencegah kemurtadan. "Dia dah betul dah, buat apa nak keluar pulak?" Tapi bukan satu agama je yang fikir benda ni. Semua agama pun yakin tentang kebenarannya sendiri. Kalau semua agama guna polisi anti-murtad ini, takkan ada perpindahan manusia daripada kesesatan kepada kebenaran. Kalau nak benarkan Islam je yang guna polisi ini, apa justifikasinya? Yang Malaysia ialah negara majoriti Muslim, maka Islam je yang boleh monopoli polisi ni? Camne pulak kalau polisi yang sama digunakan kat negara yang majoriti bukan Islam, orang Islam mesti tak suka punya. Last sekali, takkanlah orang terpaksa berpindah negara hanya untuk murtad, sedangkan dia sendiri tak memilih agama awalnya. Kebanyakannya dididik dari kecil dengan sesuatu agama.

Atas sebab itu, biarkan je la orang murtad. Dan kalau Islam itu agama yang benar, maka nak takut apa?

Sunday, 9 November 2014

Dicipta daripada api?

Api ialah satu proses, bukan bahan. Iblis menyebut dalam Qur'an tentang penciptaan dirinya dan Adam, mengatakan yang dia tak sepatutnya sujud kepada Adam kerana dia dicipta daripada api, sedangkan Adam dicipta daripada tanah. Di sini, kita dapat lihat yang ada perbandingan jelas dibuat berkenaan dengan bahan yang digunakan untuk mencipta. Adam, bahannya tanah. Iblis, bahannya api.

Kita tahu yang tanah itu bukan proses. Tanah ialah bahan. Memang jelas. Jadi, jika mahu dikatakan yang Iblis sedang merujuk kepada proses dalam kedua-dua kes, maka ini tak betul. Kita juga tahu yang orang pada masa silam mempercayai yang segalanya terbina oleh lima unsur: air, angin, api, tanah dan aether. Api dahulunya dilihat sebagai bahan. Pada hari ini kita faham yang api bukannya bahan, tapi satu proses oksidasi pantas yang membebaskan haba dan cahaya.

Terdapat banyak reaksi kimia seperti proses larutan, proses pengendapan, proses asid-alkali, dan lain-lain. Kalau kita gantikan nama proses-proses ini pada tempat yang disebut "api" di dalam Qur'an, kita dapat lihat betapa tidak masuk akalnya apa yang disebut oleh Iblis, mengetahui yang dia sedang membicarakan tentang bahan. Ayat-ayat Qur'an mencerminkan pengetahuan para pengarang Qur'an. Jelas bahawa para pengarang Qur'an tidak memahami hakikat api.

Oleh sebab sesuatu itu tidak boleh dicipta daripada proses (tapi boleh melaluinya), maka kita boleh rumuskan yang syaitan dan jin itu tidak wujud.

Monday, 3 November 2014

Dilema Euthyphro

Dalam sebuah dialog Plato bernama Euthyphro, Socrates menemui Euthyphro di luar mahkamah. Socrates sendiri sedang berada dalam masalah kerana dituduh rosak akidah dan cuba merosakkan minda para pemuda Athens. Euthyphro pula telah datang untuk mendakwa ayahnya yang telah menyebabkan kematian salah seorang pekerja Euthyphro dengan mengikat lelaki tersebut dan meninggalkannya di dalam sebatang parit. Pekerja tersebut telah diperlakukan sedemikian kerana dia telah membunuh seorang hamba Euthyphro ekoran satu pergaduhan, ketika mana dia sedang mabuk.
Euthyphro yang merupakan seorang yang sangat terkenal bagi keilmuannya dalam agama, begitu yakin yang apa yang sedang dia lakukan adalah benar. Socrates pula yang begitu terkenal dengan tabiat mempersoalkan segalanya, meletakkan keyakinan ini dalam keraguan. Pendek kata, perbincangan mereka dapat dirumuskan dalam persoalan yang berikut:

Adakah sesuatu itu baik kerana tuhan menyuruhnya?
Ataupun adakah tuhan menyuruh sesuatu kerana sesuatu itu baik?

Jika kenyataan pertama benar, maka apa-apa yang disuruh oleh tuhan boleh jadi baik (seperti menyembelih anak sendiri dalam kes nabi Ibrahim) dan perkataan baik itu tidak membawa apa-apa makna melainkan yang ianya adalah diperintahkan oleh tuhan. Jika kenyataan yang kedua benar, maka tuhan bukanlah yang menetapkan apa itu baik atau buruk, tapi hanya sekadar penyuruh kepada kebaikan dan pencegah kepada keburukan. Dalam erti kata lain, tuhan bukanlah sumber moraliti dan moraliti ditetapkan oleh sesuatu yang diluar kekuasaan tuhan dan tuhan sendiri terpaksa berpegang kepada standard moraliti ini.

Kesimpulannya, untuk moraliti mempunyai apa-apa nilai, ia tak boleh datang daripada ketentuan tuhan.