Monday, 10 April 2017

Kebenaran berkongkek semula

Bila graduate dari sekolah menengah kami, seorang lepasan SPM sepatutnya telah menghafal sekurang-kurangnya tiga juzu' terakhir Qur'an. Atas sebab itu, aku hafal tiga juzu' ni sampai hari ini. Walaupun sekarang dah agak lupa, terutamanya surah-surah dari juzu' 28 dan 29, mengingat semula agak senang sebab dulunya dah selalu sangat baca. Masa aku tingkatan 2, Mishari Rashid Al-Afasi tengah baru mula nak famous. Kat dalam keluarga kami sendiri, abang akulah yang memperkenalkan Mishari. Abang aku secara spesifiknya mengcopy juzu' 28 dan selalu memainkannya di rumah aku menggunakan loudspeaker. Mungkin untuk membantu hafalan dia sendiri. Setiap kali abang aku mula mainkan juzu' 28, surah pertama yang akan didengari ialah surah al-Mujadalah. Merdu bacaan Mishari. Rasa sebak pun ada bila dengar bacaan dia. Selalu sangat aku dengar bacaan Mishari ni sampai aku boleh tiru setiap note daripada ayat pertama surah al-Mujadalah satu per satu (walaupun dengan suara yang tak semerdu).

Tapi bila merenung betul-betul ayat satu hingga empat surah al-Mujadalah ini, Allah/Muhammad tengah cakap pasal sesuatu yang sangat pelik, iaitu tentang tradisi orang Arab yang dipanggil zihar. Zihar ini ialah apabila seorang lelaki mencela isterinya dengan menyamakan isterinya dengan ibu kandungnya, atau secara lebih amnya dengan mana-mana wanita mahramnya. Orang Melayu mungkin tak boleh bayang benda ni, sebab benda ni memang budaya orang Arab pra-Islam. Dia lebih kurang macam cakap: "Aku nak kongkek engkau sebagaimana aku kongkek mak aku" (yakni, takde kemahuan langsung). Dalam surah al-Mujadalah diterangkan tentang akibat melakukan zihar dan bagaimana untuk mengatasi akibat ini. Apabila telah melakukan zihar, seorang suami tidak dibenarkan mengkongkek isterinya melainkan setelah dia membebaskan hamba. Jika dia tidak mampu dia perlu berpuasa 2 bulan berturut-turut. Jika dia tidak mampu jugak, maka dia perlu memberi makan kepada 60 orang miskin.

Jadi, aku agak kelakar bila aku baca satu artikel pasal seorang perempuan agnostik kemudian menjadi Islam kerana dia tertarik (antara lainnya) dengan keindahan bacaan Qur'an, sedangkan Qur'an ialah campuran segala macam mesej. Antara mesej yang mungkin mendatangkan air mata kepada mereka yang tidak memahami bahasa Arab ialah bagaimana mahu berkongkek dengan isteri setelah terlanjur kata.

Sunday, 12 March 2017

Kelembaban progres moral masyarakat Muslim

Aku bukan tak percaya yang Muslim mempunyai kebolehan untuk progres moral, tapi aku berpendapat yang Muslim akan sentiasa lambat satu langkah kerana masalah tambahan yang mereka perlu selesaikan dalam apa-apa persoalan moraliti. Corak tindakan yang biasa diperhatikan ialah ini: Masyarakat sekular membuat sesuatu inovasi yang tidak dibenarkan atau luar dari kebiasaan ijmak/konsensus masyarakat Muslim. Inovasi tersebut membawa manfaat yang besar terhadap kemajuan moraliti manusia. Masyarakat Muslim memerhatikan dan mengakui kebermanfaatan inovasi tersebut. Wahyu diberikan interpretasi baru bagi membenarkan penyekalian inovasi tersebut di dalam senarai perbuatan yang harus/halal dilakukan oleh seorang Muslim.
Kalau kau lihat, seorang Muslim biasanya akan selesa dengan keadaan sekarangnya. Baginya, jika dia telah memenuhi senarai perkara wajib yang perlu dia lakukan (ditambah dengan perkara sunat bagi menampung kekurangan dalam perlaksanaan amalan wajibnya), maka dia sudah pun seorang yang baik. Inovasi adalah menakutkan, kerana ia adalah kawasan yang belum diterokai oleh para ulama dan diberi cop halal atau harus. Tanpa lampu hijau* ini, mereka lebih yakin untuk tidak memikirkan tentang isu-isu ini. Kerana kalau mereka pandai-pandai, dan mereka salah, maka mereka takut kemurkaan dari Allah. Dan aku boleh faham kenapa. Allah ialah sumber bahaya yang sangat benar. Lebih baik dengan pastinya menjadi seorang yang kurang baik daripada potensi penuh, daripada menerokai sepenuhnya potensi dalam menjadi seorang yang baik, dengan risiko yang kau mungkin salah. Mengambil risiko untuk salah ini ialah menakutkan, sebab kalau kau salah, maka balasannya sangat berat**. Bagi aku, ketakutan inilah yang menjadikan Muslim bukan perintis dalam progres moral dan hanya akan jadi peniru. Anti(!)-penghambaan, kesamarataan ras, kesamarataan jantina, gerakan ekologi, veganisme. Semua ini tidak dirintis oleh Muslim. Tapi apabila jelas manfaatnya, maka masyarakat Muslim akan terhegeh-hegeh menginterpretasi semula wahyu mereka.
* Nak jilat faraj isteri pun nak kena tanya ustaz.
** Ada pengecualian, iaitu bagi para mujtahid. Jika seorang mujtahid "betul"*** maka dia mendapat dua ganjaran, dan kalau salah, satu. Dalam aspek ini, Islam agak elitis. Seorang biasa jangan memandai-mandai.
*** Betul atau salah dalam isu moraliti ialah satu topik yang panjang. Mungkin aku akan tulis tentangnya pada masa depan.

Friday, 3 March 2017

Kata si batu: "Yahudi di sebalikku!"

Sekali-sekala aku teringat kepada hadis-hadis fucked up yang aku dulu perlu beriman dengannya. Antaranya ialah hadis tentang penghapusan total yang akan dilakukan pada akhir zaman oleh orang Islam ke atas orang Yahudi. Dalam senario akhir zaman ini, bahkan batu dan pokok pun akan mengkantoikan si Yahudi yang bersembunyi di belakangnya.
Ramai orang Islam hari ini yang tak antisemitik, tapi mak aih lecehnya gimnastik intelek yang perlu dilakukan untuk mengharmonikan hadis ini dengan intuisi moral mereka (yang jauh lebih moden daripada intuisi moral Muhammad).
Aku dulu pening kepala jugak nak bagi rasionalisasi bagi hadis ni, sebab melalui pengamatan aku pada waktu itu, bukannya semua orang Yahudi jahat, jadi bukannya SEMUA daripada mereka patut dibunuh. (Dulu aku bulat-bulat pro-Palestin dan anti-Zionis, standard ah, brainwashing dari sekolah rendah. Jadi bagi aku ada jugak Yahudi yang "jahat", contohnya Zionis.) Atas sebab itu aku hanya menyerahkan keyakinan kepada Allah untuk memastikan yang pada akhir zaman ada sekumpulan Yahudi yang cukup jahat, yang dijustifikasikan penyembelihan mereka semua.
Ini, aku perlu akui, bukannya gimnastik minda yang paling sophisticated, tapi dia memberikan aku sedikit ketenangan minda untuk terus beriman kepada hadis secara amnya. Setiap kali ketidakselesaan timbul bila aku teringat tentang kedahsyatan implikasi hadis ini, aku menghalaunya ini dengan justifikasi aku tadi. Tapi macam orang menghalau lalat, kalau dia tak menepuk mati lalat tersebut, ia sentiasa akan datang kembali menghinggap.
---
Rujukan bagi yang berminat:
Abu Huraira reported Allah's Messenger (ﷺ) as saying:
The last hour would not come unless the Muslims will fight against the Jews and the Muslims would kill them until the Jews would hide themselves behind a stone or a tree and a stone or a tree would say: Muslim, or the servant of Allah, there is a Jew behind me; come and kill him; but the tree Gharqad would not say, for it is the tree of the Jews.

Thursday, 29 December 2016

Ateisme ialah tanah baru, bagilah dia satu peluang

Kemurtadan besar-besaran ini ialah fenomena yang agak mutakhir. Orang risau yang hasilnya ialah nihilisme. Tak semestinya. Ini bukannya konklusi logikal yang semestinya seseorang itu rumuskan apabila dia menolak kewujudan tuhan. Makna dan tujuan kehidupan boleh dicipta secara wenangnya oleh seseorang, dan ini tidak menjadikannya kosong. Ia tak kosmik, tak samawi. Ia manusiawi, tapi ia tetap bermakna bagi seorang manusia. Sayangnya kita dah bina masyarakat yang terlalu bergantung kepada agama untuk memperoleh makna. Oh, apalah akan jadi dengan kemesraan masyarakat kalau kita tak lagi ada majlis kenduri besar-besaran lepas mencacatkan kote anak muda. Apalah akan jadi dengan kesihatan mental manusia kalau kita tidak lagi ada superman di langit untuk mendengar segala masalah peribadi kita. Apalah akan jadi dengan aspirasi manusia untuk memperbaik dunia kalau setiap satu daripada mereka tidak dijanjikan hartanah yang jauh lebih besar daripada bumi dan segala isi kandungannya.

Kenapa kita perlukan tradisi gasar dan fantasi untuk memacu pembangunan tamadun manusia? Bukankah dah sampai masa untuk kita keluar daripada fasa lama ini? Malu sial, kalau kita mendekati era mengkolonisasi planet lain, tapi dalam masa yang sama masih lagi nak percaya yang satu masa dahulu ada seorang pengkongkek budak bawah umur yang menunggang Pegasus Arabi ke angkasa untuk berjumpa dengan pencipta alam. Ini satu penghinaan terhadap intelek manusia.

Bagilah beberapa dekad lagi, bila cara hidup ateisme dah dieksperimentasi dengannya oleh ramai orang, aku rasa masyarakat mulhid akan terbukti sebagai takdelah teruk sangat.

Friday, 16 December 2016

Eropah bukan syurga untuk Muslim

Adalah satu tragedi apabila ramai Muslim terpaksa keluar daripada tanah air sendiri demi menyelamatkan diri daripada pemerintah-pemerintah yang zalim. Takde orang yang berhak dilahirkan ke dalam negara-negara yang penuh konflik ini. Tapi hakikatnya, mereka lahir di situ. Atas muka bumi ni, ramai orang yang biasa. Orang yang nak hidup aman je. Orang yang tak sanggup mati untuk sesuatu ideal. Jadi antara mereka yang keluar dan pergi ke negara yang aman ialah mereka yang apabila diberi pilihan untuk kekal dan berlawan dan mungkin mati atau lari dan hidup, maka mereka pilih yang kedua. Boleh difahami. Tapi ramai daripada mereka pergi ke sesuatu tanah baru tanpa memahami yang mereka tak boleh hidup di tanah baru ini sebagaimana mereka telah hidup di negara asal mereka. Perlu ada pengorbanan dan tolak ansur. Belajar bahasa baru. Belajar budaya baru. Bergaul dengan mereka yang tak berkongsi nilai dan cara hidup yang sama. Menghadapi kritikan terhadap agama sendiri. Tapi lebih baik pengorbanan sedikit ini, berbanding dengan mati.

Aku mempunyai kebencian yang kuat terhadap mereka yang sedikit ini pun tak sanggup nak buat.

Saturday, 10 December 2016

Anak

Manusia ialah perosak bumi yang terhebat. Tambahan pula, kita dah membiak dengan begitu banyak sehingga kesan kita terhadap bumi adalah terlalu besar bagi bumi untuk mengubati dirinya sendiri. Bak kata Agent Smith dalam The Matrix, kita ni jenis yang sentiasa bertambah dan bertambah dan tak nak mampus (dengan sedikit paraphrasing). Tak mengatakan yang kita patut mampus. (Dan kalau kita patut mampus pun, takde siapaatau patut aku kata, tak ramai daripada kitayang nak bunuh diri dengan suka rela. Tak aku, tak engkau.) Tapi kita kena beragak-agaklah dalam membiak, lebih-lebih lagi kalau kita nak hidup dengan gaya hidup yang menghabiskan begitu banyak sumber dan meninggalkan impak yang begitu besar pada alam sekitar. Kita bukan sahaja menggunakan jauh lebih banyak tenaga dan sumber berbanding dengan datuk nenek kita sebaru 70 tahun dahulu, populasi kita juga dah meletup. Untuk mempunyai anak ialah sesuatu yang indah, sebanyak tu aku boleh percaya. Tapi keberadaan kita pada situasi hari ini menuntut yang kita memikirkan semula sesuatu yang "semua orang pun buat" sejak azali. Kalau kita hidup dalam dunia di mana sumber adalah tidak terhad dan impak kita terhadap alam sekitar boleh diabaikan, maka pertambahan populasi tidak menjadi isu. Tapi kita tak hidup dalam dunia yang ideal tersebut. Adakah perbuatan melahirkan anak itu sentiasa baik tanpa mengira situasi? Tak.


Hanya dalam 70 tahun, penggunaan tenaga per kapita per tahun oleh manusia bertambah daripada 35 GJ kepada 80 GJ.
Sumber: https://ourfiniteworld.com/2012/03/12/world-energy-consumption-since-1820-in-charts/


Thursday, 24 November 2016

Syariat symariat

Syariat Islam bertindak dengan basic assumptions yang berbeza je daripada undang-undang sekular. Contohnya, (sesetengah mazhab daripada) yang latter mengambil basic assumptions yang humanistik, dan membina badan undang-undangnya di atas dan di sekelilingnya. Yang former mengambil basic assumption yang (in a nutshell) bersifat memenuhi kehendak tuhan. Lepas basic assumption ni dah diterima, berjalanlah permainan memerah (mencungkil, mengorek, merumus) natijah-natijah daripada basic assumptions ini melalui pelbagai cara melogik. Dalam kalangan ahli undang-undang Muzzies dan non-Muzzies, sesetengah daripada mereka pandai melogik, sesetengahnya noob. Noobs adalah tidak seronok, terutamanya bila diorang berpengaruh, sebab diorang spoil the game for everyone.

Saturday, 19 November 2016

Sedikit keseronokan dengan doa

اللهم افتح علينا حكمتك وانشر علينا من خزائن رحمتك يا... متك يا... متك يا؟ ماتي كاي؟ ماتي كاي، هيدوڤ ميسكين؟

اللهم افتح علينا حكمتك وانشر علينا من خزائن رح هيدوڤ ميسكين...

Entah apa-apa entah. Grow up ah. lol

Agama tak meracuni semua benda...

...seperti yang didakwa oleh subtitle buku allahyarham Christopher Hitchens "God is not Great". Tapi agama boleh meracuni sesetengah benda.

Aku ada seorang kawan. Minda yang berbakat. Malah di sekolah lagi, guru-guru mengiktiraf kepandaian dia. Aku mengagumi dia. Malah mencemburui. Macam mana orang boleh tangkap fizik dengan begitu mudah? (Perlu diakui yang kayu pengukur aku bagi hebat/tak boleh jadi agak rendah, selari dengan bakat aku yang tak seberapa.) Lepas SPM, kami masing-masing pergi ke haluan yang sendiri. Ada yang pergi buat persediaan untuk ke luar negara. Ada yang sambung pengajian dalam negara. Ada yang pergi tahfiz untuk menghafal Qur'an.

Dalam setahun dua lepas SPM, kawan aku mula menunjukkan keanehan dalam tingkah laku. Keluarga dia risau tentang dia. Kami, kawan-kawannya juga risau tentang dia. Sekali dua kami akan menziarahi dia untuk bertanya khabar dan melihat keadaan dia. Satu hari, aku menerima khabar yang kawan aku sudah meninggal dunia. Sebab kematian dia ialah kemalangan. Jenis kemalangan yang dia hadapi ini sebenarnya boleh berlaku di mana-mana sahaja, tapi jenis rawatan yang keluarganya pilih untuk diberi kepadanya adalah berdasarkan diagnosis yang salah, berpunca daripada kepercayaan kepada khurafat Melayu dan divalidasikan oleh khurafat Islam (yang rasmi, official, canonical*) yang mengandungi unsur-unsur seperti jin dan syaitan. Kalau keluarga dia menerima realiti yang penyakit mental bukannya sesuatu yang boleh dirawat oleh pengusiran jin, mungkin mereka akan lebih pantas untuk menghantar dia ke pusat rawatan psikiatrik dan keadaaan mental dia takkan seteruk sebagaimana sewaktu dia meninggal.

Tambahan lagi, keluarganya bukannya keluarga yang tak terdidik. Aku boleh katakan yang keluarga dia tergolong dalam kelas pertengahan-atasan dalam masyarakat Malaysia. Seluruh adik-beradiknya diberikan pendidikan yang berkualiti. (Aku sendiri kenal sebahagian daripada adik-beradiknya kerana kami pergi ke sekolah yang sama, sekolah yang mempunyai prestasi akademik yang agak cemerlang.) Atas sebab itu, punca kesilapan keluarganya dalam memilih rawatan yang sesuai bukannya kekurangan pendidikan, tapi kepercayaan khurafat yang disokong oleh agama*.

*Kepercayaan kepada jin dan makhluk ghaib ini dibenarkan oleh Islam. Mungkin hantu Nusantara berbeza daripada jin yang didescribe dalam Qur'an dan hadith. Tapi ini tak menghalang umat Islam mainstream di Malaysia untuk percaya kepada hantu. Kita siap mempunyai pusat-pusat rawatan rasmi untuk penyakit yang disandarkan (secara salahnya) kepada jin dan hantu. Antara yang terkenal ialah Darussyifa' yang mempunyai banyak cawangan di serata Malaysia.

Monday, 31 October 2016

Isu alam sekitar dan pseudosains dalam komuniti Melayu Muslim di Malaysia

Dalam dua isu ini, aku rasakan yang Malaysia mempunyai masa depan yang agak cerah. Komuniti Muslim mampu mengkritik korupsi (atau paling kurang pun kelalaian) yang mengakibatkan kemusnahan alam sekitar oleh pihak ulama-pemerintah di "Negeri Hijau". Mereka juga mampu mengkritik sesama sendiri dalam hal pseudosains (isu baru-baru ini yang aku perhatikan ialah teori bumi rata).

Friday, 17 June 2016

Kerja terjemahan: 100 Peratus Bukti Yang Islam Itu Benar

Aku mula tulis sarikata bagi video-video yang aku rasa agak berguna untuk mempersoalkan Islam. Ini hasil pertama:


Kalau korang ada cadangan video yang membantu korang mempersoalkan kebenaran Islam, boleh bagi cadangan kat ruang komen.

Sunday, 22 May 2016

Tolak ansur

Pernah seorang YouTuber, yang aku suka tengok video dia, cakap yang "Aku tak nak betul, aku nak menang." Dia cakap ini dalam konteks perdebatan tentang hak haiwan. Dia mengkritik mereka yang atas sebab kemutlakan moral, atas sebab kemahuan untuk berada pada pihak yang “benar”, enggan bertolak ansur dengan mereka yang kemungkinannya boleh menjadi sekutu yang penting dalam pemansuhan eksploitasi haiwan. Salah satu contoh yang dia berikan ialah kes vivisection (pembedahan haiwan hidup). Dalam bidang vivisection, terdapat saintis yang mahu melihat pengurangan eksperimentasi haiwan tapi dalam masa yang sama tidak memahukan pengharaman eksperimentasi haiwan secara mutlak kerana mengetahui yang dalam sesetengah kes, eksperimentasi haiwan boleh mendatangkan manfaat kepada manusia. Sebagai seorang yang mahu mempertahankan hak haiwan, apa yang boleh kau lakukan bagi mengurangkan penderitaan haiwan?

Kau boleh pilih untuk tidak bertolak ansur dan tidak bekerjasama dengan para saintis ini (yang mengetahui selok-belok dunia eksperimentasi haiwan dan undang-undang disebaliknya) dan berkempen untuk mengharamkan semua jenis eksperimentasi haiwan. Suara kau akan didengari dan diabaikan. Dan sementara kau bertenggek di atas takhta moraliti kau yang unggul, tak satu haiwan pun yang akan diselamatkan. Atau kau boleh pilih untuk lakukan yang sebaliknya. Kau boleh pilih mengiktiraf yang dunia ini tidak berfungsi di atas ideal semata-mata. Kau boleh pilih untuk bertolak ansur dan bekerja dengan para saintis dan berkempen untuk mengetatkan undang-undang eksperimentasi haiwan. Sebab sekutu kau ialah mereka yang suaranya dilihat sebagai penting dalam dunia sains, kau mempunyai peluang yang jauh lebih tinggi untuk menyelamatkan haiwan, walaupun hanya sebahagian daripada mereka. Dari segi moralitinya kau mungkin dianggap sebagai pengkhianat kepada ideal kau, tapi secara praktikalnya, kau akan berjaya melakukan apa yang mereka yang bermoral mutlak gagal lakukan.

Aku nampak senario yang agak serupa dalam isu reformasi Islam. Aku lihat sesetengah ateis menentang usaha reformasi Islam yang dilakukan oleh mereka seperti Maajid Nawaz dan Irshad Manji, menyifatkan usaha mereka sebagai tidak jujur. Dalam kedegilan mereka untuk berada pada pihak yang benar, mereka mengetepikan kerjasama dengan mereka yang berpotensi untuk mengubah Islam dari dalam. Mereka mengharapkan yang Muslim mempercayai yang Qur’an bukan kata-kata tuhan, tapi ialah rekaan manusia. Bagi aku, harapan ini ialah harapan yang terlalu tinggi dan langsung tak realistik. Bahkan orang Kristian dan Yahudi sekular di negara-negara Barat pun masih mempercayai yang Bible ialah kata-kata tuhan. Apa yang menyebabkan mereka tidak ganas (walaupun Bible mengandungi jauh lebih banyak contoh keganasan yang disokong oleh Yahweh berbanding dengan Qur’an) ialah kenormalan perbuatan memilih ayat yang dirasakan sesuai dan meninggalkan ayat yang dirasakan kejam, serta kelonggaran untuk mengatakan apa yang alegorikal dan apa yang literal.

Atas sebab itu, apa yang perlu dicapai ialah untuk menjadikan Islam selonggar agama Kristian dan Yahudi. Kita perlu menerima hakikat yang pada tahun 2016, di kebanyakan pelosok dunia termasuk Malaysia, kebanyakan Muslim akan terus hidup dengan tanggapan asas yang Qur'an ialah kata-kata tuhan yang tidak mengandungi kesilapan, seperti mana orang Kristian dan Yahudi menganggap Bible ialah kata-kata tuhan yang tidak mengandungi kesilapan. Ini sesuatu yang tidak boleh dirunding. Tapi apa yang boleh dirunding ialah bagaimana tafsiran terhadap ayat-ayat Qur'an dilakukan. Kita perlu menyokong segala usaha untuk menormalisasikan interpretasi yang progresif dan yang selari dengan perkembangan moraliti dunia moden. Kerana para reformis terpaksa bekerja dengan teks kuno yang gasar, kita tidak dapat tidak akan berhadapan dengan banyak ketidakjujuran intelek dalam meyakinkan dunia yang Islam boleh diharmonikan dengan nilai-nilai moden seperti kebebasan beragama, kebebasan menukar agama, kebebasan bersuara, penerimaan LGBT, dan sebagainya. Bagaimana ini boleh dilakukan? Aku tak tahu, dan aku perlu akui yang aku tak cukup kisah/berdisiplin untuk berusaha ke arahnya. Kalau aku sendiri yang perlu buat kerja reformasi ini, aku rasa otak aku akan meletup sebab tak tahan segala mental gymnastics yang perlu dilakukan. Sebab itu aku tinggalkan kerja ini kepada mereka yang sanggup melakukannya. Dan mereka mempunyai sokongan aku yang sepenuhnya.

Adakah ini bermaksud yang aku mempromosi ketidakjujuran intelek? Tak. Tapi aku bersedia untuk bertolak ansur dalam kes Islam. Bagi aku, lebih baik hidup dengan 1.6 bilion Muslim progresif yang badan ulama'nya selekeh dalam pentafsiran Qur'an, daripada hidup dengan 1.6 bilion Muslim konservatif yang badan ulama'nya mempunyai integriti intelek. Ini satu tolak ansur yang mungkin tak menyelesakan, tapi ia adalah langkah pragmatik aku rasa yang patut diambil.

PS: Dalam berpolitik, tolak ansur ialah sesuatu yang tak dapat dielakkan. Muhammad ada menunjukkan contoh yang boleh diteladani melalui Perjanjian Hudaibiyah, satu tolak ansur yang begitu tidak popular dalam kalangan sahabat tetapi yang akhirnya mendatangkan manfaat yang besar bagi pihak Muslim (kalau sirah yang aku belajar selama ini boleh dipercayai). Aku tak pernah kata yang Muhammad ialah 100% tak boleh harap. ;)

Monday, 26 October 2015

"Bayi itu beragama…" Diam ah.

Bukan itu je la kot.

///

"Setiap bayi lahir dalam fitrah (keislaman). Maka ibu bapanyalah yang menjadikannya (beragama) Yahudi atau Kristian atau Majusi." Kata-kata ini diambil daripada hadis sahih Bukhari. Dakwaan ini ialah dakwaan yang kosong. Pertamanya ialah kemustahilan dakwaan ini. Seorang bayi tidak mempunyai apa-apa pendapat langsung tentang isu ketuhanan. Otaknya masih belum berkembang untuk merenung konsep ketuhanan. Bayangkanlah, bahkan konsep sangat mudah seperti kekekalan objek (objek yang hadir tidak berhenti wujud apabila ia disembunyikan daripada pancaindera) pun masih tidak ditangkap sehingga mencecah umur beberapa bulan. Inikan pula konsep ketuhanan Islam yang bukan sahaja begitu rumit, malah mempunyai komponen faktual. Mustahil bagi seorang bayi untuk lahir dengan keyakinan bahawa Muhammad, dan bukan orang lain, ialah utusan tuhan yang terakhir.

Kemudian, katakanlah pun yang memang Allah itu wujud, dan Muhammad itu pesuruhnya. Katakanlah juga yang bayi-bayi ini sebenarnya percaya kepada Allah dan Muhammad. Bagaimana mahu kita pastikan kenyataan ini? Pastinya kita tak boleh bertanya, kerana mereka tidak boleh memahami percakapan orang dewasa mahu pun menjawab dengan bahasa yang boleh difahami. Bagaimana pula kita mahu mengimbas otak bayi-bayi daripada pelbagai masyarakat dan merumuskan daripada imbasan tersebut yang bayi-bayi dari seluruh dunia ini mempunyai kepercayaan Islam? Setakat ini kita tidak mengetahui pola imbasan otak mana yang melambangkan keyakinan terhadap ketuhanan Allah dan kenabian Muhammad. Pendek kata, ini adalah tugas yang mustahil buat masa ini. Atas sebab itu, posisi yang paling bermurah hati yang boleh kita pegang berkenaan dengan hadis ini ialah agnostisisme. Boleh jadi semuanya betul, tapi kita tak boleh mengatakan dengan pasti.

Melihatkan kelemahan dakwaan ini, kenapa ia tetap dianggap relevan oleh orang Islam? Suspisi aku ialah dakwaan ini membuatkan orang  Islam merasa bangga terhadap kesemulajadian agama mereka berbanding dengan agama-agama lain yang hanya berbentuk korupsi terhadap fitrah. Seolah-olah kesemulajadian ialah penentu kepada keadaan yang patut dicapai. Ia bukan. Contoh bagi menunjukkan ketidakbolehharapan kesemulajadian dalam menentukan apa yang patut dilakukan ialah kecenderungan semulajadi manusia kepada perpuakan. Kita semua mempunyai kecenderungan inheren untuk lebih berempati dengan mereka yang dirasakan sebahagian daripada ras kita sendiri berbanding dengan mereka yang dirasakan di luar daripada ras kita. Adakah kecenderungan ini patut memandu kita dalam memberikan penilaian terhadap nyawa manusia berdasarkan ras? Dalam kata lain, adakah kita patut, berdasarkan kecenderungan semulajadi, mementingkan nyawa orang Melayu (contohnya, sebab aku Melayu) daripada nyawa orang Cina atau India? Tidak.  "Tapi, kan  perasaan ini semulajadi. Kenapa tak diraikan?" Kerana semulajadi tak semestinya baik. Kita ada sesuatu yang lebih baik iaitu konsep kesamarataan ras, yang kepentingannya hanya boleh dihayati dengan kesedaran dan renungan.

Kesimpulannya, terdapat tiga bantahan terhadap dakwaan fitrah keislaman bayi: kemustahilan, ketidakbolehbuktian dan falasi  appeal to nature. Aku juga mahu menekankan ketidakbergunaan dakwaan bahawa setiap bayi adalah ateis. Dakwaan ini mungkin sedikit lebih baik di mana ia mungkin tidak mustahil dan boleh dibuktikan melalui deduksi (sekiranya premis-premis tertentu adalah benar)*, akan tetapi ia tetap tak berguna atas sebab falasi yang sama. Jadi hentikan permainan bodoh ini.

*Secara definisinya, seorang ateis ialah sesiapa sahaja yang tidak mempunyai kepercayaan kepada tuhan. Bayi atas sebab ketidakmampuan akalnya tidak mampu membentuk kepercayaan terhadap konsep yang begitu rumit ini. Atas sebab itu, mereka tidak percaya dan secara definisinya adalah ateis. Tapi ketidakpercayaan ini bukannya penafian yang sengaja kepada dakwaan bahawa adanya tuhan yang mencipta alam ini. Bagi aku, ketidakpercayaan yang sebegini tak membawa apa-apa makna, terutamanya jika engkau ialah seorang yang secara aktifnya ingin mempelajari tentang kebenaran dunia ini.

Pada pendapat aku, pendirian ateisme, bahkan apa-apa kepercayaan sekali pun, hanya  mempunyai merit intelek jika seseorang itu datang kepadanya melalui renungan dan pembuktian. Kalaulah manusia tidak pernah terfikir untuk menyandarkan kewujudan alam ini kepada tindakan tuhan, dan semua orang secara lalainya (default) adalah ateis, maka menjadi seorang ateis tidak melambangkan apa-apa perkembangan minda. Tiada pencapaian atau kejayaan di situ,  yang ada hanya nasib baik. Lebih penting bagi aku ialah perjalanan itu sendiri, iaitu kesediaan apabila didatangkan bukti untuk membuang kepercayaan lama setelah menyedari kejahilan diri, dan bergerak kepada kepercayaan baru.

Sunday, 5 April 2015

Itu je la kot

Aku fikir aku takde benda baru untuk dikatakan. Dan perkembangan ilmu yang aku alami takdelah begitu unik untuk menjadikan iterasi aku terhadap idea2 lama begitu signifikan. Dalam kata lain, dah banyak benda yang orang lain dah pernah cakap, dan pandangan aku terhadap isu2 lama ni tak menambahbaik hujah2 diorang. Jadi aku rasa tak perlu aku cakap kot.

Saturday, 14 March 2015

Was-was

Lama tak tulis... Oh well.  ¯\_(ツ)_/¯

///

Benda bukan bidang aku, jadi tak boleh cakap banyak sangat. Terutamanya aspek fisiologi/perubatannya. So ini lebih kepada anekdot je la kot.

Antara kelegaan yang dialami lepas tinggalkan Islam ialah simptom OCD (istilah Islamiknya was-was, henceforth w2, pergh) aku jadi kurang parah. Dulu aku kuat w2, dalam banyak aspek. Akidah dan jugak ibadah.

Dari segi akidah, aku banyak w2 sama ada aku masih berada dalam Islam atau tak. Ini datang dari berfikir, menonton rancangan2 TV berunsur sains dan bacaan. Bila jumpa benda yang tak selari antara sains dan Qur'an/hadis, kepala jadi celaru.

Pastu ada pulak w2 ibadah. Ini agak lazim la. Rasanya semua orang tahu kot. Kalau sendiri tak pernah rasa, mesti pernah jumpa mana2 brader/pakcik kat masjid yang kena w2 ni. Ambik wudhu' ½ jam. Baju basah kuyup. Angkat takbir 100 kali, bukan solat raya pun. Baca basmalah untuk Fatihah pun tak lepas (BISSS!!111!). Bulan Ramadhan, bila kumur2 masa ambil wudhu', kena ludah sejuta kali, takut ada satu molekul H2O (dari air paip) yang tertinggal dan tertelan dan membatalkan puasa. 

Menariknya, w2 ni biasanya pada benda yang wajib je. So, dalam solat tu, noticeably, takbiratul ihram yang susah nak sempurna, sedangkan takbir2 transisi takde masalah. Basmalah camtu gak. Bagi Fatihah susah, surah2 sunat senang. Tajwid dan makhraj, Fatihah senang, surah2 lain takde hal. So on and so forth. 

Disebabkan w2, penyempurnaan rukun jadi susah sangat, sampai diri jadi penat. Solat jadi benda yang ditakuti. Waktu solat, yang ditanda dengan laungan azan, ialah waktu yang menakutkan, sebab bila datang waktu solat, maka satu hutang baru perlu dilangsaikan sebelum kedengaran azan yang seterusnya. Sebab wudhu' susah sangat nak sempurna, solat (kecuali Subuh) biasanya ditunda ke akhir waktu, supaya dua solat dapat dilangsaikan dengan satu wudhu'. Aku pernah solat beberapa kali lepas dah murtad, dan jelas sangat ah kerilekan solat tanpa stress nak sempurnakan rukun dengan solat dengan stress. Rasanya kalau aku pergi haji, akulah orang yang paling rilek sekali, yakni, aku akan tahu la sama ada aku kena bayar dam atau tak dan baling jamrah dengan 7 batu tanpa keraguan langsung.

Sesetengah ustaz2 bangang (macam þ0®n§t@® janggut kambing tu) boleh la jadikan OCD/w2 ni sebagai modal lawak. Tapi bagi yang mengalaminya, benda seksa kot. Jantung berdegup2/berdetak kencang, seperti kenderaan mahu perang. Darah coursing thru the brain dan tepi kepala macam gila. Sebab banyak gila kot benda at stake kalau kau tak sempurnakan rukun ni. Tak sempurnakan syahadah, tak mempunyai iktikad yang sempurna berkenaan dengan kewujudan Allah/benda ghaib, atau tak yakin 100% terhadap ayat2 lucu kat dalam Qur'an, boleh masuk neraka selama2nya. Tak sempurnakan ibadah wajib, ada azab dia. So, no wonder la kalau otak orang yang mempunyai kecenderungan kepada OCD/w2 ni ambil pendekatan berhati2. Apa sangatlah kena tambah 6 rakaat extra kepada solat Subuh (sebab w2 bilangan rakaat) kalau boleh lepaskan diri daripada azab. Baik terlebih daripada terkurang rakaat. Apa sangatlah baju basah kuyup, asalkan wudhu's empurna. At least sejuk kot air tu. Better air daripada api neraka, ye dok?

Aku faham kesukaran w2 ni. Aku tahu yang menghilangkan Allah daripada iktikad aku memang membantu sangat la dalam pembuangan beban mental w2 ni. At least aku dah tak perlu conform dengan kebenaran iktikad, dan aku dah takde ibadah yang perlu disempurnakan. Tapi bagi sesetengah Muslim, bukannya senang nak tinggalkan Islam. Mungkin ada attachment dengan tuhan atau dengan identiti sebagai seorang Muslim. Takpun, keberadaan kat Malaysia tak membenarkan diorang untuk keluar dari Islam. Entah ah... Kalau ubah imej Allah mungkin membantu kot. Waktu aku masih Islam dulu, aku takut gila dengan Allah dan neraka. Bukan takde justifikasi bagi ketakutan ni. Qur'an dan hadis banyak gila ayat pasal seksaan kot. Tapi mungkin ada wiggle room dalam interpretasi bagi membenarkan imej Allah tu diubah daripada scary kepada not-so-scary. Cuba ah cari. Good luck. (Y)

Thursday, 20 November 2014

Teisme, ateisme dan kekejaman moral

Tengok video ni. 



Aku sekadar ulang point utama Ozy dan tambah kepada apa yang dia cakap. Ateis dan teis adalah istilah yang sangat umum dalam mengkategorikan manusia. Kedua-duanya tak berguna dalam meramal apa yang seorang itu akan atau tidak akan lakukan. Pastinya tidak jika mahu meramal sama ada seorang a-/teis itu akan melakukan kekejaman moral.

Aku dulu suka jugak main tuding jari ni untuk berdebat dengan orang Islam, tapi bila fikir balik dan muhasabah diri, aku dapati yang permainan tuding jari ni tak matang. Aku rasa macam ia hanya cubaan untuk memburukkan nama sesuatu ideologi yang bercanggah dengan ideologi seseorang supaya hujah daripada ideologi berlawanan ini tak perlu didengari lagi. Taktiknya lebih kurang: "Tengok betapa buruknya kesan a-/teisme kau kepada dunia. Maka, a-/teisme salah." Cara berhujah camni tak mantap.

Satunya, tuduhan ini terlalu umum. Camne fakta yang seorang itu adalah ateis atau teis boleh dikaitkan dengan tindakan? Tindakan spesifik memerlukan kepercayaan spesifik. Isu sel stem kat US adalah satu contoh yang baik, dan Sam Harris mengulas perkara ini dengan cemerlang. Hujah Harris ialah, pentingnya mengkritik kepercayaan agama secara spesifik. Dalam sesetengah mazhab Kristianiti, saat ovum disenyawakan oleh sperma (membentuk zigot) adalah saat di mana seorang manusia itu dicipta oleh tuhan dan ini mendatangkan natijah yang membunuh zigot itu mempunyai keparahan jenayah moral seakan membunuh seorang manusia yang sempurna (bayi/kanak-kanak/ orang dewasa). Dalam masa yang sama, dalam Islam, roh ditiupkan pada hari yang ke-40(?) dan atas sebab itu, menggunakan zigot sebelum masa tersebut untuk melakukan kajian sel stem adalah tidak berdosa kerana ia tak dikira membunuh. Adalah salah untuk mengatakan bahawa alasan kenapa sesetengah mazhab Kristian menentang kajian sel stem adalah hanya kerana kepercayaan kepada tuhan (teisme), kerana kalau bercakap demikian, kenapa kita tak lihat kelakuan yang sama dalam Muslim, yang juga merupakan teis? Atas sebab itu, kepercayaan spesifik itu penting dalam melahirkan tindakan spesifik.

Ini membawa aku kepada tuduhan yang ateisme ialah ideologi yang membawa kemusnahan yang paling besar dari segi statistik kematian. Mao dan Stalin mungkin adalah ateis, tapi adakah hanya itu alasan kenapa mereka telah melakukan kekejaman moral yang begitu besar? Tak. José Mujica adalah bukti yang seorang pemimpin ateis juga boleh menjadi 100% bertentangan dengan Mao dan Stalin. Stalin contohnya merupakan seorang yang percaya kepada idea utopia di mana manusia tidak perlu lagi menderita dalam pergelutan antara-kelas dan dalam ketidakadilan masyarakat. Dalam impian untuk mencapai utopia yang seakan-akan syurga ini, tiada pengorbanan yang terlalu tinggi. Apalah pengorbanan yang sedikit, walaupun dalam jutaan nyawa, berbanding dengan utopia yang akan menjamin kebahagiaan kemanusiaan buat selama-lamanya yang bernilai infiniti? Ini satu kepercayaan yang spesifik yang tak dikongsi oleh semua ateis. Kepercayaan ini penuh dengan dogmatisme dan tidak mempunyai dasar dalam realiti dan bukan didorong oleh skeptisisme. Sam Harris ada jugak cakap pasal ini. Katanya, atas sebab dengan ideologi-ideologi ini dengan agama dari segi dogmatisme dan dari segi kekurangan skeptisismelah yang menyebabkan ideologi-ideologi ini gagal dengan hebatnya.

Lagi satu bantahan kepada hujah "Kerana natijahnya teruk, maka ia salah" ialah ia adalah non-sequitur. Fakta dalam dunia ini adalah fakta. Ia tak berubah walaupun apa pun natijahnya. Sesetengah orang melihat bahawa ketidakwujudan tuhan akan membawa natijah yang manusia tidak mempunyai dasar moral yang objektif. Maka...? Tuhan wujud, atau tuhan tak wujud. Natijah yang datang daripada salah satu kenyataan ini bukan penentu kepada kebenaran mana-mana kenyataan. Kalau tuhan wujud, dan manusia boleh menjadikannya sebagai dasar moral, baiklah. Kalau tuhan tak wujud, dan manusia tak mempunyai apa-apa untuk mendasarkan moralnya, camtulah hakikatnya. Contoh yang lain ialah kewujudan ubat yang boleh menghidupkan semula manusia yang telah mati. Fikirkan implikasi kewujudan ubat ini kepada anak-anak kecil yang kehilangan ibu bapa mereka dalam kemalangan trafik. Betapa mereka dinafikan kasih sayang dan didikan ibu bapa mereka. Begitu baiknya jika wujud ubat ini dan dapat mengembalikan semula apa yang mereka sepatutnya dapat. Tapi sayangnya ubat ini tak wujud. Dan itu adalah hakikat.


Aku jugak nak mengajak para bekas Muslim untuk memuhasabah diri. Adakah sewaktu korang masih Muslim, korang mempunyai kecenderungan untuk membenci orang bukan Islam dan menjustifikasi pembunuhan mereka? Aku rasa korang tak mempunyai kecenderungan ini. Maksudnya, kepercayaan kepada Allah bukan pendorong yang secara automatiknya menjadikan Muslim merasakan bahawa darah orang bukan Islam itu halal. Kepercayaan yang spesifik kepada sesetengah ayat Qur'an atau hadis itu yang menentukan sama ada seorang Muslim itu percaya yang darah bukan Muslim itu halal. Aku rasa yang banyak sangat panik yang disebarkan oleh orang yang takut dengan potensi keganasan Islam. Betul, jika melihat sejarah kewujudan Islam, memang wujud kelompok manusia, dulu dan kini, yang mengidentifikasi diri dengan nama Muslim yang menghalalkan darah orang bukan Muslim berdasarkan interpretasi ayat-ayat Qur’an dan hadis. Tapi kalau korang sendiri dulunya mengidentifikasi diri sebagai Muslim, dan korang tak bersetuju dengan kelompok ini, dan memilih untuk tidak terlibat mereka (sebelum korang murtad), kenapa korang tak rasakan yang Muslim pada hari ini mempunyai kebolehan yang sama?

Aku rasa, elok kita meletakkan lebih keyakinan kepada kebolehan manusia untuk mengikut naluri mereka dalam memilih apa yang betul atau salah. Ini bukan mengatakan yang kita tak perlu berhati-hati dengan ideologi-ideologi yang berbahaya. Kita perlu menjauhinya, mengkritiknya sehabis mungkin dan mencegah atau meminimakan kesan negatifnya. Tapi rilek ah. Jangan wujudkan panik dan kebencian yang tak bertempat dengan ketakutan yang berlebihan. Panik akan melahirkan tindakan yang tak rasional. Aku yakin, kebanyakan Muslim, macam kebanyakan orang lain, hanya nak hidup dalam keamanan je.

Kesimpulannya, a-/teisme adalah istilah umum yang tak berguna dalam meramal tindakan manusia. Tindakan spesifik memerlukan kepercayaan spesifik. Manusia juga berkebolehan untuk membuat penilaian baik-buruk dengan sendiri walaupun label identifikasi dirinya mempunyai kaitan (sama ada sekarang mahu pun pada masa lepas) dengan polisi-polisi yang tidak bermoral.

Tuesday, 11 November 2014

Kemurtadan itu penting

Kepercayaan itu perlu dikemaskini, kalau tak, orang akan kekal bodoh. Kepercayaan awal dibina sama ada melalui penekaan ataupun melalui bukti. Penekaan boleh salah. Contohnya dulu aku fikir yang bayi lahir ikut pusat. Lepas belajar sains baru aku tahu yang bayi lahir ikut faraj. Aku ubah kepercayaan aku, dan aku jadi lagi pandai, atau kepercayaan aku lebih dekat dalam mencerminkan realiti alam ni. Bukti pulak kadang-kadang tak lengkap. Orang perhatikan sekelilingnya sehingga ke ufuk (horizon), dan datang kepada konklusi yang bumi itu leper. Takpe, dimaafkan. Tapi bila dah dibuktikan yang bumi itu sfera, maka kepercayaan perlu dikemaskinikan. Takde faedah mempercayai yang bumi itu leper sedangkan bukti menunjukkan yang sebaliknya.

Kewujudan atau ketidakwujudan tuhan juga ialah satu fakta berkaitan dengan realiti. Maka ada orang yang betul dalam gambaran (conception) realitinya dan ada orang yang salah. Di sini, pengemaskinian kepercayaan juga boleh dibuat. Tak kisahlah sama ada nak keluar dari satu agama dan jadi tak beragama, atau pindah dari satu agama ke agama yang lain. Perpindahan ni boleh dipanggil kemurtadan. Bila seorang itu dah lihat bukti dan merasakan yang ia cukup untuk mengubah pendirian akidah mereka, maka benarkan je la. Kalaulah disekat kebolehan untuk mengemaskini kepercayaan berkenaan dengan tuhan, macam mana engkau fikir yang orang mahu mempunyai gambaran realiti yang lebih tepat?

Aku boleh faham kemahuan untuk mencegah kemurtadan. "Dia dah betul dah, buat apa nak keluar pulak?" Tapi bukan satu agama je yang fikir benda ni. Semua agama pun yakin tentang kebenarannya sendiri. Kalau semua agama guna polisi anti-murtad ini, takkan ada perpindahan manusia daripada kesesatan kepada kebenaran. Kalau nak benarkan Islam je yang guna polisi ini, apa justifikasinya? Yang Malaysia ialah negara majoriti Muslim, maka Islam je yang boleh monopoli polisi ni? Camne pulak kalau polisi yang sama digunakan kat negara yang majoriti bukan Islam, orang Islam mesti tak suka punya. Last sekali, takkanlah orang terpaksa berpindah negara hanya untuk murtad, sedangkan dia sendiri tak memilih agama awalnya. Kebanyakannya dididik dari kecil dengan sesuatu agama.

Atas sebab itu, biarkan je la orang murtad. Dan kalau Islam itu agama yang benar, maka nak takut apa?

Sunday, 9 November 2014

Dicipta daripada api?

Api ialah satu proses, bukan bahan. Iblis menyebut dalam Qur'an tentang penciptaan dirinya dan Adam, mengatakan yang dia tak sepatutnya sujud kepada Adam kerana dia dicipta daripada api, sedangkan Adam dicipta daripada tanah. Di sini, kita dapat lihat yang ada perbandingan jelas dibuat berkenaan dengan bahan yang digunakan untuk mencipta. Adam, bahannya tanah. Iblis, bahannya api.

Kita tahu yang tanah itu bukan proses. Tanah ialah bahan. Memang jelas. Jadi, jika mahu dikatakan yang Iblis sedang merujuk kepada proses dalam kedua-dua kes, maka ini tak betul. Kita juga tahu yang orang pada masa silam mempercayai yang segalanya terbina oleh lima unsur: air, angin, api, tanah dan aether. Api dahulunya dilihat sebagai bahan. Pada hari ini kita faham yang api bukannya bahan, tapi satu proses oksidasi pantas yang membebaskan haba dan cahaya.

Terdapat banyak reaksi kimia seperti proses larutan, proses pengendapan, proses asid-alkali, dan lain-lain. Kalau kita gantikan nama proses-proses ini pada tempat yang disebut "api" di dalam Qur'an, kita dapat lihat betapa tidak masuk akalnya apa yang disebut oleh Iblis, mengetahui yang dia sedang membicarakan tentang bahan. Ayat-ayat Qur'an mencerminkan pengetahuan para pengarang Qur'an. Jelas bahawa para pengarang Qur'an tidak memahami hakikat api.

Oleh sebab sesuatu itu tidak boleh dicipta daripada proses (tapi boleh melaluinya), maka kita boleh rumuskan yang syaitan dan jin itu tidak wujud.

Monday, 3 November 2014

Dilema Euthyphro

Dalam sebuah dialog Plato bernama Euthyphro, Socrates menemui Euthyphro di luar mahkamah. Socrates sendiri sedang berada dalam masalah kerana dituduh rosak akidah dan cuba merosakkan minda para pemuda Athens. Euthyphro pula telah datang untuk mendakwa ayahnya yang telah menyebabkan kematian salah seorang pekerja Euthyphro dengan mengikat lelaki tersebut dan meninggalkannya di dalam sebatang parit. Pekerja tersebut telah diperlakukan sedemikian kerana dia telah membunuh seorang hamba Euthyphro ekoran satu pergaduhan, ketika mana dia sedang mabuk.
Euthyphro yang merupakan seorang yang sangat terkenal bagi keilmuannya dalam agama, begitu yakin yang apa yang sedang dia lakukan adalah benar. Socrates pula yang begitu terkenal dengan tabiat mempersoalkan segalanya, meletakkan keyakinan ini dalam keraguan. Pendek kata, perbincangan mereka dapat dirumuskan dalam persoalan yang berikut:

Adakah sesuatu itu baik kerana tuhan menyuruhnya?
Ataupun adakah tuhan menyuruh sesuatu kerana sesuatu itu baik?

Jika kenyataan pertama benar, maka apa-apa yang disuruh oleh tuhan boleh jadi baik (seperti menyembelih anak sendiri dalam kes nabi Ibrahim) dan perkataan baik itu tidak membawa apa-apa makna melainkan yang ianya adalah diperintahkan oleh tuhan. Jika kenyataan yang kedua benar, maka tuhan bukanlah yang menetapkan apa itu baik atau buruk, tapi hanya sekadar penyuruh kepada kebaikan dan pencegah kepada keburukan. Dalam erti kata lain, tuhan bukanlah sumber moraliti dan moraliti ditetapkan oleh sesuatu yang diluar kekuasaan tuhan dan tuhan sendiri terpaksa berpegang kepada standard moraliti ini.

Kesimpulannya, untuk moraliti mempunyai apa-apa nilai, ia tak boleh datang daripada ketentuan tuhan.

Monday, 17 March 2014

Rachel Corrie, syurga atau neraka?

Seperti mana sains alam cuba untuk memberikan manusia kefahaman dan kawalan terhadap alam, camtu jugaklah sains agama cuba memberikan manusia kefahaman dan kawalan terhadap urusan akhirat. Kalau akhirat itu betul2 wujud, bukankah satu tindakan yang bijak untuk mencari jalan terbaik untuk masuk ke syurga dan elak daripada masuk ke neraka? Aku rasa, atas sebab itulah wujudnya cabang2 ilmu Islam yang menggariskan bagaimana untuk behave di dunia ini.

Ilmu fiqh contohnya, menganalisis sumber2 yang mempunyai autoriti (AQ, hadis, athar, dll.) dan cuba menggariskan bagaimana manusia boleh menyembah Allah dengan cara yang paling efektif. Bagi sesuatu ibadah, adanya pelbagai kaifiyat dan syarat2 yang perlu diperhatikan supaya ibadah itu diterima dan mempunyai pengaruh terhadap posisi seseorang itu di mata Allah. Orang yang tak percaya kepada Islam mungkin memperlekehkan triviality sesetengah perbincangan yang dilakukan oleh ulama. Contohnya, sama ada digerakkan jari pada tahiyyat akhir atau tidak. Kenapa ini boleh jadi penting? Sebab setiap butir (atau apa2 unit yang bersesuaian) pahala itu penting. Bayangkan seorang Muslim dihadapan Allah, di mana timbangannya pahala-dosanya adalah sama rata. Maka boleh jadi sama ada dia telah menggerakkan atau tidak menggerakkan jarinya akan memberatkan salah satu bahagian daripada neraca penimbang amalannya dan menentukan sama ada dia akan berbahagia atau berdukacita buat masa yang sangat panjang.

Camtu jugak berkenaan dengan ilmu akidah. Dalam bidang ini, ulama cuba untuk memahami apa yang perlu dipenuhi oleh seseorang itu untuk memberikannya akidah yang benar/sejahtera, yang merupakan prasyarat kepada masuk/tak masuknya seseorang itu ke dalam syurga. Lebih daripada segala bidang ilmu Islam yang lain, di sinilah kepastian itu penting. Setepat mana pun ibadah seseorang itu, seadil mana pun tindak-tanduknya di dalam hidup, semurni mana pun akhlaknya, kalau akidahnya tak betul, maka dia akan masuk ke neraka.

Tapi dalam dunia sekarang ni, Muslims, terutamanya yang sensible, tak begitu berani untuk berbicara tentang akidah dan implikasinya. Bercakap melalui pengalaman aku sendiri, aku dulunya susah untuk menerima yang ulama telahpun menggariskan kriteria2 untuk menjadi seorang Muslim, dan mereka yang mati dalam keadaan tidak memenuhinya setelah mempunyai pengetahuan tentang Islam akan masuk ke neraka. Sebab di sana ramai sangat orang yang baik dan berjasa kepada dunia dan kemanusiaan, tapi nampaknya semua itu tak bermakna bagi mereka dan mereka akan akhirnya masuk ke neraka. Perkara ini mendatangkan konflik di dalam minda aku. Satunya, aku secara nalurinya dapat merasakan yang ini adalah satu ketidakadilan yang sangat jelas. Tapi dalam masa yang sama, bukankah Allah itu tuhan yang adil? Maka segala apa yang dia buat, walaupun nampak tak adil, adalah sebenarnya adil. (Ini satu pengabaian human faculty of reasoning yang sangat ketara.)

Atas sebab itu, datanglah ungkapan2 apologetik sepeti "Allah sahaja yang menentukan syurga atau neraka". Ungkapan begini menafikan realiti yang terkandung dalam agama itu sendiri. Bukankah perihal syurga-neraka ini telah jelas diterangkan oleh ulama, berdasarkan dalil2? Buat apa ulama bersusah-payah mengkaji semua ini sekiranya pada akhirnya akan dikatakan, "Nasib seseorang itu hanya Allah yang tahu."? Kalau begitu, baik sahaja kalau tiada siapa yang mengikuti apa-apa langsung yang digariskan oleh syarak, sebab akhirnya, hasil sesuatu perbuatan itu, hanya Allah yang tahu? Kenapa tak berhenti solat? Atau puasa?

Ini membawa aku kepada sindiran aku, sempena kempen Israel Apartheid oleh Aqsa Syarif. Bukan sebab nak menunjukkan kekurangan sensitiviti. Tapi untuk memprovok Muslim untuk menilai semula AGAMA mereka sendiri. Soalan aku ialah: Apakah nasib Rachel Corrie? Segala indikasi dari dalil menunjukkan yang dia adalah ahli neraka. Adakah korang cukup yakin dengan dalil dan cukup jujur untuk mengiyakan hakikat ini? Dan kalau korang mengiyakannya, apakah korang masih lagi rasakan yang Islam itu adalah agama yang adil?